Memaparkan catatan dengan label PEMANIS MULUT. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label PEMANIS MULUT. Papar semua catatan
Assalamualaikum, 

Apa khabar pembaca blog fizalgk dan kawan-kawan sekelian. Harapan saya semoga kita semua sentiasa sihat dan bahagia selalu. Perkongsian pemanis mulut dari saya petang ini adalah Pengat pisang sama keledek. Ada dua jenis keledek yang saya gunakan dalam resipi ini iaitu keledek oren dan keledek jepun, manakala pisang pula saya gunakan pisang raja. 

Pengat ni sangat sesuai dihidangkan untuk minum petang dan kalau ikut style anak bongsu saya, dia suka simpan dalam petiais terlebih dahulu dan makan sejuk-sejuk dengan biskut kering. Tak kiralah dihidangkan panas atau sejuk pengat pisang sama keledek ini memang sedap dan rasanya yang lemak-lemak manis tu sungguh memikat selera. Dan pesanan untuk yang jaga kesihatan tu, bolehlah kurangkan gula ikut kesesuaian ye. Jom buat pengat pisang sama keledek untuk minum petang ni. ❤❤❤  
PENGAT PISANG SAMA KELEDEK
Bahan-bahan
2 ketul keledek oren
2 ketul keledek jepun 
5 biji pisang raja 
2 cawan santan pekat
4 cawan santan cair
½ cawan sagu biji  - cuci dan rendamkan bersama ½  cawan air selama 10 minit dan toskan
2 ketul gula melaka - diracik halus dan masak hingga larut bersama  1 cawan air dan tapiskan
2 helai daun pandan

Cara-Cara:

1. Kupas dan potong dadu besar dua jenis keledek tersebut dan rebus sehingga empuk, angkat dan toskan. Pisang dipotong serong dan ketepikan seketika. 
2. Satukan santan cair dan santan pekat didalam periuk, masukkan sekali air gula melaka yang sudah di tapis tadi. Masukkan daun pandan dan sagu biji dan kacau sebati.
3. Masukkan keledek rebus dan pisang tadi dan renihkan. Kacau sentiasa supaya santan tidak pecah dan biarkan mendidih. 
4. Sekiranya kurang manis bolehlah tambah gula pasir sedikit. Setelah siap, matikan api dapur dan bolehlah di hidangkan.

Assalamualaikum, 

Selamat berhari minggu untuk semua pembaca blog fizalgk dan rakan-rakan sekalian. Perkongsian resipi untuk hari ini...sesuai dengan cuaca panas sekarang ni iaitu Puding Laici Bandung. Bahan-bahan yang digunakan tak banyak. Sedap dihidangkan sejuk selepas keluarkan dari petiais . Jom cuba buat resipi puding laici bandung dan ikut step by step yang disediakan dibawah ni :)  

PUDING LAICI BANDUNG
Bahan A
20gm agar-agar bertali
3 cawan air
1 cawan gula

Cara membuatnya :
 Masak agar-agar bersama air hingga larut, masukkan gula pasir. Masak lagi hingga mendidih dan gula larut.

Bahan B
1 tin laici  - asingkan air laici dan isinya. Carikkan isi laici kecil-kecil
1 tin susu cair
3 sudu besar biji selasih – Rendam dalam air panas seketika
1 sudu besar sirap ros

Cara membuatnya :

1. Sukat air laici dan kalau tak cukup tambah air untuk jadikan 2 cawan. Tuang air laici tersebut kedalam periuk agar-agar tadi dan biarkan mendidih seketika, Perlahankan api dapur. Setelah itu asingkan 3 cawan agar-agar laici dan ketepikan seketika.
 2. Sukatkan 2 cawan susu cair, kalau kurang tambah air. Tuang dalam lebihan agar-agar dalam periuk dan besarkan semula api  dapur. Masukkan sirap ros dan biji selasih, kacau sekejap dan tutup api dapur.
 3. Ambil 2 cawan agar-agar bandung dan tuang kedalam Loyang bersaiz 9 x 9 inci yang telah dibasahkan dengan air. Biarkan sederhana beku. Saya guna acuan silikon kecil untuk puding ini.

