Assalamualaikum, 

Labu kuning boleh dipelbagaikan didalam masakan seharian. Tak kiralah dimasak pedas, rampai didalam masak lemak, dibuat kek, muffin, tart, brownies dan dijadikan bingka pun sedap juga. Selain daripada itu jika dijadikan puding pun rasanya yang lemak-lemak manis itu dijamin memikat selera. Tak susah pun nak buat puding labu ni. Jom kita lihat step by step yang saya sediakan dibawah ini ❤ 
PUDING  LABU KUNING 
Bahan-bahan
250gm labu kuning 
800ml santan 
6 sudu makan gula pasir  
10gm agar-agar serbuk  
1 sudu teh serbuk koko
Secubit garam 

Cara membuatya :

1. Kukus/rebus labu kuning. Toskan dan lenyek labu tersebut  hingga halus.
Seterusnya kisar labu kuning dengan santan

2. Masak bersama serbuk agar-agar dan gula hingga mendidih.

3. Asingkan 3 sudu besar agar-agar tersebut dan kacau dengan serbuk koko. Tuang adunan tersebut kedalam Loyang. (Jika anda menggunakan Loyang biasa, sila skip step ini)

4. Setelah agar-agar campuran koko tersebut separuh beku, tuang baki agar-agar labu tadi kedalam hingga habis dan sejukkan terlebih dahulu sebelum masukkan kedalam peti sejuk.

Assalamualaikum, 

Hidangan yang paling simple waktu sibuk adalah masakan paprik. Tak kiralah paprik ayam ke atau paprik aneka jenis seafood pun sedap juga. Kalau masak paprik ni paling senang sebab tak perlu dah lauk-lauk lain. Cukup lauk ini dihidangkan dengan sepinggan nasi putih. lagipun dalam masakan paprik ini pun dah secukup rasa dan seimbang kerana di campur dengan sayuran lain seperti lobak merah, putik jagung dan kacang panjang.

Baiklah untuk hari ini saya ingin berkongsi resipi paprik sotong. Jom try masak ❤ 
PAPRIK SOTONG
Bahan-bahannya:
½ kilogram sotong - dibersihkan dan potong 
2 ulas bawang putih - dicincang halus
3 sudu besar cili kering kisar
3 sudu besar sos cili
2 sudu besar sos tomato
2 sudu besar sos tiram
1 sudu besar kicap manis 

Bahan B
1 labu bawang holland - diracik
2 tangkai cili merah - dihiris serong
15 biji cili api - diketuk
2 helai daun limau purut - disiat-siat dan buang urat tengahnya
bunga kobis - dihiris kecil
5 biji putik jagung - dihiris serong
1/2 biji lobak merah - dihiris 
3 tangkai kacang panjang - dipotong 1 inci
garam secukup rasa
2 cawan air


Cara-caranya:

1. Panaskan sedikit minyak dalam kuali. Tumis bawang putih hingga wangi.

2. Masukkan cili kisar dan masak sebentar lalu masukkan semua sos. Kacau hingga pecah minyak.

3. Masukkan semua bahan B,  kacau seketika.

4. Masukkan pula sotong. Jika dilihat resipi ini saya masukkan sayur dahulu baru sotong sebab sotong tidak perlu terlampau masak kerana isinya akan menjadi liat. 

5. Kacau rata hingga isi sotong layu dan masukkan air. Masak hingga mendidih dan masukkan garam dan sedikit serbuk perasa(jika suka)

6. Kacau sebentar sebelum matikan api dapur dan hidangkan.
Assalamualaikum, 

Perkongsian resipi pemanis mulut untuk petang ini adalah Puding Keladi Selasih. Maaflah hari ini saya tidak dapat bercerita panjang sebab sehari dua ini termasuk juga hari ini saya agak sibuk dengan jadual kerja harian. Langsung sahajalah kita layan resipi puding Keladi Selasih yang saya sediakan step by step dibawah ini ye dan selamat mencuba ❤❤❤  
PUDING KELADI SELASIH
Bahan A
10gm agar-agar bertali
3 ½ cawan air
½ cawan gula pasir
1 paket sumi
2 sudu besar biji selasih (Rendam dalam air panas hingga kembang)

Cara membuatnya :

1.   Masak agar-agar dengan air hingga larut. Setelah itu masukkan gula dan masak sebentar hingga mendidih dan matikan api dapur.

2.  Masukkan biji selasih kedalam agar-agar, kacau hingga sebati dan matikan api dapur.

 
3. Sediakan Loyang saiz 8 x 8inci, susun sumi dalam loyang, tuang  agar-agar perlahan-lahan atas sumi hingga habis dan biarkan sederhana beku. 
Bahan  B
10gm agar-agar bertali
1 ½ cawan air
½ cawan gula pasir
1 tin susu cair
Secubit garam 
2 sudu besar pes keladi (double lion)

Cara membuatnya :

1.   Masak agar-agar dengan air hingga larut. Setelah itu masukkan gula dan masak sebentar hingga mendidih. Masukkan pula susu cair, secubit garam dan dua sudu besar pes keladi.
 

