Assalamualaikum, 

Bagi yang suka 'baking' pasti ada lebihan bahan-bahan yang digunakan untuk untuk buat kek dan biskut sempena lebaran baru-baru ini, kan? Kadang-kadang tu terbuang begitu sahaja ataupun menghampiri tarikh luput. Begitu jugalah dengan saya...bila godek-godek di dalam almari dapur rupanya masih ada bahan-bahan yang berbaki seperti coklat chips, hirisan almond, kismis dan kelapa kering.

Dari terbiar begitu sahaja, baki kelapa kering ini saya buatkan lempeng dan gandingkan pula dengan kari ikan sebagai hidangan minum petang semalam. Si bongsu pula lebih suka cicah lempeng kepala kering ini dengan susu pekat manis.

Kalau ada baki kelapa kering janganlah dibuang, ye. Kita gunalah kreativiti dan manafaat bahan seadanya untuk hasilkan hidangan untuk keluarga. Nak cuba buat resipi lempeng kelapa kering yang mudah ini? Jom lihat resipi dan bahan-bahannya dibawah ini. Selamat mencuba ye :) 

LEMPENG KELAPA KERING
Bahan-bahan
1 Cawan Tepung Gandum 
1 1/4 Cawan air 
1/2 sudu teh garam 
1/4 cawan kelapa kering 
1 sudu besar gula pasir 

Cara membuatnya :

1. Masukkan tepung gandum kedalam mangkuk bersama garam.

2. Seterusnya masukkan juga kelapa kering, air dan gula pasir.

3. Kacau hingga sebati dengan spatula sehingga adunan sebati dan tidak berketul.

4. Lengserkan sedikit minyak ataupun mentega kedalam kuali anti lekat (non stick pan) dan tuang adunan kedalam kuali.

5. Tuang adunan menggunakan senduk. Masak dengan api perlahan sehingga lempeng agak garing.  
6. Bila lempeng kelapa kering sudah masak, bolehlah dihidangkan dengan kuah kari,sambal tumis ataupun susu pekat manis.
Assalamualaikum, 

Sedapnya dapat makan Oreo Brownies petang-petang macam ni, kan. Nak membuatnya pun mudah, pakai spatula ataupun ballon whisk sahaja. Ikut resipi yang diberi...kacau-kacau...masukkan kedalam loyang dan bakar. Begitulah mudahnya nak buat brownies. Tak perlu nak fikir bantat ke tidak sebab memang tekstur brownies macam ni..berbeza dengan kek.

Resipi brownies dibawah ini hampir sama dengan brownies-brownies lain cuma saya taburkan oreo diatasnya sebelum dibakar. Kalau tak suka oreo dan nak guna bahan lain seperti hirisan badam, coklat chips atau aneka kekacang pun boleh juga, tapi kena tukar namalah. Tak boleh dipanggil oreo brownies lagi, kan. :)

Bagi yang ingin mencuba, jom tengok resipi dibawah ni. Happy baking ;)  

OREO BROWNIES
Bahan A
150gm mentega 
170gm Coklat masakan

Bahan B
2 biji telur - Gred A
175gm gula kastor

Bahan C - (Diayak)
130gm tepung gandum 
25gm serbuk coklat 
1 sudu teh esen vanilla
1/2 sudu teh baking powder
Oreo secukupnya untuk taburan (saya guna oreo saiz kecil)

Cara membuatnya : 

1. Sediakan loyang bersaiz 8in x 8in, sapu margerin dan alas loyang dengan kertas baking. 

2. Cairkan bahan A (guna microwave ataupun kaedah double boiler : isi air didalam periuk dan panaskan atas dapur hingga mendidih, letakkan kuali yang berisi mentega dan coklat masakan diatas periuk tadi dan kacau hingga cair). Ketepikan seketika.


3.  Sementara menunggu bahan A yang dicairkan tadi sejuk,  kacau bahan B menggunakan whisk/spatula hingga gula larut dan adunan sekadar berbuih sahaja.

4. Seterusnya masukkan bahan A tadi kedalam mangkuk tersebut dan masukkan  juga bahan C. Kacau hingga sebati.
5. Tuang adunan kedalam loyang dan tabur biskut oreo keatasnya. Seterusnya bakar dalam masa 30minit atau sehingga masak. Cara nak pastikan brownies tidak terlebih masak adalah dengan mencucuk ditengahnya menggunakan lidi. Kalau dah masak akan ada sedikit sahaja gumpalan lekat di lidi tersebut.

