Assalamualaikum, 

Salah satu dari kuih tradisional yang menjadi kegemaran saya sekeluarga ialah cucur badak. Selain dari mudah di sediakan, membuat kuih ini juga satu keseronokkan kerana anak gadis saya sering menghulurkan bantuan. Agaknya seronok bagi dia melakukan kerja melecek ubi keledek dan membentuk kuih sebelum di goreng. Selalunya saya kurangkan jumlah cili kering di dalam inti cucur badak kerana anak yang kecil juga suka dengan kuih ini tapi tak tahan pedas.

Resepi ini agak mudah, dan sesuai untuk yang baru belajar memasak. Kredit untuk pemilik resepi ini. Saya ambil resepi dari princessharyati MyR dan benar-benar menepati citarasa.

Jom lihat resepinya...
CUCUR BADAK 
Untuk Kulit 
2 biji keledek saiz besar 
1 cawan tepung gandum 
Garam 

Untuk Inti 
1/2 biji kelapa parut 
1 cawan udang kering - saya gunakan udang geragau kering 
2 biji bawang besar
5 batang serai 
1 sudu kecil kunyit serbuk 
5 tangkai cili kering (ikut kepedasan masing-masing)
1 sudu besar minyak masak 
Garam dan gula

1. Cara-cara : UNTUK INTI : blender cili kering, bawang besar, serai, udang kering dan bawang dengan sedikit air. Setelah halus masukkan kelapa parut, blender sebentar. Tuang minyak ke dalam kuali yang di panaskan, masukkan adunan inti yang di blender tadi. Masukkan juga kunyit, garam, gula dan serbuk perasa. Kacau hingga masak dan kering sedikit.


2. UNTUK KULIT : Rebus keledek dengan air dan sedikit garam hingga lembut. Setelah masak, sejat air rebusan dan tinggalkan sedikit. Campurkan dengan tepung dan uli. Buat semasa masih panas, senang nak lenyek. Jika adunan lembik tambahkan sedikitdemi sedikit tepung.  jangan terlalu banyak tepung, nanti tak sedap.


3. Setelah itu buat doh kecil-kecil. Ambil satu, buat melengkung. Tips : Semasa hendak membuat doh ini gunakan sedikit minyak masak di tangan agar tepung tidak melekat. Letakkan inti dan tutupkan kembali.



4. Seterusnya goreng dengan api yang sederhana hingga masak. 

Assalamualaikum,

Pagi ini saya ada buatkan Carrot Cheese cupcakes dan oleh kerana kesuntukan masa dan banyak kerja menunggu, sudah petang begini baru boleh masukkan gambarnya ke blog. Sebenarnya resepi ini sangat mudah...seperti adunan asas kek biasa juga, cuma saya tambahkan cream cheese dan kebetulan pula masih ada baki karot dalam peti sejuk, jadi saya parut dan jadikan cupcakes untuk hidangan sarapan pagi.

Jom lihat resepinya...
































CARROT CHEESE CUPCAKES
100gm mentega 
125gm cream cheese
125gm gula pasir
2 biji telur 
100gm karot di parut dan perah airnya (cuma guna isi karot)

Ayak 
100gm tepung gandum 
1/2 sudu teh baking powder 
1/2 sudu teh soda bikarbonat 


Cara membuatnya:

1. Pukul mentega dengan gula hingga lembut. Masukkan cream cheese dan tambahkan telur satu persatu sambil di pukul hingga rata.


2. Masukkan tepung gandum sedikit demi sedikit dan kacau dengan whisk.


3. Masukkan pula karot, kacau dan tuangkan ke dalam cawan cupcakes. Bakar dalam suhu 180'C selama 40 minit hingga masak. Angat dan sajikan ketika panas.


