Assalamualaikum,

Selamat menyambut hari ulangtahun kemerdekaan yang ke 58 tahun Malaysia, tanahair tercinta hari ini. Walaupun senario politik negara yang tidak stabil dan nilai Ringgit yang makin menyusut bagaikan memberi kesan kepada sambutan tahun ini namun sebagai warganegara Malaysia rasa cinta kepada negara seharusnya makin kuat dan tidak luntur. 

Kemana agaknya cuti hari ini? Bagi saya dan keluarga hanya di rumah sahaja dan kalau keluar pun mungkin sekadar ambil angin di pantai. Hari ini masih ramai pelancong yang membanjiri Pulau Langkawi dan ada yang dah beransur pulang kerana esok sekolah dah mula di buka.

Hari ini saya masak awal sedikit. Anak-anak teringin nak makan nasi minyak, jadi saya masakkan yang mudah-mudah sahaja iaitu nasi minyak oren sunkist. Resipinya sama seperti nasi biasa cuma tambahkan jus oren. Kalau tak ada oren sunkist, boleh juga larutkan 2 sudu besar jus oren sunquick ke dalam secawan air dan masukkan ke dalam beras ketika menanak nasi. Resipi ini saya adaptasi dari Ros@jintanmanis dan ubah sikit-sikit ikut bahan yang ada di dapur pagi ini.

Jom kita lihat resipinya :)

NASI MINYAK OREN SUNKIST 
Bahan A
3 cawan beras - Saya guna beras basmathi 
1 cawan jus oren sunkist (di perah dari sebiji oren sunkist)
3 cawan air 
2 helai daun pandan - di carik & simpul
beberapa titis pewarna kuning

Bahan B 
1 labu bawang besar - Di cincang 
2 ulas bawang putih - Di cincang 
2 biji buah pelaga 
1 kuntum bunga lawang 
1 inci kulit kayu manis 
2 kuntum bunga cengkih 

Bahan C
1 sudu besar minyak sapi/mentega
1 sudu besar minyak masak
sedikit kismis

Cara memasak :

1. Jika gunakan beras basmathi, rendam dahulu dalam 10minit sebelum di masak.

2. Masukkan minyak sapi dan minyak masak kedalam periuk dan setelah panas, tumis semua bahan B sehingga wangi dan kekuningan.
3. Masukkan beras dan kacau sebentar.

4. Seterusnya masukkan jus oren dan air. Masukkan juga simpulan daun pandan. Perasakan juga dengan sedikit garam dan gula, atau gantikan dengan kiub ayam jika suka.
5. Setelah nasi kering, masukkan kismis dan hiasi dengan bawang goreng ketika menghidang.
Sedap di hidangkan dengan ayam masak merah dan dalca. Resipinya boleh lihat  di sini.

Assalamualaikum, 

Asyik makan nasi je jemu juga ye. Sesekali makan tengahari dengan Mee Hailam seafood, letak pula banyak cili padi mesti membuka selera. Nak memasak mee hailam ni sangatlah mudah tapi kalau kita makan di luar harganya boleh tahan juga dan rasanya belum tentu sedap lagi. Jadi kalau ada masa tu baiknya masak sendiri, boleh letak lauk dan sayur banyak mengikut selera sendiri.

Jom lihat resipi Mee Hailam Seafood. Saya sediakan langkah demi langkahnya di bawah ni :)

MEE HAILAM SEAFOOD
Bahan A
500gm mee kuning - di celur dengan air mendidih dan toskan 
3 ulas bawang putih - di cincang
5 tangkai cili padi 
5 sudu besar sos tiram 
2 sudu besar kicap manis
1/2 sudu teh kiub ikan bilis - jika kurang masin 
sedikit lada sulah
800ml air 
minyak masak - untuk menumis

Bahan B
10 ekor udang - di kopek dan bersihkan 
4 ekor sotong - di potong 
1 biji tomato - di potong empat
1/2 batang lobak merah 
4 tangkai putik jagung 
bunga kubis secukupnya
1 sudu besar tepung jagung - larutkan dalam 1 sudu besar air 

Cara memasak:

1. Panaskan minyak, tumis bawang putih hingga wangi dan masukkan udang. Kacau seketika dan masukkan air.

2. Masukkan pula sayur-sayuran, cili padi dan sotong. Renihkan sebentar.


3. Masukkan pula sos tiram, kicap manis dan kiub ikan bilis. Kacau hingga mendidih. 


4. Seterusnya masukkan bancuhan tepung jagung dan biarkan seketika hingga kuah menjadi pekat. Masukkan pula buah tomato dan matikan api dapur.

