ASAM PEDAS IKAN TONGKOL DENGAN NENAS

Assalamualaikum,

Masih bercuti sempena Hari Raya AidilAdha? Kalau saya di sini dari semalam lagi sudah mula bekerja dan memberi laluan kepada staff lain pula untuk bercuti. Hari ini aktiviti memasak bermula awal pagi lagi untuk di tinggalkan kepada anak-anak yang masih bercuti dan menghabiskan masa di rumah. Saya cuma masak lauk biasa-biasa sahaja ikut selera keluarga. Salah satu darinya adalah asam pedas ikan tongkol dengan nenas.

Jom kita lihat resepinya...

ASAM PEDAS IKAN TONGKOL DAN NENAS
Bahan A
2 ekor ikan tongkol – saiz kecil/sederhana 
Sebiji nenas di belah empat, ambil satu bahagian dan potong kecil (boleh lebihkan jika suka)
minyak masak untuk menumis
Garam dan gula secukup rasa
serbuk perasa - jika suka

Bahan B - Di kisar halus
15 tangkai cili kering – rendam dengan air mendidih hingga lembut
4 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih
1 inci lengkuas - dihiris
½ inci kunyit hidup - di hiris
1 inci halia - di hiris
½ sudu teh lada hitam
1 inci belacan - di bakar sebentar.
2 cawan air
Bahan C
½ cawan air asam jawa pekat atau 2 keping asam gelugur
1 batang serai – di ketuk
1 kuntum bunga kantan dibelah dua
2 helai daun limau purut di carik-carikkan dan buang urat tengahnya.
5 tangkai daun kesum

Cara membuatnya :

1.    Siang ikan, bersihkan dan potong ikut ketebalan yang di kehendaki. Ketepikan seketika.

2. Tuang minyak masak di dalam periuk dan tumis bahan kisar hingga wangi dan pecah minyak.

3. Masukkan air ikut kepekatan yang di kehendaki dan semua bahan-bahan C dan kacau agar bahan-bahannya sebati.
4. Bila kuah asam pedas mendidih, kecilkan api dapur dan masukkan isi ikan tadi. Renihkan hingga ikan separuh masak, masukkan pula nenas.

5. Perasakan dengan garam dan gula (serbuk perasa - jika suka) dan bila kuah asam pedas sudah pekat dan secukup rasa, matikan api dapur.

0 comments:

Catat Ulasan

Sila tinggalkan komen :)