AGAR-AGAR BATIK BISKUT CHEESE

Assalamualaikum,

Hari ini tentu semua ibu bapa sibuk menguruskan anak-anak yang akan masuk ke sekolah. Bagi saya hari ini juga terpaksa bekerja dan memberi laluan kepada dua orang staff yang lebih memerlukan untuk bercuti. 

Kesemua urusan iaitu pendaftaran anak ke dua yang masuk ke asrama dan anak bongsu yang menduduki ujian menentukan kelas ke darjah 1 di uruskan oleh si abah. Seperti lipas kudung lah dia sekejap ke sekolah rendah, sekejap pula ke sekolah menengah menguruskan segalanya. Mujurlah anak yang sulung hanya bersekolah di sini walaupun mendapat keputusan cemerlang dalam peperiksaan PMR baru-baru ini, jika tidak terpaksa pula keluar dari Langkawi menguruskan pertukaran sekolah. 

Tahun ini kesemua anak-anak saya bersekolah iaitu yang sulung(kakak) naik ke tingkatan 4, anak yang kedua(abang) masuk ke asrama, iaitu tingkatan 1, anak yang ketiga (achik) naik ke darjah 4 dan yang bongsu(adik) menempuh dunia baru ke darjah 1. Hmmm sekejap je masa berlalu, rasanya baru saja saya menimang mereka...tau-tau dah besar. Semoga mereka menjadi anak yang soleh dan berguna pada masa depan.

Baiklah berbalik kepada resepi hari ini...eh, sempat lagi ke memasak? Sebenarnya agar-agar ini saya buat semalam atas permintaan anak kedua sebelum ke asrama hari ni. Terima kasih kepada AlongRoz kerana perkongsian resepi yang sedap ini. Izinkan saya berkongsi pula di sini.
AGAR-AGAR BATIK BISKUT CHEESE
Resepi asal : AlongRoz@HomeKreation
Saiz: 8" persegi

Bahan-bahan
13gm Serbuk Agar-Agar
1100ml Air
220gm Gula
1 tin / 400g Susu Ideal*
1 biji Telur saiz kecil* (* campur) 
(Nota: Kalau tak suka telur boleh skip tapi puding akan rasa kurang lemak) 
1 cawan Serbuk Milo
1 sudu besar Serbuk Koko
150g Salted Cheese Biscuits / Marie Biscuits
CARA-CARA

1. Larutkan serbuk agar-agar  ke dalam air dan masak sehingga mendidih, Masukkan pula gula dan kacau hingga larut.
2. Masukkan campuran susu dan telur yang telah di kacau sebati dan masukkan juga milo serta serbuk koko. Kacau lagi sehingga larut dan matikan api dapur.
3. Susun satu lapisan biskut ke dalam bekas/loyang.Tuangkan satu lapisan agar-agar cukup untuk meliputi biskut tersebut.
4. Ulangi proses melapis biskut dan agar-agar sehingga habis.Lapisan biskut akan timbul ke permukaan bila selesai melapis.
3. Sejukkan di suhu bilik sebelum di pindahkan ke dalam peti sejuk.

0 comments:

Catat Ulasan

Sila tinggalkan komen :)