Assalamualaikum, 

Pizza dan selera anak-anak berpisah tiada. Dah beberapa kali saya kongsikan resipi pizza didalam blog dan hari ini dalam bentuk pizza mini pula. Bahan-bahan yang saya gunakan sebagai topping pun sekadar yang ada didalam peti sejuk  dirumah sahaja tetapi tetap mendapat sambutan dan sekejap je habis. 

Memang seronok buat roti, pizza atau kek ketika anak-anak semua berkumpul dalam tempoh cuti sekolah ni.

Bagi yang ingin mencuba buat sendiri pizza mini dirumah, bolehlah ikut resipi dibawah ni. Jom lihat bahan-bahan yang digunakan.  

PIZZA MINI
Bahan A
1 ½ cawan air suam (atau susu segar - suam)
2 ½ sudu besar gula 
2  sudu teh yis
4 ½ cawan tepung roti (protein tinggi)
1 ½  sudu teh garam
2 ½ sudu besar minyak zaitun

Bahan B
Sosej secukupnya
capsicum
sedikit serbuk oregano
bawang holland
sos cili + tomato
Keju mozarella

Cara membuatnya :

1. Campur air suam dengan yis. Tunggu kira-kira 15minit sehingga berbuih.

2. Masukkan tepung roti, gula dan garam kedalam bekas adunan. Kemudian tuang campuran air dan yis yang telah berbuih sambil diuli.

3. Masukkan pula minyak zaitun dan uli lagi. Setelah adunan licin dan elastik, masukkan kedalam mangkuk besar dan tutup dengan plastik kira-kira 60minit atau sehingga mengembang.
4. Kempiskan adunan dan timbang pada berat yang sama menjadi beberapa bahagian. Saya tidak timbang adunan dan bahagikan kepada 8 bahagian.
5. Nipiskan adunan, letak topping dan tabur parutan keju. Biarkan adunan mengembang lagi selama 15minit sebelum masukkan kedalam oven.
6. Bakar selama kira-kira 15 minit. Keluarkan dari oven, sapu mentega atau minyak zaitun di tepi pizza. Lebih sedap jika paipkan mayonis sebelum dihidangkan.



Assalamualaikum,


Ada tak pembaca blog yang tak suka makan ulam-ulaman? Rugi kalau tak suka tau...kerana selain daripada penawar kepada berbagai jenis masalah kesihatan, ulam-ulaman juga sedap jika dipelbagaikan dalam hidangan, seperti diurap, campurkan dalam pecal/gado-gado ataupun dibuat kerabu dan gandingkan dengan nasi putih. Bagi masyarakat barat pula mereka memang suka makan sayuran mentah iaitu hidangkan dalam bentuk salad, malah saya sering lihat pelancong barat yang mencuba ulam-ulam tempatan kita bila melancong kesini. Rugilah kalau kita sendiri tak suka atau teringin mencuba, kan.

Bagi saya ulam-ulaman paling sedap jika jika dibuat kerabu, iaitu campurkan dengan kerisik. Dah banyak resipi kerabu berasaskan kerisik dalam blog ini, tetapi hari ini saya ingin kongsikan juga kerabu ulaman bagi yang ingin mencubanya. Rasanya tak perlu juga saya sediakan langkah demi langkah untuk membuatnya kerana ianya amat simple sekali. Kalau suka, bolehlah masukkan bahan tambahan seperti udang rebus ataupun isi ikan bakar kedalam kerabu ini. Jom...check resipi dibawah ni :)   
KERABU ULAMAN
Bahan A - Dimayang 
4 batang kacang botol@kelisa
Secekak taugeh - bersihkan
5 tangkai kacang panjang
4 tangkai daun selom 
1 labu bawang besar 

Bahan B - Ditumbuk lumat 
5 tangkai cili padi 
1 biji cili merah 
sedikit belacan - di bakar 
5 sudu besar kerisik
garam secukup rasa

Bahan C
1 biji limau nipis - ambil jusnya
2 sudu beras - sangai hingga wangi dan tumbuk halus 

Cara penyediaan :

1. Bersihkan semua ulaman dan mayang halus bersama dengan bawang besar. Untuk taugeh, boleh juga celurkan sebentar dengan air panas dan toskan. Ada juga yang tidak suka celur dan masukkan taugeh mentah. Ikutlah selera kita macamana.

2. Tumbuk semua bahan B hingga lumat dan masukkan jus limau nipis serta beras yang disangai tadi.

3.  Masukkan semua ulaman kedalam mangkuk besar dan gaul dengan bahan-bahan yang di tumbuk tadi. 

4. Suaikan rasanya dan sedia untuk dihidangkan.

Assalamualaikum,


Apa khabar semua pembaca blog yang tak jemu-jemu masuk ke blog ini. Semoga semuanya didalam lindungan Allah dan sihat sentiasa. Lama benar saya tidak update blog. Selain dari kesibukan tugas harian dan habiskan masa bercuti dengan keluarga sempena cuti sekolah, laptop juga dah lama meragam dan terpaksa dihantar repair. Alhamdulillah hari ni laptop dah kembali 'sihat' dan setelah 3 minggu menyepikan diri, bolehlah masukkan resipi.

Entry pembuka adalah resipi kek marble sirap ros nutella. Panjang 'nau' nama resipinya...tapi ia hanyalah sekadar kek marble biasa yang telah diubah suai dan apa yang boleh saya katakan adalah...berbaloi mencubanya. Gandingan sepadan wangi sirap ros dan keenakkan nutella benar-benar memikat selera. Cubalah...resipinya ada dibawah ini.

