NASI AYAM SIMPLE DAN SEDAP

Assalamualaikum, 

Salam pagi jumaat untuk semua pembaca blog. Masak apa untuk tengahari ni? Kalau saya masak nasi ayam simple dan sedap je hari ni. Sekali harung je...tak perlu fikir lauk-lauk lain dah. Maklumlah hari jumaat di utara ni anak-anak tak sekolah. Senang, masak siap-siap tinggalkan untuk mereka sebelum masuk kerja.

Hmm..pernah tak masak nasi ayam letak lemaknya? Kebanyakkan orang memang biasa masukkan lemak ayam terutama sekali yang berniaga nasi ayam. Bagi saya, inilah kunci kesedapan nasi ayam yang dihasilkan kerana lemak ayam memberikan aroma yang harum. Cubalah masukkan lemak ayam ketika menumis nasi selepas ni. Tak banyak pun, saya cuma guna anggaran 2 sudu besar lemak ayam untuk 3 cawan beras.

Jom cuba masak nasi ayam simpe dan sedap. Resipinya ada dibawah ni.

NASI AYAM SIMPLE DAN SEDAP

Untuk Sup/Ayam/Kuah Kicap dan Kuah Cili
Bahan-bahan
1 ekor ayam - dipotong empat 
1 sup bunjut
1 labu bawang besar - dipotong empat  
3 ulas bawang putih - di ketuk
1 inci halia - di ketuk 

Cara memasak:

1. Rebus semua bahan hingga mendidih. Keluarkan ayam dan toskan. Guna separuh air rebusan tadi untuk memasak nasi dan asingkan separuh lagi untuk dijadikan SUP dengan menambah kiub ayam serta daun sup, daun bawang dan bawang goreng sebagai hiasan.

2. AYAM : Perapkan dengan 1 sudu besar Sos tiram, 2 sudu besar kicap cair, 2 sudu besar kicap manis dan 1 sudu besar madu. Goreng hingga keperangan dan potong ketika menghidang.

3. KUAH CILI : Kisar 5 tangkai cili merah, 1 ulas bawang putih, garam dan gula secukup rasa, 1/2 sudu teh cuka dan 2 sudu besar sos cili.

4. KUAH KICAP : Campurkan 1 cawan air rebusan ayam dengan 5 sudu besar kicap manis, 3 sudu besar kicap masin dan 1/2 sudu teh minyak bijan.

Untuk Nasi
Bahan-bahan
3 cawan beras - basuh dan toskan
4 1/2 cawan air rebusan ayam 
3 ulas bawang merah - di hiris
2 ulas bawang putih - di hiris
1 inci halia - di hiris
1 helai daun pandan - disimpul
lemak dan kulit ayam
1 sudu teh garam 

Cara memasak:

1. Panaskan minyak campur sedikit mentega didalam periuk nasi, tumis bahan-bahan yang dihiris nipis hingga wangi, masukkan lemak ayam, kacau hingga sebati dan pecah minyak.

2. Masukkan pula beras dan kacau lagi. 

3. Seterusnya masukkan air rebusan ayam, daun pandan, garam dan beberapa titis pewarna kuning(jika suka) dan masak seperti nasi biasa.