NASI LEMAK SAMBAL AYAM

Assalamualaikum,

Rasanya dah lama tak masakkan nasi lemak untuk sarapan pagi. Kalau makan pun selalunya di beli dari gerai-gerai di luar. Hari ini kebetulan bangun awal pagi dan bahan-bahannya semua ada di peti sejuk, maka terhasillah nasi lemak sambal ayam untuk sarapan pagi. Resepinya mudah sahaja tapi saya kongsikan juga di sini bagi yang ingin mencubanya.
NASI LEMAK SAMBAL AYAM
BAHAN-BAHAN (UNTUK NASI)
3 Cawan beras biasa
4 1/2 Cawan air yang bercampur dengan santan
2cm halia di hiris nipis
1 batang serai di ketuk 
2 ulas bawang merah - di hiris
1 sudu teh lada hitam (biji)
2 helai daun pandan di simpul.
Cara memasak:

1. Basuh beras dan toskan.

2. Masukkan beras yang di toskan tadi kedalam periuk nasi elektrik, di ikuti oleh dengan santan bercampur air dan garam secukup rasa.
3. Selepas itu masukkan pula daun pandan, halia, serai, bawang dan lada hitam. Kacau sekali lalu dan tutup periuk, masaklah seperti nasi biasa.

SAMBAL AYAM 
BAHAN-BAHANNYA
Ayam (Saya hanya gunakan sebelah dari seekor ayam) 
15 tangkai cili kering  - di kisar
3 ulas bawang merah - di kisar
2 ulas bawang putih - di kisar
3cm belacan - di kisar
2 sudu makan gula merah 
1/2 cawan air asam jawa 
garam secukup rasa

CARA MEMASAK

1. Bersihkan ayam dan gaul dengan garam kunyit. Goreng sebentar tapi jangan sampai garing.
2. Panaskan minyak dan masukkan bahan yang di kisar tadi kedalam kuali. Tumis hingga wangi dan pecah minyak.
 
3. Masukkan ayam yang telah di goreng tadi, dan kacau sebentar. Biarkan ia mendidih. Masukkan pula air asam jawa, gula merah dan garam secukup rasa.
4. Masak hingga sambal agak kering sedikit dan bolehlah di hidangkan bersama nasi lemak tadi.