KUE TEOW GORENG SEDAP

Assalamualaikum,

Selamat berhujung minggu dan beristirehat dengan keluarga tercinta untuk semua pembaca blog ini. Hari ini semua anak-anak ada di rumah jadi saya bersemangat untuk memasak. Dalam ramai-ramai tu ada yang requested kue teow goreng...dah lama mama tak masak kue teow katanya. Yang betulnya kalau mama masak di rumah ni selalu taruh banyak lauk sebab itu puas makan. Kalau kat kedai lauk ciput je dan tak boleh ulang-ulang tambah kue teow macam kat rumah. Itu kaedahnya :D

Alhamdulillah saya dah selesai masak dua bungkus kue teow goreng sedap sebagai makan malam hari ini. Iye ke sedap kue teow goreng resipi ni? Bagi saya dan keluarga memang menepati citarasa tak tahulah pulak pembaca di luar sana. Cuma malam ni macam kurang lengkap sikit sebab tak ada cili jeruk. Kalau nak cuba masak bolehlah 'usha-usha' resipi di bawah ni ;)

KUE TEOW GORENG SEDAP
Bahan-bahan 
500gm kue teow
3 ulas bawang putih - di cincang 
1 cawan udang 
1 cawan kerang - siap di kopek
2 ketul fish cake - di potong nipis 
secekak daun kucai - potong pendek (lebih kurang 1 inci)
2 cawan taugeh
2 biji telur
2 sudu besar minyak masak - untuk menumis

SOS (satukan dalam satu mangkuk)
1 sudu besar cili kisar
½ sudu besar kicap pekat 
2 sudu besar kicap manis 
1 sudu besar kicap cair
1 sudu besar sos cili 

Cara memasak:

1. Panaskan minyak di dalam kuali. Tumis bawang putih hingga berbau wangi dan masukkan pes cili sambil di kacau.
2. Masukkan pula sos, kerang, fish cake dan udang sambil di kacau lagi.
3. Seterusnya masukkan kue teow dan kacau lagi hingga beberapa minit.

4. Masukkan pula daun kucai dan taugeh sambil di kaup balik. Selalunya saya hanya masak sebentar sahaja sayuran sebelum masukkan telur kerana lebih suka sayur separuh masak dan lebih ranggup.
4. Akhir sekali masukkan telur dan kacau dengan cepat sebelum tutup api dapur.
5. Kue teow goreng ini sedap di hidangkan dengan cili jeruk.