Assalamualaikum,
Hidangan tengahari ni saya sekeluarga tidak makan nasi tetapi bihun sup kegemaran saya iaitu bihun sup thai atau di Langkawi ni orang menyebutnya bihun sup siam. Bihun sup siam ini ada sedikit perbezaan dengan bihun sup utara iaitu dari penyediaan kuah dan bahan-bahan hiasan yang di gunakan semasa menghidang.
Saya lebih suka memasak sendiri hidangan ini di rumah kerana selalunya yang di beli dari gerai-gerai menggunakan banyak serbuk perasa di dalam kuahnya dan sudah pasti ianya tidak baik untuk kesihatan. Oleh kerana kesuntukan masa di sebabkan ada dua temujanji hari ini iaitu bertemu dengan teman lama yang datang bercuti di Langkawi dan memenuhi ajakan seorang lagi teman yang mengadakan majlis harijadi anaknya sebentar lagi, saya hanya menyediakan bihun sup ini tanpa menyediakan sambalnya, dan saya gantikan dengan serbuk cili. Saya juga tidak memasukkan bebola ayam/ikan ke dalam kuahnya, tapi rasa sup ini tetap juga enak. Saya sertakan resepi di sini, untuk rujukan kepada sesiapa juga yang sudi mencuba. Ini adalah bihun sup siam versi saya dan di ubah suai mengikut selera saya sekeluarga. Mungkin resepi asalnya lain dari ini.
BIHUN SUP SIAM
Bahan-bahan
Seekor ayam - Saya gunakan bahagian dada
Sebungkus bihun
BAHAN A
1 labu Bawang besar dicincang
5 ulas Bawang putih - Di tumbuk kasar
8 ulas Bawang merah di Mayang
1 Sudu teh Lada hitam - Di tumbuk kasar
1 inci Halia (di cincang)
1 liter air - Boleh di tambah mengikut kesesuaian
Rempah : 1 inci Kayu manis, 3 kuntum bunga lawang, 3 biji buah pelaga dan 5 kuntum bunga cengkih.
BAHAN B
2 Sudu besar sos ikan
1 sudu besar kicap cair
Daun Bawang dan daun sup
2 sudu besar jus limau nipis
1/2 Sudu teh minyak Bijan
Rempah sup bunjut - Jika suka (untuk membangkitkan lagi aroma sup)
Gula batu dan garam
BAHAN C
Limau nipis/ kasturi
Serbuk cili
sedikit lobak masin - di cincang
kangkung air - Di celur
bawang putih yang di mayang dan di goreng
taugeh - di celur
kacang tanah di goreng dan tumbuk kasar.
CARA MEMASAK: -
1. Panaskan minyak masak di dalam periuk besar. Tumis Bawang besar yang di cincang hingga keperangan dan berbau wangi, masukkan air dan semua bahan A iaitu halia, kulit kayu manis, bawang putih, lada hitam dan isi ayam kedalam periuk dan masak hingga mendidih.
2. Kecilkan api dan renih kuah selama 20minit hingga isi ayam lembut dan masak.Jika suka, boleh juga di masukkan bebola daging. Masukkan juga sos ikan, daun bawang, daun sup, jus limau, minyak bijan, gula batu dan garam. (Semua bahan B)
3. Setelah kuah Sup masak, celur bihun dengan air mendidih dan sejat. Masukkan bihun kedalam mangkuk serta isi ayam yang di carik-carikkan dan bahan-bahan C. Sedia untuk di hidangkan.
0 comments:
Catat Ulasan
Sila tinggalkan komen :)