Assalamualaikum,

Salam hari isnin. Bagi yang bekerja di pejabat, mesti sibuk dengan tugas harian hari ni, setelah cuti hari minggu kelmarin. Bagi Ibu yang tidak bekerja pula, cuti sekolah begini selalunya kesibukan nya berganda dari hari biasa, kerana anak-anak ada di rumah. :)

Apa pun kesibukan harian kita sama ada bekerja atau tidak..lakukanlah tugas dengan ikhlas, maka hasilnya juga menjadi baik. Begitu juga jika kita melakukan tugas memasak di dapur...jika kita lakukan dengan perasaan ikhlas dan penuh kasih sayang selalunya masakan kita menjadi. Nak lakukan dengan kasih sayang macamana jika memasak ye? :). Maksudnya...kita menjaga kebersihan, menjaga kandungan gula ,minyak dan garam dalam masakan dan menyediakan yang terbaik untuk keluarga. 

Berbalik kepada resepi saya hari ni, saya ada menggunakan santan dalam masakan. kebiasaan masakan tradisional melayu banyak menggunakan santan. Memang sedap dan lemak...tapi untuk menjaga kesihatan, jangan terlalu kerap mengambil masakan sebegini...melainkan kita seimbangkan dengan aktiviti senaman.

Eh makin banyak menulis, makin membebel pula bunyinya kan...:D. Jomlah kita lihat resepi hari ni...

KUIH TALAM CHA CHA 
Bahan-bahan - lapisan bawah (Bahan A)
3 cawan santan cair 
2 sudu makan tepung jagung 
1 cawan tepung beras
1/2 sudu teh garam 
3 sudu besar gula pasir 

Bahan-bahan - lapisan atas (Bahan B)
3 cawan santan pekat 
3 sudu makan gula merah 
3 sudu makan gula pasir 
1 cawan tepung beras
1 sudu teh garam 
sedikit pewarna coklat - untuk warna yang lebih menarik

Cara membuatnya:

1. Rebus cha cha, sejat dan ketepikan.

 Cha cha yang telah di rebus

2. Gaul semua bahan A (kecuali cha cha) dan masak sebentar di atas api sambil kacau. Bila naik wap, masukkan cha cha dan kacau hingga sebati dan tuang kedalam loyang. Kukus hingga 30 minit.


3. Gaul semua bahan B di dalam mangkuk yang besar dan kacau dengan whisk. Tapis adunan ke dalam periuk dan masak sebentar hingga agak pekat sedikit (sambil di kacau) dan tuang ke atas adunan cha cha tadi. Sebelum di tuang, pastikan adunan cha cha di cakar dengan garfu untuk melekatkan nya.


4. Kukus lagi dalam 20minit dan sejukkan sebelum di potong.


Bagi yang belum tahu, Cha cha di perbuat dari tepung gandum, di warnakan dengan berbagai warna dan di bentuk dengan jari serta di keringkan di bawah sinaran matahari. Cha Cha yang telah siap di bungkus di jual secara meluas di Malaysia dan mudah di dapati di pasar. Ia selalunya di masak bubur manis bersama dengan ubi keledek 










Assalamualaikum.

Apa khabar agaknya petang ni? Semoga semuanya sihat-sihat selalu ye...bagaimana cuaca di tempat anda? Di sini cuaca tak menentu dan hampir tiap hari hujan saja menjelang waktu petang dan malam. Bila cuaca hujan dan sejuk begini, memang malas nak keluar berjalan kemana-mana, walaupun hari ni saya bercuti. Perut pun asyik lapar dan minta di isi...jadi untuk minum petang hari ni saya telah buatkan sardin puffs untuk keluarga.

Mudah sahaja resepi sardine puff ni...cuma buatkan inti, dan kulit luarnya saya gunakan puff pastry yang telah siap, di beli dari supermarket. Rasanya...walla! ranggup dan sedap sekali di nikmati panas-panas dalam cuaca sejuk ni...dan pastinya dengan secawan teh panas.