5. Hidangkan dengan memasukkan mee yang telah di celur ke dalam mangkuk dan tuang kuah ke atasnya. Tabur juga bawang goreng dan daun bawang. 

Assalamualaikum,

Selamat berhujung minggu untuk semua. Pernah tak makan bengkang tumis pandan? Rasa bengkang ni sama je macam bengkang pandan biasa, cuma bawang merah yang di goreng sebelum adunan di tuang ke loyang tu yang buatkan baunya harum. Teringat dulu masa mak masih sihat selalu buatkan bengkang ni. Ala-ala kuih qasidah di Kedah, tapi bagi saya bengkang ni lebih sedap. 

Saya gunakan resipi bingka pandan dari Joayee - MyR yang memang secukup rasa lemak manisnya dan tambahkan dengan bawang yang di tumis terlebih dahulu dan jadilah bingka pandan tumis yang sedap.

Jom kita lihat resipinya :)  

BINGKA PANDAN TUMIS
Saiz loyang 8' x 8'

Bahan-bahan 
1 cawan gula
1 cawan jus pandan (saya kisar 4 helai daun pandan dengan air & tapis)
2 cawan tepung gandum
2 1/4 cawan santan 
2 sudu besar mentega
3 biji telur
1/2 sudu teh garam
sedikit pewarna hijau

Bahan B
4 - 5 ulas bawang merah - di hiris nipis
2 sudu besar minyak masak

Cara-cara

1. Campurkan semua bahan A dan kisar hingga sebati.
2. Masukkan 2 sudu besar minyak dalam kuali dan tumis bawang merah hingga harum dan kekuningan.
3. Tuang ke dalam loyang dan seterusnya tuang adunan yang di kisar tadi.Bawang tumis tadi akan naik ke permukaan bengkang
4.  Seterusnya bakar di dalam oven dengan suhu 180'c selama 1 jam 15 minit atau sehingga masak. Saya guna api atas dan bawah.
Assalamualaikum,

Teringin nak buat Red Velvet untuk keluarga di rumah tetapi risau kalau-kalau tak menjadi? InshaAllah  resipi yang saya kongsikan ini pasti menjadi walaupun anda baru nak belajar 'baking' jika mengikut langkah-langkah mudah di bawah ni. Resipi ini tidak menggunakan serbuk penaik dan bahan-bahan yang di gunakan pun sederhana sahaja.

Baiklah, dah bersedia nak cuba membuatnya sendiri? Jom kita lihat resipinya :)

RED VELVET BROWNIES - Ringkas dan menjadi 
Saiz loyang : 8inci x 8 inci

Bahan A - Lapisan Bawah 
100gm mentega - di cairkan dan ketepikan seketika
200gm gula kastor
1 sudu teh esen vanilla
20gm serbuk coklat
Secubit garam
1 sudu besar pewarna merah - saya guna warna merah jambu
1 sudu teh cuka
2 biji telur
150gm tepung gandum

Bahan B - Lapisan Atas
230gm cream cheese
50gm gula kastor
1 biji telur
1/8 sudu teh esen vanilla

Cara membuatnya:

1. Di dalam sebuah mangkuk besar, campurkan gula, esen vanilla, serbuk coklat dan secubit garam.

2. Masukkan juga pewarna merah, cuka makan dan pecahkan 2 biji telur. Kacau dengan menggunakan spatula ataupun 'hand whisk' sehingga rata dan gula hancur.

3. Masukkan pula tepung gandum dan kacau lagi hingga rata dan bercampur. 
4. Akhir sekali masukkan mentega cair dan kacau lagi.Tuang adunan ke dalam loyang dan ketepikan 1 sudu besar adunan tersebut untuk menghias di lapisan atas nanti.
5. Seterusnya di dalam bekas yang lain, campurkan cream cheese, gula telur dan esen vanilla. Pukul hingga rata dan tuang adunan tersebut ke atas adunan brownies tadi.
6. Letak adunan yang di asingkan tadi dan lorek dengan lidi atau 'chop stick'. Boleh juga masukkan adunan tersebut di dalam 'piping beg' dan picit ke atas brownies sebelum di lorek untuk corak yang lebih kemas.  