5. Setelah brownies masak dan disejukkan, bolehlah dihidangkan. Enak dinikmati bersama aiskrim ataupun boleh juga hias dengan ganache diatasnya. 

Assalamualaikum, 

Ada ke yang suka makan masakan kampung macam Masak Lemak Ciliapi Ayam sama tempoyak ni? Maklumlah generasi sekarang ni lebih cenderung ke menu masakan barat. Hidangan yang berkeju-keju gitu jadi pilihan. Ada juga yang elakkan makanan bersantan kerana jaga kesihatan dan diet ingin kurus. Amalan itu memang baguslah kan, tapi terfikir juga saya kenapa generasi dulu-dulu tetap je sihat bertenaga dan susah terkena penyakit walaupun makanan seharian, terutama sekali masakan melayu gunakan santan. Mungkin cara hidup mereka yang sihat, kerja yang banyak keluarkan peluh, tidak banyak bahan kimia dalam masakan dan kurang stress buatkan mereka maintain je, kan.

Bagi saya pula memang tak boleh elak menu kari, masak lemak dan asam pedas. Memang dalam seminggu mesti ada masakan ni. Lidah melayu agaknya kan...anak-anak pun suka, jadi mama dengan senang hatilah memasaknya. Nak nak pula Masak Lemak Ciliapi Ayam sama tempoyak ni, bertambah-tambah nasi dibuatnya.

Apapun menu kita sehari-hari yang penting sekali pastikan kita sihat dengan pemantauan dan lakukan pemeriksaan kesihatan serta ujian darah secara berkala agar setiap penyakit dapat dikawal lebih awal.    

Jom...kita tinjau resipi masak lemak ciliapi ayam sama tempoyak dibawah ni dulu dan selamat memasak ye ;) 

MASAK LEMAK CILIAPI AYAM SAMA TEMPOYAK 
Ayam sebelah - dipotong 8
1 helai daun kunyit - disimpul 
1 batang serai - diketuk 
1 sudu besar tempoyak 
1 cawan santan pekat 
2 mangkuk air
1 keping asam gelugur
terung telunjuk secukupnya - ikut selera (pilihan)
garam dan gula secukup rasa

Bahan kisar / tumbuk 
10 tangkai cili padi 
1 inci kunyit hidup

Cara membuatnya : 

1. Bersihkan ayam, masukkan kedalam periuk. Tuang bahan kisar kedalam periuk tersebut dan gaul bersama ayam tadi.
 2. Setelah itu masukkan pula asam gelugur, daun kunyit dan serai

 3. Tuang pula  pula santan dan 1 mangkuk air kedalam periuk tersebut dan masak diatas api yang perlahan sambil dikacau sesekali sehingga pecah minyak.

4. Masukkan terung telunjuk dan perasakan dengan garam dan gula secukup rasa.

4. Akhir sekali masukkan tempoyak dan lebihan 1 mangkuk air lagi dan renih sehingga ayam benar-benar masak dan santan pecah minyak. Setelah itu  bolehlah matikan api dapur dan hidangkan masak lemak ciliapi ayam sana tempoyak ini dengan nasi putih beserta lauk lainnya.

Assalamualaikum, 

Kerap pula saya berkongsi resipi kek dalam blog ni kan. Ada pembaca yang tanya, tiap hari buat kek ke? Jawapannya adalah koleksi kek-kek ini ada yang saya dah lama buat tetapi tersimpan dalam draft dan ada juga yang baru saya buat. Saya tak berniaga kek buat masa sekarang ini sebab kerja di pejabat pun dah cukup banyak, ditambah lagi dengan masa yang saya peruntukkan untuk anak-anak yang sedang membesar. Saya hanya berkongsi di blog segala resipi harian yang dimasak untuk keluarga sahaja dan kalau ada yang nak guna resipi-resipi ini untuk berniaga, anda dialu-alukan.  

Kek sirap bandung ini sejenis kek mentega yang anak-anak saya paling suka. Harum bau sirap ros ditambah pula dengan rasa lemak susu pekat manis yang dimasukkan dalam adunan , memang enak sekali. Saya gunakan sirap rose jenama Double Lion. 