Jom kita lihat resepinya... ;)


SARDINE PUFFS CUP
Bahan-bahannya 
1 paket kepingan puff pastry - boleh di dapati di pasaraya 
1 tin sardin
1 labu bawang besar - di potong dadu
1 biji limau kasturi - di perah dan ambil jusnya
1/2 biji buah tomato di potong dadu
1 biji kentang di potong dadu
1 biji cili besar di potong nipis
sedikit serbuk oregano 
1 biji telur di pukul (untuk di sapu pada kulit pastry)


Cara membuatnya 

1. Keluarkan sardin dari dalam tin dan lecek isinya. Cuma guna isi sardin sahaja.

2. Tuang sedikit minyak masak ke dalam kuali dan tumis bawang besar, cili, ubi kentang dan tomato hingga berbau wangi. masukkan sedikit air kacau sesekali sehingga ubi kentang lembut dan empuk.  Seterusnya masukkan isi sardin yang di lecek dan jus limau kasturi. Masukkan juga sedikit garam dan gula. Masak lagi sehingga agak kering.

3. Masukkan kepingan puff pastry ke dalam loyang cupcakes, letakkan inti di tengah-tengah pastry tersebut.


4. Lipat sedikit dan sapu telur ke atas kepingan puff dan tabur serbuk oregano. Bakar dalam oven bersuhu 180'C hingga masak. Siap untuk di hidangkan.





Assalamualaikum :)

Salam Jumaat....:). Masak apa agaknya untuk makan tengahari ye? Menu yang paling lazat semestinya masakan ibu sendiri. Bertuah jika antara kita yang masih punya ibu dan boleh masak makanan kegemaran kita. Bagi saya yang telah berkeluarga dan mempunyai anak-anak sendiri, sudah pasti harus masak sendiri untuk anak-anak...apalagi ibu saya sudah uzur dan tidak boleh melakukan rutin harian kerja rumah sekarang ini.

Walau bagaimana pun, resepi masakan ibu tetap saya bawa dalam masakan harian dan menjadi kegemaran anak-anak pula. Salah satu masakan ibu yang paling saya suka ialah asam pedas ikan tongkol ala aceh. Cuma ikan tongkol sahaja di gunakan untuk memasak resepi ini. Asam pedas ini sangat lazat jika di keringkan sedikit kuahnya dan di masukkan satu sudu besar minyak goreng yang di panaskan. Resepi ibu ini saya ubah suai sedikit dengan memasukkan daun kesum dan bunga kantan untuk mendapatkan aroma yang lebih harum. Jika di ikutkan resepi asalnya tidak di masukkan kedua-dua jenis daun tersebut. Resepi ini juga mungkin sedikit berbeza dari resepi asal dari Aceh kerana ia telah di turunkan dari beberapa generasi hinggalah kepada saya dan akan saya turunkan pula kepada anak gadis saya...:)

Jom kita lihat resepinya...

ASAM PEDAS IKAN TONGKOL - ALA ACEH
Bahan-bahan
1 ekor ikan tongkol
10tangkai cili kering 
5 biji cili padi - Jika mahukan pedas
7biji asam sunti 
5biji buah belimbing buluh - di belah dua
satu sudu besar lada hitam 
5cm kunyit hidup 
2 helai daun limau purut
satu kuntum bunga kantan dan seikat daun kesum - ini saya tambah sendiri
2 cawan air - boleh di tambah nanti mengikut kepekatan kuah yang di kehendaki.

Cara membuatnya:-

1. Bersihkan ikan tongkol dan potong kepada beberapa bahagian, ketepikan. Masukkan cili kering dalam mangkuk dan rendam dengan air mendidih untuk melembutkan nya.

Ikan Tongkol 

2. Kisar cili kering yang di rendam tadi dengan cili padi, asam sunti, lada hitam dan kunyit hidup, masukkan kedalam periuk..dan masukkan juga air.

3. Masukkan ikan kedalam periuk tadi beserta daun limau purut dan belimbing buluh yang di   belah, garam, gula dan sedikit serbuk perasa (jika anda menggunakan nya). Masukkan juga daun kesum dan bunga kantan, renihkan hingga kuah mendidih dan menjadi pekat.