 4. Panaskan sekejap agar-agar laici dengan api perlahan , tuang sedikit atas agar-agar bandung dan ratakan laici pada keseluruhan Loyang, biarkan beku sedikit.

5. Panaskan pula baki agar-agar bandung dengan api perlahan dan tuang hingga habis keatas agar-agar laici. Sejukkan seketika sebelum masukkan kedalam peti ais.

Assalamualaikum, 

Labu kuning boleh dipelbagaikan didalam masakan seharian. Tak kiralah dimasak pedas, rampai didalam masak lemak, dibuat kek, muffin, tart, brownies dan dijadikan bingka pun sedap juga. Selain daripada itu jika dijadikan puding pun rasanya yang lemak-lemak manis itu dijamin memikat selera. Tak susah pun nak buat puding labu ni. Jom kita lihat step by step yang saya sediakan dibawah ini ❤ 
PUDING  LABU KUNING 
Bahan-bahan
250gm labu kuning 
800ml santan 
6 sudu makan gula pasir  
10gm agar-agar serbuk  
1 sudu teh serbuk koko
Secubit garam 

Cara membuatya :

1. Kukus/rebus labu kuning. Toskan dan lenyek labu tersebut  hingga halus.
Seterusnya kisar labu kuning dengan santan

2. Masak bersama serbuk agar-agar dan gula hingga mendidih.

3. Asingkan 3 sudu besar agar-agar tersebut dan kacau dengan serbuk koko. Tuang adunan tersebut kedalam Loyang. (Jika anda menggunakan Loyang biasa, sila skip step ini)

4. Setelah agar-agar campuran koko tersebut separuh beku, tuang baki agar-agar labu tadi kedalam hingga habis dan sejukkan terlebih dahulu sebelum masukkan kedalam peti sejuk.

Assalamualaikum, 

Perkongsian resipi pemanis mulut untuk petang ini adalah Puding Keladi Selasih. Maaflah hari ini saya tidak dapat bercerita panjang sebab sehari dua ini termasuk juga hari ini saya agak sibuk dengan jadual kerja harian. Langsung sahajalah kita layan resipi puding Keladi Selasih yang saya sediakan step by step dibawah ini ye dan selamat mencuba ❤❤❤  
PUDING KELADI SELASIH
Bahan A
10gm agar-agar bertali
3 ½ cawan air
½ cawan gula pasir
1 paket sumi
2 sudu besar biji selasih (Rendam dalam air panas hingga kembang)

Cara membuatnya :

1.   Masak agar-agar dengan air hingga larut. Setelah itu masukkan gula dan masak sebentar hingga mendidih dan matikan api dapur.

2.  Masukkan biji selasih kedalam agar-agar, kacau hingga sebati dan matikan api dapur.

 
3. Sediakan Loyang saiz 8 x 8inci, susun sumi dalam loyang, tuang  agar-agar perlahan-lahan atas sumi hingga habis dan biarkan sederhana beku. 
Bahan  B
10gm agar-agar bertali
1 ½ cawan air
½ cawan gula pasir
1 tin susu cair
Secubit garam 
2 sudu besar pes keladi (double lion)

Cara membuatnya :

1.   Masak agar-agar dengan air hingga larut. Setelah itu masukkan gula dan masak sebentar hingga mendidih. Masukkan pula susu cair, secubit garam dan dua sudu besar pes keladi.
 

2.  Akhir sekali tuang agar-agar tersebut kedalam Loyang tadi dan sejukkan seketika sebelum masukkan kedalam peti ais.
Assalamualaikum

Perkongsian resipi pagi ini adalah pisang sira dari negeri cik Siti Wan Kembang. Jujurnya saya kurang arif mengenai resipi sebenar pisang sira ni sebab pernah makan pun sekali dua sahaja ketika berkunjung kesana, dan di Langkawi ini memang tak pernah lihatlah orang berjualan pemanis mulut ini.

Resipi yang saya buat ini adaptasi dari blog Nadz@cute oven small kitchen, dan menurut Nadz resepi pisang sira ni, tak ada yang standart tertentu. Ianya bergantung kepada citarasa masing-masing. Kalau suka makan pisang sira dengan air gulanya yang banyak, tambahkan lagi air dan juga gulanya. Kalau suka air gulanya sedikit likat perlulah lebihkan gula, tetapi baiknya kurangkanlah  gula, nanti kena diabetes pula kan.

