UNIKNYA LAKSA KUALA PERLIS

Assalamualaikum,

Pasti ada yang bertanya apa uniknya laksa Kuala Perlis? sekali pandang kuahnya sama saja seperti laksa kedah dan Penang. Tetapi bagi yang belum tahu, laksa Kuala Perlis selalunya di nikmati dengan pulut udang atau kuih spera dan kombinasi antara salah satu dari kuih ini benar-benar memberi rasa yang unik pada laksa Perlis. 

Bagi yang pernah berkunjung ke Kuala Perlis iaitu pintu masuk melalui laut ke Pulau Langkawi pasti pernah merasai keenakkan laksa Perlis.Tempat yang sering saya kunjungi jika kesana adalah restoran Laksa Kak Su yang terkenal di kalangan pelancong dan penduduk tempatan. Dia gunakan laksa beras yang di hasilkan sendiri dan yang menariknya di setiap meja makan di sediakan sepinggan pulut udang untuk di nikmati bersama laksa.

Bagi yang belum tahu di Perlis juga, laksa di jual dan di nikmati ketika sarapan pagi, berbeza dari negeri-negeri lain. Unik kan? :)

Baiklah hari ini saya ingin berkongsi resepi laksa Kuala Perlis, tetapi berbeza sedikit dari resepi asal kerana saya hanya menggunakan laksa kering yang di rebus. Jika ada laksa beras pasti lebih sedap.Resepi ini hasil dari rujukan di Majalah Rasa dan teman-teman saya yang berasal dari sana.
LAKSA KUALA PERLIS 
1kg laksa beras - di rebus dan toskan (saya cuma guna laksa kering)
1kg ikan kembung - di bersihkan
1/2 kg ikan selayang - di bersihkan 
2 batang bunga kantan - di hiris
5 tangkai daun kesum
3 keping asam gelugur - saya masukkan 5 keping
3 liter air 
garam secukup rasa

BAHAN KISAR
250gm bawang besar
150gm cili kering - kurangkan jika tak tahan pedas
25gm belacan 
BAHAN HIASAN
8 biji telur - di rebus dan dibelah dua 
8 biji pulut udang - di potong dua
20gm cili padi - di potong
5 tangkai daun selom di hiris
1 biji timun di hiris seperti mancis

CARA MEMASAK:

1. Rebus ikan kembung dan selayang. Asingkan bahagian isi dan tulang ikan.
2. Isi ikan dikisar dan dimasukkan kedalam periuk yang berisi air. Kemudian kisar tulang ikan sehingga hancur, tapis dan masukkan ke dalam periuk yang sama.
3. Masukkan bahan kisar ke dalam rebusan ikan tadi.

4. Masukkan asam keping, bunga kantan, daun kesum dan perasakan. Biarkan mendidih dan angkat.
5. Masukkan laksa ke dalam mangkuk bersama bahan-bahan hiasan.

6. Akhir sekali tuangkan kuah ke atasnya dan sedia untuk di nikmati. Jangan lupa hidangkan bersama pulut udang.





0 comments:

Catat Ulasan

Sila tinggalkan komen :)