4. Jika inginkan rasa yang lebih sedap, panaskan kuah asam pedas tersebut dengan api perlahan sehingga agak pekat dan kering. Panaskan minyak masak dan tuang kira-kira satu sudu makan minyak kedalam asam pedas tadi.

Belimbing Buluh

Asam Sunti - Belimbing buluh yang di keringkan

Asam Sunti adalah sejenis rencah khas dapur Aceh yang di hasilkan dari belimbing buluh yang di keringkan, di gaul garam lalu di jemur di bawah sinaran matahari terik berkali-kali sehingga kering dan dapat di simpan lama. Biasanya asam sunti di gunakan untuk memasak asam pedas, pais dan di masukkan juga kedalam sambal.

Assalamualaikum,

Minggu ini saya jalankan operasi menghabiskan stok barangan dapur :D. Bila berkemas almari dapur, rupanya masih banyak berbaki bahan lebihan untuk membuat biskut dan kek masih tersimpan seperti almond, kacang tanah, ceri dan sebagainya lagi. Jika di biarkan semua ni pasti akan rosak dan di buang begitu saja.

Saya kumpulkan semua jenis almond yang masih berbaki...kisar menjadi halus dan gunakan untuk membuat kek almond. Sungguh enak di nikmati sebagai hidangan petang dengan secawan teh. Walau pun kek ini ringkas, rasanya yang lemak dan kaya dengan almond benar-benar membuka selera. 

Jika ingin mencuba, sudi-sudikanlah ikuti resepi di bawah ini.... :)

KEK ALMOND
Bahan-bahan
250gm tepung naik sendiri 
250gm mentega 
200gm gula kastor
80gm almond kisar 
50ml susu segar 
5 biji telur 
1 sudu teh esen vanilla


Cara membuatnya
1. Pukul mentega dan gula hingga kembang dan gebu, masukkan telur satu persatu.

2. Masukkan tepung sedikit demi sedikit dan kacau rata.

3. Tuangkan esen vanilla dan susu segar, kacau lagi.

4. Masukkan almond kisar dan kacau rata dengan spatula.

ALMOND YANG TELAH DI KISAR

5. Apabila rata, tuangkan kedalam acuan dan bakar dalam ketuhar bersuhu180'c selama 45minit atau hingga kekuningan - bergantung pada suhu oven masing-masing.





Assalamualaikum :)

Pernah makan kuih Vadai? Kebanyakan orang Malaysia pasti pernah makan kuih ni, walaupun asalnya kuih ini di perkenalkan dari orang berbangsa India. Oleh kerana masyarakat Malaysia berbilang bangsa, adalah satu kebiasaan di negara ini saling berkongsi citarasa dalam masakan harian, sama ada dari kaum Melayu, Cina dan India.

Sebenarnya saya tergerak membuat kuih ini untuk menghabiskan stok kacang dhal yang masih berbaki selepas memasak dalca baru-baru ini. Ini kali kedua saya membuat kuih vadai ini dan resepinya saya ambil dari Rinn chan fotopages tak lama dulu. Kuih ini memang sedap dan sesuai dengan selera orang yang suka makan pedas di tambah lagi dengan rasa kacang dhal yang lemak dan ranggup. Sungguh membuka selera.  

Jom kita lihat resepinya...saya kongsi resepinya sekali lagi di sini.

KUIH VADAI 
Bahan-bahan
250gm kacang dhal 
2 tangkai cili kering di hiris halus - boleh tambah jika sukakan pedas
1 tangkai daun kari - di hiris
1/2 labu bawang besar - di cincang halus 
1 camca teh jintan manis
1/2 camca teh garam 
minyak untuk menggoreng 


Cara membuatnya:-

1. Rendam kacang dhal lebih kurang 4 jam atau semalaman 

2. Toskan hingga kering dan kisar hingga halus. tak mengapa jika masih terdapat sedikit kacang yang tidak hancur.

3. Satukan semua bahan dalam satu bekas dan gaul rata.


4. Leperkan di atas tapak tangan yang di alas dengan plastik yang telah di sapu dengan sedikit minyak masak. Ini adalah untuk mengelakkan dari melekat.  