KEK MARBLE SIRAP ROS NUTELLA
Bahan-bahan
300gm mentega 
280gm tepung gandum 
1 sudu teh baking powder
5 biji telur
240gm gula kastor
1 sudu besar ovalette
30ml minyak masak
20ml air
1/2 sudu teh esen vanilla 
1 sudu besar sirap ros
2 sudu besar nutella

Cara penyediaan :

1. Pukul mentega sehingga kembang, kemudian masukkan tepung yang telah diayak.

2. Dalam bekas lain pukul telur, ovalette, gula sehingga kembang dan berkrim. Kemudian masukkan adunan mentega tadi bersama minyak dan air. Pukul hingga sebati.

3. Bahagikan adunan kepada dua. Satu bahagian dimasukkan sirap ros dan satu bahagian lagi diletakkan nutella. Jika ingin warna yang agak terang, boleh tambahkan beberapa titis pewarna merah jambu kedalam adunan berisi sirap ros dan 1 sudu besar serbuk koko kedalam adunan berisi nutella.

4. Tuang kedua adunan berselang-seli kedalam loyang hingga habis.

5. Bakar pada suhu 175'c selama kira-kira 45minit atau sehingga kek masak. Setelah kek sejuk bolehlah dipotong dan hidangkan. Jika suka bolehlah hiaskan dengan nutella dan taburan coklat.

Assalamualaikum, 

Kue teow goreng simple ini saya buat sebagai sarapan pagi untuk anak-anak pagi ini. Semua ada dirumah kerana cuti sekolah dan ini buatkan saya bersemangat untuk memasak kerana ada yang akan habiskan. 

Untuk sarapan pagi ini, si bongsu ada request kue teow kerang, tetapi saya gantikan dengan udang kerana tidak ada stock kerang segar di pasar. Yang banyak dijual hanya kerang frozen yang isinya liat dan agak tawar kerana mungkin telah lama terendam didalam air.

KUE TEOW GORENG SIMPLE
Bahan-bahan
500gm kue teow - dileraikan 
segenggam taugeh 
3 ulas bawang putih - diketuk dan cincang 
5 tangkai daun kucai - di potong kira-kira 1 inci 
segenggam udang
1 biji telur
2 sudu besar cili kisar

BAHAN SOS (di satukan kedalam mangkuk dan di kacau)
2 sudu besar sos tiram 
4 sudu besar kicap pekat 
2 sudu besar kicap cair
2 sudu besar sos tomato
1/4 cawan air 

Cara memasak :

1. Panaskan kuali, masukkan 1 1/2 sudu besar minyak masak, tumis bawang putih hingga wangi dan terus masukkan udang. Kacau sebentar, dan masukkan cili kisar serta bahan sos. 


2. Bila bahan sos kelihatan mendidih sedikit, masukkan kue teow dan kacau rata.

3. Masukkan juga taugeh dan daun kucai dan  kacau lagi hingga bercampur.

4. Ketepikan kue teow dan masukkan 1/2 sudu lagi minyak masak di dalam kuali. Pecahkan telur dan kacau hingga bercampur dengan kue teow tadi. Lakukan dengan pantas. 

5. Biarkan sebentar diatas api dapur dan angkat. Hidangkan dengan cili jeruk sebagai pelengkap rasa.

Assalamualaikum, 

Dah lama tak pekena mee sizzling buatan sendiri dan yang ini pun entry tertunggak sebenarnya. Saya masak minggu lepas, tapi tak update dalam blog. 

Ada yang bertanya, bagaimana menjaga hot plate yang sering berkarat dan terpaksa dicuci lagi sebelum digunakan untuk memasak. Dari pengalaman sendiri, walaupun dah bertahun-tahun menyimpan hot plate didalam stor, InshaAllah ia bebas karat kerana sebelum menyimpan saya akan panaskan hot plate atas api dapur hingga benar-benar kering (selepas dicuci bersih), seterusnya sapu minyak masak di permukaannya ketika masih panas. Setelah sejuk bolehlah disimpan seperti biasa. Cubalah dan lihat hasilnya.

Baiklah untuk entry petang ini, saya kongsikan resipi mee sizzling dan tak perlu tunggu ada hot plate terlebih dahulu untuk mencubanya. Guna kuali biasa di rumah pun tak ada masalah.   

MEE SIZZLING
Bahan-bahan
2 gulung yee mee
3 ulas bawang putih - dicincang halus
1/2 inci halia - dicincang halus
150 gm isi ayam - dipotong dadu
6 kuntum cendawan shitake - di rendam hingga lembut dan hiris
4 tangkai cili kering - di potong sepanjang 1 inci

Bahan kuah
4 sudu besar sos tiram
3 sudu kicap cair
3 sudu besar kicap pekat
1 sudu teh serbuk lada hitam
1/2 sudu teh minyak bijan
2 sudu besar tepung jagung
minyak untuk menumis
4 cawan air

Cara membuatnya:

1. Tumis bawang putih, halia dan cili kering hingga wangi. Masukkan isi ayam, dan masak hingga agak empuk.

2. Masukkan bahan sos iaitu sos tiram, kicap cair dan  kicap pekat sambil dikacau. Seterusnya masukkan 4 cawan air.

3. Renihkan kuah hingga mendidih dan masukkan serbuk lada hitam. Seterusnya masukkan cendawan shitake dan pastikan kuah tersebut secukup rasa. 

4. Setelah itu masukkan air tepung jagung untuk memekatkan kuah. Kacau hingga sebati dan akhir sekali masukkan minyak bijan dan matikan api dapur.

5. Untuk menghidangkan mee sizzling : Masukkan segulung yee mee kedalam hot plate bersama dengan sayur sawi dan pecahkan sebiji telur. Tuang kuah secukupnya dan biarkan mendidih (sizzle). Bila mee lembut serta telur separuh masak, angkat hotplate dan bolehlah dihidangkan.