ASAM PEDAS IKAN TONGKOL

Assalamualaikum, 

Selamat tahun baru 2019 dan hari ini alhamdulillah fizalgk bersiaran lagi setelah lama menyepikan diri dari berblogging. Lama betul saya tidak menulis blog...bukan sebab merajuk, bukan sebab kekeringan idea atau dah bersara dari menulis tetapi sebab yang utama adalah saya menumpukan perhatian kepada ibu tercinta yang disahkan mengidap penyakit yang semua dari kita jika diberi peluang untuk mengelak pasti tiada siapapun tidak mahu di uji dengan penyakit ini. Memang berat tetapi jika Allah berkehendak demikian, siapalah kita untuk menidakkan. Ibu disahkan mengidap kanser usus dan ovari pada tahun lepas dan setelah menerima perkhabaran tersebut saya tiada semangat lagi untuk aktif di media sosial dan seluruh perhatian tertumpah pada ibu. 

Alhamdulillah sekarang ibu telah melepasi tahap kritikal dimana pembedahan usus dan ovari telah dilakukan serentak pada penghujung tahun lepas di Hospital Sultanah Bahiyah Alor Setar dan sekarang ibu telah kembali berehat dirumah. Masih lagi ikuti jadual rawatan susulan dengan pihak hospital dari masa kesemasa dan InshaAllah saya sentiasa pastikan ibu mendapat rawatan yang terbaik.

Sepanjang ibu sakit bukan saya tidak masak tapi memang dah tak terfikir nak ambil gambar macam aktif-aktif berblogging dulu. Untuk entri Asam Pedas Ikan Tongkol hari ini pun saya snap guna hand phone murah je, jadi qualiti gambar memang kelaut lah. Tak mengapalah kan...ada juga entri untuk awal tahun 2019 ni. Resepi biasa-biasa je macam asam pedas yang kita masak hari-hari dirumah. 

ASAM PEDAS IKAN TONGKOL 
Bahan  A - Dikisar halus
2 labu bawang besar 
4 ulas bawang putih 
1 inci halia
1 inci kunyit hidup 
1 inci belacan 
1 sudu kecil lada hitam 

Bahan B
1 senduk cili kisar (Saya guna lebih kurang 15 tangkai cili kering)

Bahan C 
2 ekor ikan tongkol saiz kecil atau sederhana
½ cawan air asam jawa pekat 
Daun kesum secukupnya 
Bendi secukupnya
1 kuntum bunga kantan - Saya tak letak sebab tak ada stok 
Garam secukup rasa
Air secukupnya 

Cara memasak :

1. Panaskan minyak dan tumis bahan kisar (bahan A) hingga harum dan berubah warna. 


2. Masukkan pula cili kisar dan kacau sehingga pecah minyak. Rahsia untuk mendapatkan asam pedas yang sedap adalah bahan-bahan tumisan hendaklah betul-betul masak dan pecah minyak.


3. Setelah bahan tumis kelihatan pecah minyak dan agak garing, masukkan pula air asam jawa.


4. Tunggu hingga mendidih kemudian masukkan daun kesum, bunga kantan(jika ada) dan bendi.


5. Renih hingga berbau harum dan setelah itu masukkan ikan biarkan mendidih serta perasakan dengan garam secukup rasa.