7Bakar selama 40 minit dengan suhu 170'c. Dinginkan dan bolehlah di potong.

Assalamualaikum,

Mee kicap asalnya makanan masyarakat cina yang terkenal di Ipoh dan sekarang menjadi kegemaran berbilang bangsa tidak kira negeri di Malaysia. Ianya di hidangkan dengan sup fishball dan sambal cili. Kalau di rumah ni, anak-anak memang suka sangat jika saya masakkan mee kicap sebagai sarapan pagi. Mungkin mereka sukakan kuah kicap ataupun ketagih menghirup sup fishball makanya dah jadi satu kemestian, tiap kali jika tidak bersekolah di hujung minggu, memang menu ini yang di minta sebagai sarapan.

Memasak mee kicap ini tidaklah sesukar mana apatah lagi jika menggunakan kiub ikan bilis untuk menghasilkan sup. Boleh juga merenih ikan bilis hingga menjadi sup yang enak dan di tapis sebaik sahaja sup masak, tetapi jika anda mengejar masa, cara yang lebih mudah adalah menggunakan kiub ikan bilis.

Resipi yang saya ingin kongsikan ini adalah dari resipi asal Che 'Iza , tetapi saya tambah sedikit dengan sambal cili ala-ala mee kicap yang terkenal di Ipoh dan gandakan bahan-bahannya kepada 4 orang iaitu untuk saya sekeluarga. Bagi yang ingin mencuba, jom kita lihat resipinya :)

MEE KICAP - Sarapan enak
Bahan-bahan ( untuk 4 orang )
500 gm mee kuning
100gm taugeh

Bahan untuk kuah kicap
4 ulas bawang putih - di racik halus
2 sudu besar minyak masak
2 cm halia - ditumbuk
6 sudu besar kicap manis
6 sudu besar sos tiram
2 sudu kecil kicap pekat
2 sudu kecil pati ikan bilis
sedikit lada sulah
2 cawan air
Garam dan sedikit gula kalau perlu.

Bahan untuk sup
2 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih
6 cawan air
2 sudu kecil pati ikan bilis - saya gunakan kiub ikan bilis
Fish cake dan fish ball secukupnya
Sedikit lada sulah dan garam

Bahan untuk Cili 
1/2 cawan cili kisar
1/4 cawan air asam jawa
garam dan gula secukup rasa

Cara memasak :

UNTUK KUAH KICAP
1. Panaskan minyak, tumis bawang putih hingga kekuningan dan garing. Angkap dan ketepikan untuk di hidangkan bersama mee nanti.

2. Dengan menggunakan minyak bekas menggoreng bawang putih tadi, tumis halia hingga naik bau. Seterusnya masukkkan kicap manis, sos tiram, air dan kicap pekat. Biarkan mendidih.

3. Masukkan pula lada sulah, pati ikan bilis,garam dan gula. Jangan terlebih masukkan garam. Sebaiknya suaikan rasa terlebih dahulu. Masak sehingga kuah sebati dan matikan api.

UNTUK SAMBAL CILI
1. Panaskan minyak, tumiskan cili kisar hingga garing, masukkan garam dan gula.
2. Tuangkan sedikit air asam jawa.
4. Kacau hingga sebati


UNTUK SUP
1. Tumis bawang merah dan bawang putih hingga naik bau, masukkan air. Biarkan mendidih, letak pati ikan bilis lada sulah, fishball, fish cake dan sedikit garam. Renih sebentar dan matikan api dapur.

2. Celur mee dan taugeh. Toskan. Letak di dalam pinggan dan tuang kuah kicap. Tabur daun bawang dan bawang putih goreng dan bolehlah di hidangkan.