Baiklah resipi dan step by step ada dibawah ini. Kalau nak try bolehlah...langkah demi langkah juga disediakan :)  

KEK SIRAP BANDUNG 
Saiz loyang : 8in x 8in
Bahan-bahan 
250 gm tepung gandum
2 sudu teh baking powder
250 gm mentega
100 gm gula castor
3/4 cawan susu pekat manis
6 biji telur - gred A
2 sudu teh sirap ros - Jenama Double Lion

Cara membuatnya :

1. Panaskan oven terlebih dahulu pada suhu 180'c. Sapu loyang dengan mentega dan alas dengan baking paper.

2. Ayak tepung gandum dengan baking powder dan ketepikan seketika.

3. Didalam mangkuk besar, pukul mentega dan gula sehingga kembang. 

4. Masukkan pula susu pekat manis sambil dipukul lagi hingga adunan sebati.

5. Setelah itu masukkan telur sebiji demi sebiji (pastikan telur dipukul dengan adunan hingga sebati sebelum masukkan telur seterusnya).


6. Seterusnya masukkan tepung yang diayak tadi dan pukul hingga sebati (Jangan terlalu lama memukul, sekadar adunan bercampur sahaja). Masukkan pula 2 sudu teh pes sirap ros dan kaup balik didalam adunan kek.

6. Bakar didalam oven (api atas dan bawah) selama 45minit - 1 jam atau sehingga kek masak (setiap oven berbeza). Setelah kek masak biarkan didalam loyang selama 10minit dan terbalikkan diatas redai untuk disejukkan.

Assalamualaikum, 

Entry kari lagi hari ini. Memang kalau orang utara sinonim sangat dengan masakan kari dalam menu sehari-hari. Tak ada istilah jemu asalkan kita bijak dan kreatif merampai bahan-bahan yang digunakan.  Kali ini saya masak Kari Ayam dengan Rebung. Rebung yang digunakan adalah rebung madu yang saya beli di pasar dan telah siap direbus, jadi ia bebas dari bau yang kurang enak. Saya memang elakkan dari membeli rebung jeruk yang baunya agak menyengat kerana  ia mematikan selera.

Kalau suka kuah yang lebih pekat dan agak lemak bolehlah tambahkan 1 sudu besar kerisik didalam masakan ini tetapi saya tak masukkan kerisik kali ini kerana kehabisan stok. Walaupun begitu rasanya tetap juga enak. 

Nak try masak Kari ayam dengan rebung? Jom tengok resipi dan bahan-bahan yang digunakan :) 

KARI AYAM DENGAN REBUNG 
Bahan-bahan
Ayam - Sebelah bahagian (Dipotong)
1 bungkus kecil serbuk kari daging/ayam - larutkan dengan sedikit air
1 sudu besar serbuk cili 
2 tangkai daun kari 
200gm rebung madu - siap direbus
1 keping asam gelugur@keping  
1 cawan santan 
2 mangkuk air 
Garam dan gula secukup rasa 
Minyak masak secukupnya untuk menumis

Bahan Tumis 
1 inci kulit kayu manis 
1 kuntum bunga lawang 
3 biji buah pelaga 

Bahan ditumbuk/kisar
1 labu bawang besar 
3 ulas bawang putih 
1 inci halia

Cara membuatnya :

1. Panaskan api dapur, tuang minyak kedalam kuali dan tumis kulit kayu manis, buga lawang serta buah pelaga serta bahan-bahan yang ditumbuk. Kacau hingga berbau wangi dan bertukar kekuningan.

2. Masukkan pula daun kari, serbuk cili beserta rempah kari dan renihkan dengan api perlahan sehingga pecah minyak dan rempah benar-benar masak.

3.  Setelah itu masukkan ayam dan kacau sebati hingga bersalut dengan rempah. Masak sebentar hingga ayam agak kecut.
4. Tambahkan air dan biarkan hingga mendidih barulah masukkan santan. 

5. Masukkan juga rebung, asam keping dan perasakan dengan garam dan gula. Renihkan lagi hingga kuah agak pekat dan pecah minyak bolehlah matikan api dapur. 
Assalamualaikum, 

Satu lagi koleksi kek simple yang dah lama saya buat iaitu fruits and walnut cake. Saya buat sekadar untuk habiskan saki-baki walnut dan buah-buahan kering yang tersimpan didalam almari dapur bersama bahan-bahan baking yang lain. Maklumlah daripada membazir dan menghampiri tarikh luput, ada baiknya di manafaatkan menjadi fruits and walnut cake dan hidangkan kepada keluarga untuk minum petang.

