KERABU UDANG KACANG BOTOL

Assalamualaikum, 

Kalau makan nasi dengan kerabu, di jamin bertambah-tambahlah nasinya :). Apa kata cuba buat kerabu udang kacang botol ni. Di tempat saya sebelah utara semenanjung malaysia ni, kacang botol di sebut kacang kelisa. Selain dari di buat ulam, kacang ini juga sesuai di buat kerabu style urap. Yang buat kacang botol menjadi pilihan saya untuk membuat kerabu ni, selain dari rasanya yang enak adalah ranggup bila di kunyah. Sedar tak sedar boleh habis sepinggan kerabu di buatnya :)
KERABU UDANG KACANG BOTOL
100gm udang - Rebus sebentar dan kopek kulitnya
segenggam taugeh - di celur
100gm kacang botol di hiris halus
1 labu bawang besar - di hiris halus
1 cawan kelapa parut putih
1 sudu besar air limau nipis

(BAHAN B) - Di Tumbuk
2 ulas bawang putih 
3 ulas bawang merah 
1 sudu besar udang kering atau ikan bilis - di rendam terlebih dahulu
4cm kunyit hidup
sedikit belacan (kira-kira 4cm) - di bakar terlebih dahulu
2 biji cili merah + 5biji cili padi

Cara-cara 
1.  Tumbuk semua bahan B hingga lumat kemudian gaul dengan kelapa parut. Panaskan kuali dan goreng sebentar  kelapa parut (urap) tadi tanpa menggunakan minyak, agar kerabu tidak cepat basi. masukkan juga air limau nipis, garam dan gula secukup rasa.

2. Apabila kelapa yang di goreng tadi sudah sejuk, gaulkan dengan udang, taugeh dan kacang botol dan hidangkan.

Selalunya saya buat kelapa (urap) ini dalam kuantiti yang banyak dan simpan di dalam peti sejuk. Bila teringin menyediakan kerabu apa pun seperti kerabu pegaga atau kerabu daun selom, hanya perlu panaskan urap sebentar dan gaulkan dengan ulam2 tersebut yang telah di hiris halus.