Assalamualaikum, 

Petang-petang begini sedap makan keledek rebus. Nak nak pula cicah dengan kelapa parut yang di gaul dengan sedikit garam atau sambal tumis. Memang berselera sekali dalam hujan lebat macam sekarang ni. Orang kampung macam saya memang sukalah hidangan macam ni. Kali ni saya gunakan keledek Jepun yang saiznya lebih kecil dari keledek tempatan yang ada di pasaran. Selain dari di rebus, keledek jepun ni pun sedap di bakar. Mudah sahaja nak bakar keledek ni, cuma balutkan dengan 'aluminium foil' dan bakar di dalam oven. Nak kukus pun boleh juga, tetapi kali ini saya merebusnya.   


Mudah sahaja nak rebus keledek. Cuma cuci bersih, masukkan sedikit garam dan rebus sehingga empuk. Cara nak buat sambal tumis pun macam biasa tetapi saya kongsikan juga di bawah ni.


SAMBAL TUMIS IKAN BILIS
1 Cawan Ikan bilis 
Gula secukup rasa 
garam - jika perlu

Bahan Kisar 
15 tangkai cili kering - di rebus sampai kembang dan toskan
2 labu bawang besar 
1/4 cawan minyak masak 
1 sudu besar ikan bilis
1/2 cawan air asam jawa

Cara membuatnya:

1. Goreng ikan bilis dan toskan. Ketepikan seketika.

2. Masukkan minyak masak ke dalam kuali, tumis bahan kisar sehingga betul-betul pecah minyak. Gunakan api dapur yang kecil.

3. Masukkan air asam dan gula, biarkan merenih lama sedikit.

4. Agak-agak dah pekat barulah masukkan ikan bilis yang telah di goreng tadi. Jika kurang masin bolehlah masukkan sedikit garam.

5. Hidangkan dengan ubi rebus dan gandingkan juga dengan kelapa parut yang di gaul dengan sedikit garam.

Assalamualaikum, 

Bagi penggemar makanan laut, ketam segar enak dimasak walau apa pun resipinya. Boleh juga dimasak bersama tauchu dan resipi serta bahan yang di gunakan pun mudah sahaja. 

Sesetengah orang tidak gemar masak menggunakan tauchu kerana rasanya yang masin. Untuk mengurangkan rasa masin tersebut, masukkan tauchu ke dalam penapis dan lalukan dengan air seketika sebelum ditambah kedalam masakan. Gula juga  

Bagi yang ingin mencubanya jom lihat resipi di bawah ni :)

KETAM MASAK TAUCHU
Bahan- Bahan 
3-4 ekor ketam bunga - di tanggalkan cengkerang dan bersihkan
2 ulas bawang putih 
1/2 inci halia 
5 tangkai cili kering - belah 2
Minyak untuk menumis
3 sudu besar tauchu - basuh taucu untuk kurangkan masin 
1/4 cawan jus asam jawa 
1 cawan air
3 sudu besar sos tomato 
1 sudu teh sos tiram 
1/2 labu bawang holland - di potong bulat 
2 tangkai daun bawang 
1/2 sudu besar gula

Cara memasak :

1. Panaskan minyak, tumis bawang putih, halia dan cili kering hingga wangi.

2. Masukkan ketam dan balik-balikkan sambil di kacau. Seterusnya tambah tauchu dan masukkan air. Kacau seketika hingga bercampur.


3. Masukkan sos tomato serta sos tiram dan tutup kuali. Kecilkan api dapur dan biarkan merenih sehingga ketam masak sepenuhnya.


4. Buka penutup kuali dan suaikan rasa masakan. Jika kurang masin bolehlah di tambah sedikit lagi sos tiram.

5. Seterusnya taburkan daun bawang serta bawang holland. Kacau sebentar hingga layu dan matikan api dapur. 
Assalamualaikum, 

Suka makan serawa atau pengat pisang? Pastikan memilih pisang yang sesuai seperti pisang nangka, pisang abu, pisang tanduk ataupun pisang raja untuk membuat pengat kerana teksturnya yang agak kenyal. Abaikan hiasan 'props' pisang berangan yang saya gunakan di dalam gambar di bawah tu kerana ianya lebih sesuai untuk membuat kek, muffin, apam atau di makan begitu sahaja :)

Resipi serawa pisang ini amatlah mudah dan enak juga jika di pelbagaikan dengan mencampurkannya bersama ubi keledek, ubi kayu, buah sukun ataupun nangka. Kali ini saya tak masukkan gula melaka ke dalam serawa kerana tiada stok di dapur tetapi rasanya tetap sedap.