Bunga cengkih dan bunga lawang tu pula boleh adjust ikut selera masing-masing juga. Mungkin ada orang yang suka bau rempah-rempah ni. Ada juga yang lebih suka menikmati pisang sira yang biasa/kosong sahaja. Jadi adjustlah sama ada nak letak banyak atau sikit dua bahan itu atau tak nak letak langsung pun boleh. Kalau saya cuma letakkan bunga cengkih sahaja.

Baiklah terimakasih untuk Nadz dan saya kongsikan sekali lagi resipi pisang sira yang telah saya cuba ini :) 
PISANG SIRA
Bahan-bahan :
5 biji pisang nangka - kupas dan belah dua
1 cawan air
½  cawan gula pasir
5 kuntum bunga cengkih
1 kuntum bunga lawang
1 helai daun pandan
Setitis pewarna kuning

Cara menyediakannya :

1. Masak gula bersama air di dalam periuk. Masukkan daun pandan dan biar sehingga menggelegak dan gula larut.

2. Sementara itu kupas kulit pisang dan belah pisang kepada dua bahagian memanjang.

3. Kecilkan api dapur. Titiskan setitis pewarna kuning dan masukkan pisang bersama bunga cengkih dan bunga lawang.

4. Setelah itu tutup periuk dan reneh sehingga pisang empuk dan matikan api dapur. Boleh dihidang setelah hilang wap panasnya ataupun lebih sedap disejukkan dahulu di dalam peti ais.
Assalamualaikum, 

Hari ini awal datang semangat nak update blog. Terfikir-fikir nak mula dari mana agaknya ya. Ibarat rumah yang dah lama ditinggalkan penuh bersawang, bingung juga nak start berkemas dari mana dulu. Bila saya godek-godek gambar di draft, rasanya saya patut mulakan berkongsi gambar-gambar yang tersiar di Majalah Saji sebelum ini kerana resipinya pun dah siap sedia dalam file, dan ianya menjimatkan masa untuk mengarang dan edit. Cuma tak adalah disediakan step by step langkah membuat resipi ini kerana untuk photoshoot Majalah selalunya cuma ambil gambar final sahaja sesuai dengan kehendak pengarang.

Baiklah untuk pagi ini saya ingin berkongsi resipi bubur butir nangka, iaitu pemanis mulut dari pantai timur seperti Kelantan dan Terengganu. Asyik masak makanan utara je kan, sesekali nak juga cuba masak resipi dari negeri lain. Jom try buat bubur butir nangka. Pastinya sedap dan mudah disediakan.

BUBUR BUTIR NANGKA
2 cawan tepung pulut
1 cawan air
2 helai daun pandan
Beberapa titis pewarna hijau dan merah
Air untuk merebus secukupnya.

Bahan-bahan untuk kuah:
1 biji santan kelapa (800ml)
½  cawan gula pasir (kalau suka manis lebihkan)
½  sudu teh halba
1 sudu teh garam
2 helai daun pandan

CARA MEMASAK KUAH

1. Satukan kesemuanya kedalam periuk dan sentiasa kacau hingga mendidih tetapi jangan sampai pecah minyak. Setelah siap ketepikan seketika.

CARA NAK BUAT BUTIR NANGKA
1. Campurkan 2 cawan tepung pulut dengan 1 cawan air dan uli hingga sebati.

2. Bahagikan adunan kepada 2 bahagian, warnakan satu adunan dengan warna hijau & satu lagi dengan warna merah.

3. Jerang air dalam periuk dan masukkan daun pandan. Biarkan sehingga air mendidih  sambil gentelkan adunan tadi menjadi bentuk bujur sebesar jari manis.


4. Masukkan adunan kedalam air mendidih dan setelah butir nangka terapung, maksudnya ia telah masak. Sejatkan & masukkan ke dalam kuah santan tadi dan sedia untuk dinikmati.
Assalamualaikum dan selamat berhari minggu untuk pembaca yang sudi menjenguk ke blog ini. Bagaimana cuaca ditempat anda? Kalau di Pulau Langkawi saat ini mendung sahaja dan petang-petang begini mulalah berfikir sesuatu hidangan yang sesuai untuk mengisi perut. Mula-mula terlintas juga nak makan keledek rebus cicah kelapa parut, tapi...alangkah enaknya jika dapat hirup kuah serawa atau pengat yang lemak manis dan hidangkan pula ketika cuaca begini, kan :). 

