Assalamualaikum, 


Dah dapatkan Majalah Saji keluaran Ogos 2016? Ada perkongsian 100++ idea resipi untuk rumah terbuka didalamnya dan pastinya enak-enak belaka. Walaupun syawal hanya tinggal tidak berapa hari lagi namun masih ada yang buat majlis rumah terbuka untuk meraikan sahabat dan keluarga. Sesuai sangatlah miliki koleksi Saji edisi ogos ini sebagai rujukan. 


Saya ada kongsikan 10jenis resipi lebaran dalam majalah ini iaitu resipi ala-ala selera Langkawi iaitu Sarbat Rambutan selasih, Nasi daging & air asam berkerisik, Brownies kacang pistachio, Nasi Karot, Kari ayam berempah, kek oren coklat kukus, mihun sup tulang utara, pulut kacau bergajus, lemang pulut hitam kukus dan kek santan pandan dengan krim keju. 

Sebenarnya menu hari raya di Langkawi ini lebih kurang sama sahaja dengan masakan utara lainnya dan kalau nak tahu hidangan hari raya yang saya paling suka adalah ketupat daun palas berjagung atau berkacang. Tetapi dalam majalah tersebut saya tak masukkan resipi kerana dah ada perkongsian lain. Tapi...cerita tentang pulut ni kan, bila dah berumur ni tak dapatlah nak makan pulut serancak dulu...makannya boleh, telan je kan.. :D.  Tapi lepas tu siaplah sakit badan semua. 


Sebenarnya ini adalah kerjasama saya yang keempat dengan majalah saji dan saya amat selesa berurusan dengan Along serta En Joha sebelum ini. 



Pendapat peribadi saya, walaupun sosial media berkembang pesat dan perkongsian resipi mudah didapati dihujung jari sahaja berbanding dahulu, Majalah resipi seperti Saji ini tetap relevan dan saya lebih suka simpan majalah-majalah resipi begini dan beli setiap bulan sebagai koleksi. Kalau ada masa...buka, belek-belek dan cuba tiap resipi yang berkenan. 

Baiklah kepada yang belum memiliki majalah Saji keluaran Ogos 2016 bolehlah segera dapatkan dipasaran sekarang.
Assalamualaikum, 

Sebenarnya bolu jadul ni dah lama saya buat sebelum bulan puasa lagi. Entah macamana terlepas pandang dan masih tersimpan dalam draft. Bolu jadul dalam bahasa indonesia ataupun dalam bahasa kita disini dipanggil kek klasik, ataupun dalam erti lainnya kek dulu-dulu yang tidak muak kalau makan banyak sekalipun. Teksturnya sangat gebu dan lembut sekali walaupun tidak menggunakan sebarang serbuk penaik. Kunci yang buatkan kek ini menjadi gebu hanyalah adunan harus dipukul agak lama, dalam 10 ke 15minit hingga kental. 

Saya bakar bolu jadul ini didalam loyang biasa tetapi sengaja saya terap dengan acuan dan hiaskan coklat ketika menghidang untuk anak-anak. 

Nak cuba buat dirumah...jom kita lihat resipinya :) 
BOLU JADUL
Bahan-bahan  
4 biji telur - Gred A
100 gm gula pasir 
100 gm tepung gandum 
20gm susu tepung 
1 sudu teh esen vanila 
75gm mentega - cairkan

Cara membuatnya : 

1. Panaskan oven.

2. Pukul telur dan gula hingga kembang & pucat iaitu lebih kurang 10 hingga 15minit, guna speed 3. 

3. Matikan mixer, masukkan tepung gandum dan susu tepung, kaup balik dengan spatula. 

4. Masukan pula mentega cair dan esen vanilla, kacau rata .
 5. Tuang kedalam loyang 8 x 8inci yang disapu mentega dan taburi tepung.

6. Bakar didalam oven pada suhu 180'c selama 30 minit (bergantung kepada oven masing-masing ) atau sehingga masak, keluarkan segera dari oven.

Assalamualaikum,

Alhamdulillah..ada kesempatan untuk update blog pagi ini, dan nampaknya entry kek lagi hari ni...hihihi. Kali ni saya cuba perabih stok kurma pula. Sebenarnya kurma ini pemberian HR Head Department untuk semua staff di pejabat pada bulan puasa lepas dan belum sempat saya buka lagi kotaknya. Daripada dibiar tidak berusik saya campurkan dengan ceri dan kacang walnut lebihan buat biskut raya dan transfer jadi kek kurma dan ceri.   