Inipun entry tertunggak bulan puasa yang lalu, jadi tidak di sertakan langkah demi langkah cara membuatnya kerana terkejar-kejar dengan masa. Jom kita lihat resipinya.
SERAWA PISANG
Bahan-bahan
8 biji pisang - di potong serong
1 cawan santan pekat
4 cawan air
1/4 cawan sagu biji - di rendam seketika dan toskan
Dua helai daun pandan - di carik dan simpul
1/2 cawan gula pasir 
1/4 cawan gula melaka - saya tak letak
Secubit garam

Cara memasak :

1. Didihkan air dan rebus sagu hingga menjadi jernih. Tapis dan siramkan dengan air sejuk. Ketepikan seketika.

2.Di dalam periuk lain, didihkan 4 cawan air bersama daun pandan. Masukkan pula pisang yang telah di potong.

3. Seterusnya masukkan sagu, gula, garam dan santan. 

4. Masak dengan api yang kecil hingga mendidih. Sekiranya kurang manis bolehlah di tambah sedikit gula. 

5. Kacau sentiasa agar santan tidak pecah dan matikan api dapur setelah masak sempurna.
Assalamualaikum,

Perkongsian resipi hari ini adalah entry tertunggak pada bulan puasa yang lalu dan baru hari ini berkesempatan masukkannya ke blog. Siakap kukus asam boi ini memang sedap, apalagi jika menggunakan ikan yang masih segar.

Resipinya saya ambil dari blog hana memories iaitu resipi asalnya Ikan kukus Asam Boi.Sebenarnya ikan apa pun yang di gunakan dalam resipi ni rasanya tetap enak. Saya tambah cendawan tiram dan lebihkan cili padi untuk rasa yang lebih menyengat. Terima kasih kepada Hana dan saya kongsikan sekali lagi di sini bagi yang ingin mencubanya.

RESEPI IKAN KUKUS ASAM BOI
Resipi asal : Hana Memories

Bahan-bahan
Ikan siakap - di bersihkan dengan air limau nipis
1/2 labu bawang besar - hiris
2 ulas bawang putih - ketuk
2 batang serai - hiris
1 inci halia - hiris memanjang halus
5 biji asam boi putih atau lebih
1/4 batang lobak merah - hiris memanjang halus
Cendawan tiram secukupnya
Tomato cherry @ biasa - di belah 4
Daun ketumbar secukupnya
Daun bawang secukupnya
Hirisan limau
7 tangkai cili padi - di ketuk 
Bahan Sos 
1 sudu besar sos ikan
1 sudu besar kicap cair
1 sudu besar sos tiram 

Cara memasak :

1. Rendam asam boi dengan 1/4 cawan air panas sehingga kembang. Kemudian kikiskan isinya sedikit.
2. Letak ikan ke dalam pinggan tahan panas yang sesuai, taburkan bahan-bahan lain ke atas ikan.

3. Satukan dalam mangkuk kecil sos ikan, kicap cair dan sos tiram, kemudian curahkan ke atas ikan.
4. Akhir sekali masukkan asam boi dengan air rendaman asam boi sekali.

5. Kukus ikan selama 15min atau hingga masak.
6. Angkat dan hidangkan dengan menaburkan daun ketumbar dan daun bawang sekali lagi.
Assalamualaikum,

Selamat berhari minggu untuk semua. Hari minggu begini ada yang menghabiskan masa mengemas stok-stok barangan dapur. Kadang-kadang bingung juga ye, jika ada stok pasta yang masih tersimpan tetapi dalam jumlah yang sedikit. Nak goreng untuk sekeluarga pun tak berbaloi. Selain daripada di masukkan ke dalam sup, boleh juga di buat kerabu dan rampaikan dengan makanan laut seperti udang dan kerang. Jika nak gantikan dengan daging pun boleh juga tetapi lebih enak jika di gaul dahulu daging dengan sedikit garam dan bakar seketika. Hiris nipis daging tersebut dan bolehlah di campurkan ke dalam kerabu pasta ni.