2.  Akhir sekali tuang agar-agar tersebut kedalam Loyang tadi dan sejukkan seketika sebelum masukkan kedalam peti ais.
Assalamualaikum, 

Salam jumaat penghulu segala hari. Perkongsian resipi untuk petang ini adalah Donat Gebu. Enak dimakan begitu sahaja, disalut dengan gula kastor ataupun di hias dengan toping coklat. Ada banyak resipi donat dalam blog ini dan untuk langkah demi langkah cara membuatnya bolehlah klik dipautan INI 

Untuk resipinya bolehlah ikut dibawah ini. Selamat mencuba ye ;) 

DONAT GEBU 
Bahan-bahan
160gm tepung gandum 
2 sudu besar mentega
1 sudu teh serbuk penaik 
2 sudu besar gula pasir
1 ½ sudu teh yis
60ml susu segar 
1 biji telur 
½ sudu teh esen vanila

Hiasan : Coklat masakan secukupnya - cairkan (double boil)
Kacang badam cincang secukupnya

Cara membuat :

1. Dalam bekas, masukkan susu segar, yis dan gula. Biarkan hingga berbuih

2. Gunakan bekas yang lain, masukkan tepung. Buat lubang ditengah-tengahnya dan pecahkan telur. Masukkan juga esen vanila.

3. Seterusnya tuang campuran susu segar dan yis tadi kedalam tepung dan mulalah menguli. Masukkan juga mentega dan uli selama 15minit atau sehingga doh menjadi licin dan tidak melekat pada bekas.

4. Rehat doh selama 45 minit dan tutup bekas adunan dengan tuala dapur. Setelah cukup masa, keluarkan doh dan tumbuk untuk keluarkan angin.

5. Canai doh jangan terlalu nipis atau tebal. Terap menggunakan penerap donat dan rehatkan lagi dalam 30minit.

6. Goreng dalam api sederhana sehingga masak dan setelah sejuk salutkan dengan gula kastor atau boleh juga disalut dengan coklat masakan yang telah dicairkan. Boleh taburkan badam cincang.

Nota : Jika adunan lembik dan melekat pada tangan semasa menguli, tekapkan tangan anda pada tepung dan teruskan menguli.
Assalamualaikum, 

Hari ini perkongsian lauk kampung sehari-hari yang simple tapi sedap dan sentiasa menjadi pilihan saya sekeluarga iaitu ikan selar masak lemak cili api kampung. Sebenarnya cara memasak sama je dengan masak lemak ciliapi biasa style nogori yang tak letak bawang-bawang tu. Cukup sekadar santan, kunyit hidup, serai, ciliapi dan belimbing buluh. Itupun dah sedap sangat dan secukup rasa. Oh ya kalau tak ada belimbing buluh, boleh juga gantikan dengan asam keping.   

Cuma yang agak spesial ikan selar masak lemak cili kampung ni saya guna cili kampung yang saya tanam sendiri dibelakang rumah. Begitu juga dengan belimbing buluh dan kunyit hidup, saya ambil dari rumah ibu. Simple kan lauk kampung macam ni, tak guna banyak bahan tetapi tetap membuka selera.

Jom kita lihat resipi ikan selar masak lemak cili kampung dan step-step yang saya sediakan dibawah ini :) 
IKAN SELAR MASAK LEMAK CILI KAMPUNG 
Bahan-bahan 
5 ekor ikan selar kuning  
6 biji belimbing buluh - dibelah tengah tak putus
15 biji cili kampung (boleh guna cilipadi biasa tapi dikurang atau lebihkan ikut kepedasan cili tersebut) 
1 inci kunyit hidup 
1 cawan santan pekat 
2 cawan santan cair 
2 batang serai - diketuk 
garam dan gula secukup rasa

Cara membuat:

1. Campurkan bahan kisar, santan cair dan serai kedalam periuk.

2. Masak dengan api sederhana dan sentiasa dikacau agar santan tak pecah minyak dan masukkan ikan selar kuning.

3. Masukkan pula belimbing buluh kedalam periuk.

4. Setelah itu masukkan santan pekat dan renih sehingga kuah benar-benar masak.

5. Akhir sekali perasakan dengan garam dan gula secukupnya dan bolehlah matikan api dapur serta hidangkan dengan nasi putih.

Assalamualaikum, 

Nasi lemak buah bidara
Sayang selasih hamba lurutkan 
Buang emak buang saudara
Kerana kasih hamba turutkan

Gitu, pembuka bicara petang ini. Hihihi...pantun diatas tu memang indah sekali dengan pembayang dan maksud mempunyai hubungan dan rima akhir juga tersusun rapi. Pembayangnya juga ada unsur alam dan dilontarkan dengan bahasa kiasan yang halus dan penuh dengan sindiran.  Cuma hakak nak pesan pada adik-adik yang sedang dilamun cinta, janganlah sampai buang keluarga semata-mata mengejar nafsu cinta yang tak kemana. Takut menyesal dikemudian hari dik oiii. Tetiba je kan saya jadi hakak bawang petang hari ni. Hihihi...