Oleh kerana kurma dan ceri dah manis, saya hadkan penggunaan gula dalam adunan. Dan bagi adik-adik yang baru belajar 'baking', jangan lupa tau gaul kurma, ceri dan kacang walnut dengan sedikit tepung (dalam satu atau dua sudu makan) terlebih dahulu sebelum dimasukkan kedalam adunan kek. Ini untuk mengelakkan daripada semua bahan tersebut mendap dan terhimpun dibawah sebaik sahaja kek siap.

Jom kita lihat resipi...jangan lupa cuba tau. Kalau stok buah kurma dah tak ada dirumah, boleh je gantikan dengan buah-buahan kering.

KEK KURMA DAN CERI
Bahan-Bahan
200gm mentega
100gm gula perang 
50gm gula kastor
1 sudu teh esen vanilla
4 biji telur gred A - Asingkan putih dan kuning telur
150gm kurma - Asingkan dari biji dan gunting isi kurma
50gm campuran ceri merah dan hijau
50gm kacang walnut
200gm tepung gandum 
1 sudu teh baking powder

Cara membuatnya:

1. Pukul telur putih hingga kembang dan bertanduk iaitu bila di balikkan mangkuk adunan, telur tersebut tidak meleleh. Ketepikan seketika.

2. Didalam mangkuk adunan lain, pukul mentega dengan gula perang sehingga kembang. Masukkan esen vanilla dan telur kuning satu persatu sambil dipukul lagi. 

3. Masukkan pula putih telur sedikit demi sedikit sambil dikaup balik. Jika menggunakan whisk, putar dengan kelajuan perlahan hingga semuanya bercampur.
4. Seterusnya masukkan tepung yang telah diayak dengan baking powder sedikit demi sedikit dan diputar hingga habis.
5. Akhir sekali masukkan kurma, ceri dan kacang almond. Kacau hingga sebati dan tabur bakinya diatas permukaan kek sebelum dibakar pada suhu 170'c selama 1jam. (Tiap oven berbeza, sila suaikan suhu dengan oven masing-masing)  


Assalamualaikum, 

Sehari dua ini memang buat kek je kerjanya sebab nak habiskan stok telur yang masih berbaki lepas buat kek dan biskut masa hari raya yang lalu. Hari tu beli banyak sebab risaukan stok telur gred A yang selalu saya gunakan untuk buat kek habis. Maklumlah Langkawi ni terpisah dari tanah besar. Kalau cuti perayaan selalunya kargo yang membawa barangan harian akan menghentikan operasi beberapa hari sesuai dengan cuti umum yang diperolehi. Sebab tu lah saya beli siap-siap simpan. Sudahnya telur yang dibeli tu tak habis pun guna, dan baru sekaranglah keluarkan untuk buat kek atau masakan yang berasaskan telur.

Untuk hari ini saya masukkan resipi marmer kek jadul iaitu resipi yang saya cuba dari blog catatan nina dari resipi asal Pak Sahak. Kalau ada yang tidak faham, maksud jadul tu adalah singkatan dari 'jaman dulu', sama maksudnya dengan klasik. Jadi untuk memudahkan carian bagi pembaca blog disini saya gantikan namanya kepada kek marble klasik iaitu maksud yang sama dengan resipi asal.

Yang paling saya suka dengan resipi ini kerana kaedah 'all in one' iaitu masukkan semua bahan kedalam mangkuk mengadun dan putar. Langkah kedua pula masukkan mentega cair + minyak dan kaup balik. Kek boleh terus dibakar. Tetapi...hihihi ada tapinya tau. PASTIKAN kesemua adunan di pukul hingga benar-benar kembang (lebih kurang 10 minit) iaitu lepas dipukul dan diangkat 'mixer,' adunan jatuh perlahan-lahan dan tidak cair. Barulah masukkan mentega cair yang dicampur dengan minyak sedikit demi sedikit dan kaup balik dengan spatula hingga bercampur. 

Nak cuba buat kek ini dirumah? Jom kita lihat resipinya :) 

KEK MARBLE KLASIK 
@Nama asal marmer cake jadul - pak sahak

Bahan-bahan
5 biji telur - Gred A
125 gm gula kastor
1 sudu teh ovelette
1 sudu teh esen vanilla
150 gm tepung gandum
15 gm tepung jagung 
15 gm susu tepung 
100 gm mentega cair - cairkan 
50 gm minyak sayur/jagung 
2 sudu teh serbuk koko

Cara membuatnya : 

1. Panaskan oven 180'C. Sediakan loyang, sapu mentega dan tabur tepung. Ketepikan seketika.


2. Ayak tepung tepung gandum, tepung jagung dan susu tepung.  



3. Masukkan telur, gula pasir, ovellete dan esen vanilla kedalam campuran tepung yang diayak tadi dan pukul hingga mengembang (all in one method).