Hari ini saya buat kerabu pasta jenis spiral dan campurkan dengan isi kepah dan udang yang di rebus terlebih dahulu. Memang sedap sangat di gandingkan dengan nasi panas. Ratah begitu sahaja pun sedap juga tau. Jom kita lihat resipinya :)

KERABU PASTA 
1/2 cawan pasta - saya guna jenis spiral
2 sudu besar udang kering - rendam dalam air panas
5 tangkai cili padi 
½ cawan tomato cherry - di hiris 
1 labu bawang besar - di hiris
sedikit lobak merah - di parut
3 tangkai daun ketumbar
4 ekor udang - di rebus dan kupas kulitnya
1 cawan isi kepah atau kerang - siap rebus
¼ cawan kacang yang telah di goreng 
1 sudu besar bijan - di goreng sebentar

Bahan B
2 Sudu besar sos ikan 
2 1/2 sudu besar jus limau nipis 
2 sudu teh gula 

CARA MEMBUATNYA

1. Masak air di dalam periuk hingga mendidih. Masukkan secubit garam dan 1/2 sudu besar minyak dan pasta. Masak hingga lembut dan toskan.
2. Campur semua bahan B dan kacau sehingga gula larut. Ketepikan seketika.

3. Sementara itu tumbuk kasar cili padi dan udang kering. Masukkan ke dalam mangkuk besar bersama tomato, bawang besar, daun ketumbar dan lobak merah.
4. Masukkan pula isi kepah/kerang dan udang di ikuti oleh pasta. Gaul dengan bahan B hingga semua bercampur.
5. Tabur kacang goreng serta bijan dan bolehlah di hidangkan.

Assalamualaikum,

Hari ni saya bercuti, dapatlah jemput anak yang tinggal di asrama untuk keluar seketika sehingga jam 3.00petang. Anak-anak yang tinggal di asrama ni mesti nak menjamah masakan ibu bila berkesempatan pulang kerumah dan menu yang paling mudah dan menjimatkan masa adalah spaghetti. Semua bahan dah ada termasuk kepah dan udang, yang tak ada hanyalah sotong. Tapi cukuplah tu untuk menghasilkan spaghetti ala marinara. 

Resipi asal spaghetti memang tidak menggunakan cili dan tidak pedas. Tapi dalam resipi ni saya masukkan juga 1/2 sudu besar cili kisar untuk seimbangkan dengan tekak melayu saya yang sukakan pedas. Abaikan cili kisar dalam bahan-bahan di bawah tu untuk dapatkan rasa sebenar spaghetti :)

Resipinya mudah sahaja dan bahan-bahannya pun tak banyak di gunakan. Jom kita lihat...

SPAGHETTI MARINARA
 Bahan-bahan
200gm spaghetti
Udang, kepah dan sotong secukupnya - bersihkan
2 ulas bawang putih - di cincang halus
secubit serbuk lada hitam
Minyak zaitun untuk menumis
1 cawan sos tomato - saya gunakan sos spaghetti tradisional Kimball
1/2  sudu besar cili kisar - pilihan 
Daun parsley dan keju parmesan secukupnya

Cara memasak:

1. Didihkan air di dalam periuk dan masukkan secubit garam untuk memberi rasa masin pada pasta. Jangan lupa masukkan 1 sudu besar minyak masak agar pasta tidak melekat.

2. Masukkan spaghetti ke dalam air mendidih selama kurang lebih 12 ke 15 minit. Pastikan pasta tidak terlalu lembut dan bertekstur kenyal ketika digigit.
3. Panaskan kuali dan masukkan minyak zaitun secukupnya dan tumis bawang putih hingga wangi.
4. Masukkan pula kepah, udang serta sotong dan kacau rata. Jika menggunakan kepah berkulit tebal, ada baiknya rebus terlebih dahulu berasingan sehingga cengkerangnya terbuka.
5. Tuang sos spaghetti ke dalam tumisan tadi dan kacau lagi. Jika anda menggunakan sos spaghetti seperti saya ianya dah secukup rasa dan tidak perlu lagi di tambah garam atau gula. Jika menggunakan sos tomato biasa pastikan di imbangi rasanya.
6. Seterusnya masukkan spageti yang telah siap di rebus ke dalam kuali, kacau rata dan matikan api dapur. Taburkan serbuk lada hitam, keju parmesan yang telah di parut dan daun parsley. Bolehlah di hidangkan.