Sebenarnya saya nak cerita cuma resipi nasi lemak sambal bilis je, tapi melalut-lalut pula sampai ke pantun bagai. Tak apalah disamping berkongsi resipi kita selitkan juga nasihat dan sama-sama berpesan-pesan. Eh jomlah kita tengok perkongsian resipi dibawah ni...
NASI LEMAK SAMBAL IKAN BILIS
Bahan-bahan
Nasi lemak:
3 cawan beras - dibasuh & tuskan 
4½ cawan air yang bercampur dengan santan (3 cawan air & 1 ½ cawan santan)
2 cm halia - dihiris nipis
1 batang serai - diketuk
2 ulas bawang merah - dihiris
1 sudu teh lada hitam 
2 helai daun pandan -disimpul
1 sudu teh garam 

Sambal tumis ikan bilis:
100gm ikan bilis - dibersihkan & digoreng
½ cawan air asam jawa
½ cawan minyak masak 
Garam & gula secukup rasa (suaikan dengan ikan bilis yang masin)

Bahan Kisar
Sedikit ikan bilis - dibersihkan 
15 tangkai cili kering -direbus
2 labu bawang besar
½ inci belacan 

Cara membuat:

1. Nasi lemak : Masukkan beras ke dalam periuk nasi elektrik, diikuti dengan santan bercampur air dan garam.

2. Kemudian masukkan daun pandan, halia, serai bawang merah dan lada hitam. Kacau sekali lalu dan tutup periuk. Masak seperti nasi biasa.

3. Sambal tumis ikan bilis : Rebus cili kering sehingga benar-benar kembang dan tuskan. Kisar bersama bahan dikisar.

4. Panaskan minyak dalam kuali, tumis bahan kisar hingga pecah minyak.

5. Masukkan air asam jawa, garam dan gula secukup rasa. Renihkan lagi.

6. Bila sambal telah pekat, bolehlah masukkan ikan bilis yang telah digoreng atau hidangkan berasingan dengan nasi lemak.

7. Setelah nasi masak, bolehlah dihidangkan dengan telur rebus, sambal ikan bilis dan kacang goreng.

Assalamualaikum, 

Apa khabar netizen yang masih sudi masuk ke blog fiza's Cooking? Masih belum terlambat rasanya untuk saya ucapkan Selamat Tahun Baru 2018, dan semoga tahun ini perjalanan hidup, rezeki dan kesihatan kita semua lebih baik dari tahun-tahun lalu, InshaAllah. 

Ok ini adalah entry pertama saya untuk tahun ini iaitu Nasi Ayam Hainan. Kalau kita lihat bahan-bahan yang digunakan nampak macam banyak kan. Tetapi sebenarnya bahan-bahan tu memang dah tersedia dalam dapur kita dan digunakan untuk masakan sehari-hari.

Baiklah jom tengok resipi nasi ayam hainan sedap yang saya sediakan dibawah ini. 
NASI AYAM HAINAN 
Bahan ayam hainan
1 ekor ayam - dipotong empat 
2 ulas bawang putih - dicincang halus
1 inci halia - dipotong nipis
2 kiub ayam
2 liter air
Garam secukup rasa

Bahan nasi 
4 cawan beras  - dicuci dan tuskan 
2 sudu besar minyak 
2 biji bawang putih - dikisar 
2 inci halia - dikisar 
½  sudu besar minyak bijan 
2 helai daun pandan - disimpul 
5 cawan air rebusan ayam 

Bahan sambal (dikisar halus)
3 biji cili merah 
2 ulas bawang putih
1 labu bawang besar 
½  inci halia
1 sudu besar jus limau nipis
1 sudu besar gula pasir
2 sudu besar sos cili 

Bahan sup 
½  bahagian air rebusan ayam
½  sudu teh lada sulah 
1 pokok daun sup - dihiris halus

Cara membuat :

1. Ayam Hainan : Rebus ayam dengan bahan-bahannya dengan api sederhana dalam 30minit. Angkat ayam dan ketepikan.

2. Bahagi dua air rebusan ayam untuk digunakan melengkapkan sup dan nasi ayam nanti.

3. Nasi : Panaskan minyak, tumis bawang putih dan halia hingga wangi. Masukkan air rebusan ayam dan seterusnya beras, simpulan daun pandan dan minyak bijan. Masak seperti biasa.

4. Sambal : Tuang semua bahna yang telah dikisar dalam periuk, masak hingga agak pekat.

5. Sup : Didalam periuk lain, panaskan baki air rebusan ayam hingga mendidih dan masukkan lada sulah serta daun sup. Matikan api dapur.

6. Setelah siap, hidang bersama daun salad, hirisan timun dan hirisan tomato sebagai pelengkap menu nasi ayam hainan ini. 

Ok itulah resipi Nasi Ayam Hainan sedap, entry pertama saya pada tahun 2018 ni. Selamat mencuba ye ;)