Assalamualaikum,
Selamat menyambut tahun baru 2014 untuk semua yang singgah di blog ini dan teman-teman di luar sana. Semoga tahun ini di beri kesihatan yang baik, ekonomi yang stabil, kebahagiaan dan ikatan kekeluargaan yang lebih erat. Yang lebih penting lagi semoga tahun ini kita berpeluang meningkatkan keimanan kerana kunci di atas segalanya adalah pemantapan spiritual dari dalam diri. Ini peringatan untuk diri sendiri juga.
Baiklah...resepi pertama untuk tahun baru ini, saya ingin berkongsi menu kari tulang nangka muda. Jika di sebelah utara kari begini ada kalanya menjadi menu di majlis kenduri kahwin. Memang sedap masakan kampung begini. Resepinya sama sahaja seperti kari daging biasa, cuma kali ini saya gunakan cara lebih mudah iaitu kari ala-ala tumis darat.
KARI TULANG NANGKA MUDA
Bahan-bahannya:
1kg tulang lembu (tulang bercampur dengan daging)
200ml santan pekat
3 keping asam gelugur
Garam, gula
Serbuk perasa (jika tak suka jangan letak)
Air secukupnya
2 sudu besar kerisik
Minyak untuk menumis
200gm nangka muda - di rebus hingga empuk dan toskan
Bahan untuk menumis (Bahan A)
1 inci halia - dihiris nipis
1 biji bawang besar - di hiris nipis
3 ulas bawang putih - dihiris nipis
3 tangkai daun kari - buang tangkainya
1 inci kulit kayu manis
2 kuntum bunga lawang
3 kuntum bunga cengkih
3 biji buah pelaga
2 bungkus kecil serbuk kari (larutkan dengan sedikit air)- saya guna jenama Baba's
2 sudu besar serbuk cili - jika suka pedas (larutkan juga dengan serbuk kari)
Penyediaannya:
1. Tulang dicuci bersih dan rebus hingga empuk. Untuk menjimatkan masa saya gunakan periuk tekanan tinggi jadi kerja merebus lebih cepat. Boleh juga gunakan cara biasa.
2. Di dalam kuali : Tumis bahan-bahan A sehingga berbau wangi, masukkan serbuk kari yang telah di bancuh tadi sambil di kacau. Masak dengan api perlahan hingga terbit minyak.
3. Seterusnya tuang rempah yang di tumis tadi kedalam periuk berisi daging rebus yang telah empuk dan kacau (air rebusan daging tadi masih ada dalam periuk).
4. Masukkan santan, kerisik dan asam keping. Kacau rata.
5. Akhir sekali masukkan nangka yang di rebus tadi dan renihkan hingga mendidih dan kari masak. Jangan lupa perasakan dengan garam, serbuk perasa(jika suka) dan sedikit gula. Jika kuah pekat, boleh tambahkan dengan sedikit air. Suaikan dengan citarasa.
0 comments:
Catat Ulasan
Sila tinggalkan komen :)