Jadi pilihan untuk hidangan petang ini jatuh kepada bubur cha cha lah nampaknya. Kombinasi keledek oren, keladi dan cha cha sungguh sedap sekali. maklumlah, dah lama tak makan. Puas hirup kuahnya yang lemak manis tu. Gambar kat bawah ni cuma guna untuk 'shoot' sahaja tetapi realitinya saya pindahkan kedua-dua bubur cha cha dalam ramekin ini kedalam mangkuk besar selepas selesai ambil gambar dan habiskan semuanya. Hihihi...barulah puas makan. 

Buat bubur cha cha ni sangat mudah dan sama seperti bubur-bubur manis lainnya. Tapi bagi yang belum tahu, bolehlah ikut resipi dibawah ini. 

BUBUR CHA CHA 
1 ketul keledek + 1 ketul ubi keladi 
1/2  cawan cha-cha
1 kotak santan KARA (200ml)
800ml air (anggaran)
1/2 cawan gula melaka - dihiris
1 cawan gula pasir
secubit garam
Dua helai daun pandan - disimpul

Cara membuatnya:

1. Kupas dan potong kiub keledek dan ubi keladi. Cuci bersih dan kukus hingga lembut. Boleh juga merebus. Setelah itu toskan dan ketepikan seketika. 
2. Rebus cha cha sebentar dan setelah kembang, matikan api dapur dan toskan. Ketepikan juga seketika.

3. Didalam periuk lain, jerang air dan masukkan bahan santan kara serta daun pandan. Masukkan juga gula pasir, gula melaka dan secubit garam. Kacau hingga larut. 


4. Seterusnya masukkan keledek, ubi keladi serta cha cha dan renih. 


5. Jangan masak terlalu lama kerana ubi akan hancur. Cukup sekadar sebati dengan kuah dan setelah secukup rasa bolehlah matikan api dapur dan hidangkan.


Assalamualaikum, 

Serawa ubi kayu bersagu adalah sejenis dessert yang sedap dinikmati petang-petang begini. Kombinasi ubi kayu rebus yang lemak dan gebu dipadankan pula dengan gula melaka dan santan serta wanginya daun pandan..hmm memang membuka selera. Boleh kurangkan penggunaan gula bagi yang kurang makan manis dan boleh juga gantikan santan dengan susu cair. 

Resipinya mudah sahaja,sama seperti kita masak serawa atau pengat lain, cuma ubi kayu perlu direbus terlebih dahulu hingga empuk sebelum menghasilkan serawa. 

Kalau ada ubi kayu, bolehlah cuba resipi dibawah ini :) 

SERAWA UBI KAYU DENGAN SAGU 
1 ketul ubi kayu (dalam 500gm)
1 keping gula melaka
1 1/2 cawan santan pekat 
2 cawan air
2 sudu besar sagu 
1/2 cawan gula (kurang atau lebihkan ikut kemanisan yang anda mahu)
1 helai daun pandan - dicarik dan simpulkan
secubit garam

Cara memasak:

1. Kupas ubi kayu dan buang serat dibahagian tengahnya. Rebus dengan sedikit garam hingga empuk dan toskan. Ketepikan seketika.
2. Didalam bekas lain, rebus air hingga agak mendidih. Masukkan sagu dan kacau sehingga sagu kembang.

4. Masukkan gula pasir, daun pandan dan gula merah kedalam periuk. Masak lagi hingga mendidih.
5. Tuang pula santan pekat serta secubit garam, kacau hingga sebati.


6. Akhir sekali masukkan ubi kayu yang di rebus tadi dan masak sebentar. Bolehlah dihidangkan.
Assalamualaikum, 

Dalam cuaca yang panas dan kering macam sekarang memang sedap kalau dapat makan yang sejuk-sejuk macam timun betik bersagu ni. Kalau di Langkawi, timun betik memang ada dijual pada musim sekarang iaitu musim menuai tembikai tempatan dan kedua tanaman ini ditanam berselang-seli. Buah tembikai Langkawi saiznya agak kecil tapi rasanya memang manis. Tetapi hari ini saya ingin bercerita tentang timun betik salah satu daripada keluarga melon.