Seperti biasa resipi yang saya buat simple sahaja. Jom tengok bahan-bahan yang digunakan dan langkah demi langkah yang telah saya sediakan. Selamat mencuba ye :) 

FRUITS AND WALNUT CAKE
Bahan-bahan
250 gm mentega  
200 gm gula perang  
4 biji telur - Gred A 
1 sudu teh esen vanilla 
280 gm tepung gandum *Diayak
1 sudu teh baking powder *Diayak
¼ cawan susu segar 
1 cawan buah-buahan kering campuran  
¾ cawan walnut - dicincang 
½ sudu teh tepung gandum - untuk digaul dengan buahan campuran  

Cara membuatnya :

1. Panaskan oven pada suhu 180'c. Sapu loyang saiz 8in x 8in dengan mentega dan lapik kertas kek . Ketepikan seketika.

2. Gaul buah kering campuran dan walnut dengan 1/2 sudu teh tepung gandum. Ini akan mengelakkan ianya tenggelam selepas kek masak.
3. Pukul mentega dan gula perang sehingga gebu, masukkan esen vanilla dan pukul lagi.
4. Masukkan telur satu persatu dan pukul hingga adunan sebati. Perlahankan kecepatan mixer masukkan tepung gandum yang telah diayak dengan baking powder sedikit demi sedikit (3 tahap) diselang seli dengan susu cair. Pukul sekadar adunan bercampur dan jangan terlebih mengadun.

5. Akhir sekali masukkan buah-buahan campuran dan walnut, kaup balik dalam adunan hingga sebati dan tuang kedalam loyang.
5. Bakar dalam jangkamasa 50 minit atau sehingga kek masak (setiap oven berbeza)

6. Setelah kek masak biarkan agak sejuk didalam loyang selama 10minit sebelum pindahkan diatas redai.

Assalamualaikum, 

Kari ikan memang menu yang tak jemu-jemu orang dalam rumah ni request. Tiap minggu memang kena ada kari ikan. Paling sedap kalau lebihan kari ikan dipanaskan (perangat) hingga pekat dan cicah dengan roti benggali. Kena pula dengan secawan kopi pekat, kan. Memang heaven sangat.

Kalau kita tengok resipi kari ikan ni lebih kurang sahaja bahan-bahan yang digunakan setiap orang. tapi kenapa agaknya rasa kari yang kita buat tak menepati citarasa dan sesedap mak kita kat kampung buat. Sebenarnya selain dari isu airtangan orang yang masak ada yang lebih penting menjadi kunci kesedapan kari ikan iaitu teknik memasak. 

Tipsnya adalah ketika menumis, pastikan guna minyak yang banyak tapi janganlah terlampau banyak macam kita nak goreng ikan tu. Istilah banyak tu maksudnya cukup dan sesuai untuk menumis segala bawang dan rempah. Untuk kesihatan gunalah minyak jagung ye. 

Pastikan guna api perlahan sehingga rempah pecah minyak dan setelah itu barulah tambahkan air dan santan. Selepas masukkan santan kenalah pula kacau sesekali sampai kuah kari mendidih untuk pastikan santan tidak pecah minyak (terpisah dari kuah). Setelah kuah mendidih barulah masukkan isi ikan dan renih hingga kari masak.

Kalau style mak kita di kampung memang guna kelapa parut untuk buat kari. Selalunya asam jawa diramas sekali dengan kelapa parut dan perah untuk mendapatkan santan nya. Cara ini juga menghasilkan kari yang enak dan menghilangkan hanyir ikan yang dimasak, tetapi kalau guna santan kotak pun tak ada masalah dan tetap juga sedap.

Untuk rasa kari yang lebih sedap, masaklah sehari sebelum dihidangkan sebab rasa rempah dan santan akan menjadi lebih sebati. Bila dipanaskan kuah akan menjadi pekat dan rasa kari akan lebih sedap lagi.