 4. Campurkan mentega dengan minyak sayur, kemudian tuang sedikit demi sedikit ke dalam adunan. Kaup balik hingga tercampur rata.


 5. Ambil separuh adunan, masukkan serbuk koko dan kacau rata. Tuang adonan putih ke dalam loyang, kemudian tuang adonan coklat di atasnya. Lorek dengan lidi atau chopstick untuk mendapatkan corak marble. 

6. Bakar didalam oven selama kurang lebih 30-45 minit (Bergantung kepada oven masing-masing). Setelah masak, angkat dan segera keluarkan dari loyang agar kek tidak mengecut. 

Assalamualaikum, 

Sehari dua ini memang mudah nak dapatkan bekalan ketam segar di pasar basah Langkawi. Alhamdulillah, didalam cuaca hujan tak menentu pun bekalan makanan laut masih boleh didapati. Cadangan asalnya saya nak masak mee kuah udang, tetapi tiada pula udang segar jadi gantikanlah dengan ketam.

Ketamnya pun boleh tahan juga dan banyak isi. Memang sedap meratah sambil hirup kuah mee yang pedas-pedas manis bercampur air rebusan ketam dan udang kering kisar.

Nak membuatnya pun taklah sesukar mana dan sekejap sahaja dah siap. Jom lihat resipi yang saya sediakan. 

MEE KUAH KETAM
Bahan-bahan
½  kilogram ketam 
3 sudu besar sos cili 
3 sudu besar sos tomato 
1 sudu besar sos tiram 
2 sudu besar kicap cair 
1 kiub ikan bilis 
½  sudu teh gula

Bahan Kisar 
10 tangkai cili kering 
2 labu bawang besar 
2 ulas bawang putih 
3 sudu makan udang kering 

Bahan celur
3 batang sawi 
secekak taugeh 
1 bungkus mee kuning 

Bahan Hiasan
Daun sup, daun bawang, tauhu goreng, bawang goreng, limau kasturi & cili merah

Cara membuatnya : 

1. Cuci bersih ketam dan masukkan kedalam periuk. Rebus hingga mendidih dan toskan. Tapis dan simpan air rebusan untuk dimasukkan kedalam kuah.
2. Panaskan minyak masak dan tumis bahan kisar sehingga pecah minyak.
3. Setelah itu masukkan air rebusan ketam yang telah disimpan tadi.
4. Masukkan pula sos cili, tomato, sos tiram, kicap cair, gula dan kiub ikan bilis. suaikan rasa kuah. Jika kurang masin bolehlah ditambah sedikit garam. Renih kuah hingga mendidih dan benar-benar masak serta secukup rasa.
5. Masukkan mee kuning(siap celur) kedalam mangkuk, hidangkan bersama sawi & taugeh celur, bawang goreng, daun bawang, hirisan tahu goreng serta daun sup. Masukkan juga kuah mee bersama ketam dan perahkan limau kasturi. 
Assalamualaikum,

Sekejap sahaja masa berlalu, sudah 13 Syawal hari ini dan ada yang masih mengadakan majlis rumah terbuka serta tercari-cari menu untuk disediakan. Selain dari hidangan utama, menu dessert juga tak kurang pentingnya. 

Hari ini saya nak kongsikan resipi kek yang menjadi kegemaran anak-anak saya kerana selain daripada krim perasa pisang sebagai topping kek ini, kombinasi antara pisang, coklat chips dan kacang walnut didalam kek juga sangat lazat. Teksturnya seperti kek lobak merah tetapi secara peribadi saya lebih sukakan kek pisang ini kerana rasa manis semulajadi dari pisang memberikan kelazatan yang lebih memikat dibandingkan dengan kek lobak merah. Atau..mungkinkah kerana saya peminat pisang? Hihihi...kalau dilihat dalam blog ini memang banyak resipi berasaskan pisang.

Cara membuat kek ini pula sangatlah mudah. Kalau malas keluarkan 'mixer' cukup gunakan hand whisk sahaja untuk mengacau adunan. Nak tahu cara membuatnya? Jom kita lihat ;) 

KEK PISANG BERKACANG 
Loyang : 8 x 8inci (saya guna loyang 7inci)

Bahan-bahan
7 biji pisang emas -  saiz kecil 
2 cawan tepung gandum
1 sudu teh baking powder
1 sudu teh soda bikarbonat 
1/2 cawan mentega 
1 cawan gula kastor
2 telur - Gred A
1 sudu teh esen vanilla
1 sudu besar susu cair/segar 
1/2 cawan kacang walnut - di cincang 
1/2 cawan coklat chips 

Cara membuatnya:

1. Didalam mangkuk adunan, pukul mentega bersama gula kastor. 

2. Setelah sebati dan gula larut, masukkan pula pisang yang telah dilecek sambil di kacau lagi. Masukkan pula telur sebiji demi sebiji dan kacau rata.



