Assalamualaikum,
Kari ikan memang menu yang tak jemu-jemu orang dalam rumah ni request. Tiap minggu memang kena ada kari ikan. Paling sedap kalau lebihan kari ikan dipanaskan (perangat) hingga pekat dan cicah dengan roti benggali. Kena pula dengan secawan kopi pekat, kan. Memang heaven sangat.
Kalau kita tengok resipi kari ikan ni lebih kurang sahaja bahan-bahan yang digunakan setiap orang. tapi kenapa agaknya rasa kari yang kita buat tak menepati citarasa dan sesedap mak kita kat kampung buat. Sebenarnya selain dari isu airtangan orang yang masak ada yang lebih penting menjadi kunci kesedapan kari ikan iaitu teknik memasak.
Tipsnya adalah ketika menumis, pastikan guna minyak yang banyak tapi janganlah terlampau banyak macam kita nak goreng ikan tu. Istilah banyak tu maksudnya cukup dan sesuai untuk menumis segala bawang dan rempah. Untuk kesihatan gunalah minyak jagung ye.
Pastikan guna api perlahan sehingga rempah pecah minyak dan setelah itu barulah tambahkan air dan santan. Selepas masukkan santan kenalah pula kacau sesekali sampai kuah kari mendidih untuk pastikan santan tidak pecah minyak (terpisah dari kuah). Setelah kuah mendidih barulah masukkan isi ikan dan renih hingga kari masak.
Kalau style mak kita di kampung memang guna kelapa parut untuk buat kari. Selalunya asam jawa diramas sekali dengan kelapa parut dan perah untuk mendapatkan santan nya. Cara ini juga menghasilkan kari yang enak dan menghilangkan hanyir ikan yang dimasak, tetapi kalau guna santan kotak pun tak ada masalah dan tetap juga sedap.
Untuk rasa kari yang lebih sedap, masaklah sehari sebelum dihidangkan sebab rasa rempah dan santan akan menjadi lebih sebati. Bila dipanaskan kuah akan menjadi pekat dan rasa kari akan lebih sedap lagi.
Jom tengok resipi kari ikan siakap simple dan sedap yang saya sediakan dibawah ini. Maaflah gambar resipi agak sendu sikit dan pencahayaan pun tak cantik. Tak apalah yang penting ilmunya...ye tak? :)
KARI IKAN SIAKAP YANG SIMPLE DAN SEDAP
Bahan-bahannya
1 ekor ikan siakap saiz sederhana - dipotong dan bersihkan
2 peket kecil rempah kari ikan + 1 sudu besar serbuk cili (saya guna BABA'S)
1/2 sudu besar asam jawa diramas dengan 2 mangkuk air (ambil jusnya)
3 pelepah daun kari
2 biji cili hijau - dipotong 1 inci
2 sudu teh halba campur
10 biji kacang bendi
2 biji tomato - dibelah 4
1 cawan santan
Bahan tumbuk/ hiris halus:
1 inci halia
3 ulas bawang putih
1 biji bawang besar
Cara-caranya :
1. Masukkan serbuk rempah kari bersama 1 sudu besar serbuk cili kedalam mangkuk kecil. Larutkan dengan sedikit air (pes agak pekat jangan terlampau cair)
2. Panaskan minyak, tumis bahan tumbuk dan halba campur hingga bangkit bau. Guna minyak yang agak banyak untuk menumis dan untuk kesihatan sebaiknya gunalah minyak jagung.
3. Masukkan pula pes rempah kari, daun kari dan cili hijau. perlahankan api dapur dan renih hingga rempah pecah minyak dan benar-benar masak.
4. Seteruskan masukkan air asam jawa dan santan, masak hingga mendidih.
5. Masukkan ikan, garam dan sedikit serbuk perasa(jika suka). Biarkan mendidih. Setelah itu masukkan pula kacang bendi dan tomato dan masak lagi hingga kacang bendi empuk.
6. Setelah masak bolehlah dihidangkan dengan nasi putih ataupun enak juga digandingkan bersama roti.
0 comments:
Catat Ulasan
Sila tinggalkan komen :)