Jom tengok resipi kari ikan siakap simple dan sedap yang saya sediakan dibawah ini. Maaflah gambar resipi agak sendu sikit dan pencahayaan pun tak cantik. Tak apalah yang penting ilmunya...ye tak? :) 
KARI IKAN SIAKAP YANG SIMPLE DAN SEDAP
Bahan-bahannya
1 ekor ikan siakap saiz sederhana - dipotong dan bersihkan
2 peket kecil rempah kari ikan + 1 sudu besar serbuk cili (saya guna BABA'S)
1/2 sudu besar asam jawa diramas dengan 2 mangkuk air (ambil jusnya)
3 pelepah daun kari
2 biji cili hijau - dipotong 1 inci
2 sudu teh halba campur
10 biji kacang bendi
2 biji tomato - dibelah 4
1 cawan santan

Bahan tumbuk/ hiris halus:
1 inci halia
3 ulas bawang putih
1 biji bawang besar

Cara-caranya :

1. Masukkan serbuk rempah kari bersama 1 sudu besar serbuk cili kedalam mangkuk kecil. Larutkan dengan sedikit air (pes agak pekat jangan terlampau cair)

2. Panaskan minyak, tumis bahan tumbuk dan halba campur hingga bangkit bau. Guna minyak yang agak banyak untuk menumis dan untuk kesihatan sebaiknya gunalah minyak jagung.
3. Masukkan pula pes rempah kari, daun kari dan cili hijau. perlahankan api dapur dan renih hingga rempah pecah minyak dan benar-benar masak.
4. Seteruskan masukkan air asam jawa dan santan, masak hingga mendidih.
5. Masukkan ikan, garam dan sedikit serbuk perasa(jika suka). Biarkan mendidih. Setelah itu masukkan pula kacang bendi dan tomato dan masak lagi hingga kacang bendi empuk. 


6. Setelah masak bolehlah dihidangkan dengan nasi putih ataupun enak juga digandingkan bersama roti.
Asalamualaikum, 

Satu lagi koleksi resipi kek yang saya buat untuk lebaran yang lalu adalah Kek Mentega Pandan. Kek ini sangat gebu-gebas dan yang paling saya suka adalah kombinasi rasa pandan, kelapa kering dan santan dalam kek ini. 

Resipi asal adalah dari Chef Zubaidah tetapi dah ramai teman-teman blogger yang dah mencubanya termasuk Yatie Memories, Amie Little Kitchen dan Ita Masam Manis. Bagi yang ingin mencubanya saya kongsikan resipi dibawah ini bersama langkah demi langkah. Selamat mencuba ye :)
KEK MENTEGA PANDAN
Bahan-Bahan
270 gm mentega
230 gm gula kastor
5 biji telur
60 gm santan
1 sudu besar pes pandan
1 sudu teh pewarna hijau epal
240 gm tepung naik sendiri*
1/2 sudu teh serbuk penaik*(*diayak bersama)
30 gm kelapa parut kering
1 sudu teh esen vanilla

Cara-Caranya :

1) Sediakan loyang 8 inci. Sapukan sedikit mentega pada loyang dan alas dasar loyang dengan kertas kek.

2. Panaskan oven pada suhu 170C.

3. Pukul mentega dan gula kastor hingga sebati dan berkrim.

4. Masukkan telur satu persatu dan teruskan memukul. Kemudian masukkan esen vanilla, kelapa parut , pes pandan dan pewarna hijau.

 5. Masukkan tepung naik sendiri berselang seli dengan santan.

6. Tuangkan adunan ke dalam loyang 8 inc dan bakar pada suhu 170C selama 1 jam atau sehingga kek dimasak sempurna.Biarkan sejuk, barulah dipotong. 

Assalamualaikum, 

Salam jumaat yang penuh barokah. Masak apa agaknya hari ini untuk keluarga? Yang simple-simple pun tak apa asalkan keluarga suka dan jimat sebenarnya kalau rajin memasak dirumah ni. Tak semestinya masak kat rumah kita langsung tak menikmati hidangan di luar, ye tak? Pasti ada masanya untuk itu juga. sibuk sekali pun kalau dah berkeluarga, apa lagi mempunyai anak-anak airtangan kita tetap dinanti-nantikan walaupun sekadar telur goreng mata. Macam kita suka masakan ringkas ibu kita di kampung...macam tulah perasaan anak-anak kita.