3.Masukkan juga esen vanilla dengan susu cair/segar.



4. Seterusnya masukkan walnut cincang dan coklat chips. Tuang pula tepung sedikit demi sedikit dan kaup balik dengan spatula.



5. Setelah adunan bercampur, tuang kedalam loyang dan bakar pada suhu 160'c selama 1 jam 10minit. (Guna api atas dan bawah). Tiap oven berbeza, suaikan dengan oven anda.



RESIPI KRIM
Bahan-bahan
125gram mentega 
125 gram gula ising
1 sudu teh esen pisang 

Cara membuatnya 

1. Ayak dulu gula ising.

2. Pukul mentega, gula ising dalam mangkuk - dengan kelajuan yang tinggi hingga ringan dan gebu.

3. Masukkan esen pisang, putar lagi dengan kelajuan sederhana selama beberapa minit dan bolehlah digunakan.  
Assalamualaikum, 

Salam pagi jumaat untuk semua pembaca yang sudi masuk kesini. Dah agak lama tak update blog, kecuali semalam saya masukkan entry ketupat palas jagung manis. Tenggelam timbul je mood berblogging kebelakangan ini kan. InshaAllah lepas ni harapnya ada lebih banyak masa nak tepek 'resipi' dan gambar dalam blog kesayangan ni.

Kek Lumut ini saya buat dua hari sebelum hari Raya yang lalu, baru hari ini sempat kongsikan, resipi asal dari Rohaimi Ahmad. Buat kek lumut ni cabarannya sama juga dengan kek buah kukus kerana mengambil masa yang lama untuk mengukus. Kalau nak makan segera selalunya saya cuma kukus selama 2 jam tetapi untuk disimpan lebih lama, 4 jam mengukus adalah masa yang ideal.

KEK LUMUT
300gm mentega (saya guna buttercup)
100gm gula halus
5biji  telur - Gred A
200gm  Tepung gandum
200gm  horlick
200gm  susu pekat manis
4sudu besar sri kaya
1 sudu teh esen pandan
1 ½  sudu besar pewarna hijau

Cara membuatnya :

1. Sediakan loyang dan sapu majerin disekelilingnya dan tabur sedikit tepung. Alaskan kertas minyak didasar loyang. Jika inginkan kek yang lebar gunakan loyang 8inci dan kalau nak kek yang tinggi guna loyang bersaiz 7inci.

2.  Didalam mangkuk adunan putar gula, sri kaya, susu dan mentega sehingga ringan dan kembang.

3.  Masukkan telur satu persatu dan putar lagi. Seterusnya masukkan tepung sedikit demi sedikit dan putar.

5.  Masukkan juga horlick dan teruskan putar hingga adunan sebati.

6.  Akhir sekali masukkan esen pandan dan pewarna hijau. Tuang kedalam loyang dan kukus selama 2 jam dengan api sederhana. Kalau inginkan kek tahan lama, boleh panjangkan tempoh mengukus selama 4jam.


TIPS MENGUKUS KEK
(Sumber : Dayang Jack)

1. Pastikan loyang yang digunakan hendaklah bersesuaian dgn kuantiti bahan kek. Loyang kek hendaklah kering dan tidak bocor

2. Pengukus dan perkakas kek hendaklah bersih

3. Elakkan adunan kek dari terkena air kerana ia akan merosakkan kek

4. Gunakan telur yang segar

5. Lapikkan loyang kek dengan baking paper supaya mudah nak dikeluarkan dari loyang setelah masak. Seeloknya, griskan loyang yang telah dilapik tadi dengan mentega dan taburkan sedikit tepung di permukaan dan di sekelilingnya. Kemudian tangkupkan loyang tersebut sambil diketuk-ketuk sedikit utk mengeluarkan lebihan tepung tadi.

6. Setelah adunan kek dimasukkan ke dalam loyang, tutup dengan aluminium foil atau plastik untuk mengelakkan dari terkena titisan air semasa proses mengukus.

7. Lapkan tudung pengukus setiap kali hendak menambah air. Gunakan air panas sahaja.

8. Jangan menggunakan api terlalu besar dan terlalu perlahan. Kek akan lambat masak atau tidak naik sempurna.