Buah timun betik ni harum baunya seakan-akan buah tembikai susu ketika telah masak tetapi rasanya sedikit tawar. Jadi kita harus campurkan dengan gula melaka ketika menghidangkan dengan santan dan saya tambahkan juga sagu yang telah dimasak sehingga jernih.

Tanaman ini tidak bermusim sebenarnya tetapi hanya popular dan dijual pada musim panas. Tetapi jangan risau kalau anda tak dapat mencari timun betik, kerana hidangan ini juga boleh digantikan dengan buah tembikai susu. Cubalah...semangkuk memang tak cukup dibuatnya dalam musim panas begini. Segar...  
TIMUN BETIK BERSAGU
Bahan-bahan
1 biji timun betik yang masak (bersaiz kecil) - Boleh gantikan dengan tembikai susu
1 cawan sagu - saya gunakan yang warna hijau
½ cawan gula melaka
½ cawan air 
1 cawan santan dimasak dengan ½ sudu teh garam

Cara membuat :

1. Campurkan gula melaka dan air serta renihkan sehingga larut dan mendidih. Ketepikan seketika dan biarkan menjadi sejuk.
2. Didalam periuk, didihkan 6 cawan air dan masukkan sagu. Kacau sehingga sagu lembut dan jernih. Masukkan kedalam penapis dan lalukan dengan air. Ketepikan seketika.
 3. Sediakan gelas atau mangkuk dan masukkan ais kiub. 
3. Seterusnya scoop isi timun betik ataupun potong kiub dan masukkan kedalam gelas tersebut.
5. Campurkan sirap gula melaka, santan dan sagu. Hidangkan sejuk.
Assalamualaikum, 

Selamat berhujung minggu untuk semua yang sudi berkunjung ke blog ini. Alhamdulillah, nampaknya di Langkawi cuaca cerah sekali petang ni. Bebas dari jerebu dan sesuailah kalau nak beriadah di luar rumah bersama keluarga. Bagi yang tak kemana-mana pula tu, apa kata kita sediakan hidangan petang untuk keluarga. Yang ringkas-ringkas macam bubur kacang hijau lemak manis ni pun jadilah asalkan ada juga airtangan sendiri. Dapat cicah dengan biskut pun sedap ni.

Jika ada lebihan bubur kacang hijau lemak manis yang tidak habis saya masukkan pula dalam plastik dan buat aiskrim malaysia  untuk anak-anak. Sedap sangatlah bila panas-panas pulang dari sekolah ada aiskrim kacang hijau dalam petiais, tak cukup sebatang dibuatnya. Memang bubur kacang hijau lemak manis ni boleh dinikmati dengan berbagai cara.

Untuk menghasilkan bubur kacang yang sedap dan wangi selalunya kacang hijau digoreng terlebih dahulu tanpa minyak dan selepas itu direndam. Nak tengok resipinya...jom kita lihat. Oh sebelum itu terima kasih kepada Nuanza kerana perkongsian resipi yang sedap ini. :)

BUBUR KACANG HIJAU LEMAK MANIS
Bahan-bahan
2 cawan kacang hijau
2 cawan santan pekat 
½ cawan susu pekat manis
2 sudu besar gula merah / putih (kena agak-agak sendiri, sebab susu pekat tu dah manis)
½ sudu teh garam
2 helai daun pandan - disimpul
2-3 sudu besar sagu

Cara membuatnya:

1. Goreng kacang hijau tanpa minyak didalam kuali dalam 3 hingga 4 minit, kemudian tutup api dan masukkan air.
2. Biarkan kacang hijau tersebut terendam dalam 1 jam.
3. Seterusnya bilas kacang tersebut dan rebus hingga kacang empuk. 

4. Bila semua kacang dah pecah dan empuk, masukkan semua bahan lain kecuali sagu. biarkan mendidih sekejap, kemudian masukkan sagu.
5. Tambah air jika agak pekat sebab bila dah sejuk nanti, kuah akan makin pekat. kalau masak agak lama sikit, bubur tak mudah basi