Antara resipi ringkas yang selalu saya masak waktu pagi sebelum masuk ke tempat kerja adalah sambal ayam. Keluarga saya pencinta menu yang pedas-pedas jadi saya gunakan cili hidup iaitu cili merah + cili padi untuk masak sambal ayam pada pagi ini. Kalau nak guna cili kering pun boleh juga...ikut selera kitalah ye.

Jom lihat resipi sambal ayam cili hidup dan selamat mencuba:) 
SAMBAL AYAM CILI HIDUP 
1/2 ekor ayam - dibersihkan dan gaul dengan garam kunyit
Goreng hingga masak
1 labu bawang besar - dipotong bulat 
2 batang serai - diketuk 
sedikit minyak untuk menumis
1 sudu besar asam jawa diramas dengan 1 cawan air. Saring dan ambil jusnya.
Garam dan gula secukup rasa

Bahan Kisar (Bahan B)
1/2 inci halia
3 tangkai cili merah 
7 tangkai cili padi (lebihkan kalau suka pedas)
4 ulas bawang merah 
2 ulas bawang putih  

Cara membuatnya :

1. Kisar semua bahan B sehingga halus dan panaskan kuali. 

 2. Tumis bahan kisar beserta serai dan kacau hingga pecah minyak dan hilang bau mentah cili. Masukkan jus air asam jawa kedalam bahan tumisan tadi dan kacau hingga sebati

3. Perasakan bahan tumisan dengan garam dan gula secukup rasa dan masukkan ayam yang telah digoreng kedalamnya. Jika kuah agak pekat, tambahkan sedikit lagi air, tutup kuali dan renihkan dengan api sederhana sehingga kuah sebati dengan ayam.

4. Seterusnya masukkan bawang besar dan kacau hingga bawang tersebut hingga layu. Setelah masak dan secukup rasa bolelah matikan api dapur.
  
Assalamualaikum, 

Bermula dari hari ini bolehlah saya kongsikan resipi kek-kek simple yang sempat saya buat sempena menyambut kedatangan lebaran penghujung bulan lepas. Maklumlah dah lama blog tak di update. Sementara datang kerajinan ni bolehlah tepek disini untuk rujukan sesiapa yang ingin mencubanya. 

Bagi follower atau pengunjung blog yang juga sahabat saya di facebook mesti perasan yang saya dah lama tak aktif berkongsi resipi dan link resipi disana kerana kesulitan untuk login ke facebook. Sekejap boleh sekejap pula loading, jadi buat sementara ini saya update di blog sahaja. Tetapi inshaAllah dalam masa terdekat ini saya akan pastikan juga facebook berfungsi seperti dulu lagi. 

Untuk hari ini jom kita cuba resipi kek marble 3 rasa atau resipi asalnya Tri Color marble cake yang saya ambil resipinya dari Kitchen Snippet.
KEK MARBLE 3 RASA
Bahan-bahan :
226gm mentega
220grm gula kastor
6 biji telur - Gred A
260gm tepung gandum 
4 sudu besar susu cair/susu segar
1 sudu teh baking powder
Pewarna makanan : saya guna warna hijau dan merah jambu
Perasa : Pandan/ strawberry dan vanilla

Cara membuatnya:

1. Sediakan loyang terlebih dahulu, sapu mentega dan lapik dengan kertas kek. Ketepikan seketika. Panaskan oven pada suhu 180'c.

2. Pukul mentega dan gula kastor hingga bertukar pucat dan gebu. Masukkan telur satu persatu dan pukul lagi hingga bercampur.
3. Ayak tepung dengan baking powder, perlahankan kecepatan mixer dan masukkan tepung tadi sedikit demi sedikit dan akhir sekali masukkan susu cair.
4. Bahagikan adunan kepada 3 bahagian dan campurkan perasa pandan dan beberapa titis pewarna hijau. Satu bahagian lagi campurkan dengan perasa strawberry dan beberapa titis pewarna merah jambu dan biarkan bahagian terakhir tanpa warna dan titiskan sedikit perasa vanilla. 
5. Masukkan adunan berselang seli kedalam loyang dan bakar kira-kira 45minit atau sehingga kek masak (bergantung kepada oven masing-masing). Setelah kek masak, biarkan didalam oven selama 10minit dan pindahkan keatas redai untuk disejukkan.