5. Susun di atas dulang, dan goreng dengan api yang sederhana panas hingga masak.


Selamat tengahari... :)


Hari ini cuaca panas terik di sini. Menu yang paling sesuai untuk cuaca begini adalah puding atau agar-agar. Apalagi jika puding tersebut di campur dengan buah-buahan. Sungguh segar di nikmati setelah di sejukkan dalam peti ais.

Cherry blossom pudding ni sebenarnya menggunakan isi buah laici yang di bentuk menjadi kelopak bunga sebagai dasarnya. Kelopak ini akan terbentuk dengan cantik sekali, jika buah yang di gunakan masih lagi keras. Resepinya mudah dan sesuai sekali untuk yang baru  belajar memasak. Sumber resepi ini saya ambil dari resepi asal sunkist MyR, tapi saya ubah sedikit dengan menggunakan agar-agar serbuk.

Jom kita lihat cara membuatnya...

CHERRY BLOSSOM PUDDING 
Bahan-bahan
10gm agar-agar serbuk
1.5liter air (air biasa di campur dengan air laici di dalam tin)
1 tin laici 
1 cawan gula 
pewarna pilihan

Cara membuatnya:-

1. Buka penutup tin laici, keluarkan isinya dan gunting membentuk seperti bunga. Atur bunga dari isi laici tersebut ke dalam acuan.


2. Masak agar-agar dengan gula dan 1.5 liter air. Air tersebut ialah air biasa di campur dengan air laici dari dalam tin tadi, setelah di keluarkan isinya. Warnakan dengan warna kegemaran.


3. Tuang agar-agar yang telah mendidih kedalam acuan agar-agar dan biarkan keras. 



4. Sedia untuk di hidangkan. Lebih enak di nikmati sejuk setelah di masukkan kedalam peti ais. 







Assalamualaikum... :)

Anda dahaga? Apa kata mencuba resepi Banana's Oreo smoothie? Selain dari sedap, minuman ini juga sangat berkhasiat kerana pisang dan susu segar yang saya kisar bersama dua scoop aiskrim vanilla, memberi tenaga dan mengandungi mineral serta vitamin yang tinggi.

Selain dari itu pisang juga amat berguna dalam melegakan stress. Setelah seharian penat bekerja dan ingin bersantai serta menghilangkan stress, minuman ini adalah pilihan yang tepat :)

Jom kita lihat resepi mudah ini... 


BANANA'S OREO SMOOTHIE
Bahan-bahan 
5 keping biskut oreo - di buang inti
4 ketul ais kiub
1 sudu teh serbuk milo
2 skop aiskrim vanilla 
2 biji pisang - saya guna pisang emas.
2 cawan susu segar 

Cara-cara:-

1. Blender biskut oreo, ais kiub, aiskrim vanilla, pisang dan susu.



2. Tuang kedalam gelas. Masukkan lagi beberapa ketul ais kiub, dan taburkan milo sebagai hiasan serta hidangkan.

  
Selamat berhari minggu :)

Sarapan apa ya hari ni? Oleh kerana terpengaruh dengan watak Doraemon, seminggu ni si kecil asyik minta di buatkan kuih dorayaki. Maklum saja cuti sekolah ni tiap hari, asyik dia menonton kartun doraemon di youtube dan CD. Teringin sangat dia nak rasa kuih dorayaki yang nampak sedap sangat dalam rancangan kartun tu.

Sebenarnya dorayaki adalah sejenis pancake dari jepun dan di letakkan inti kacang merah dan jem-jem pilihan. Hari ni saya bercuti baru sempat tunaikan hasrat si kecil yang beria-ia nak makan kuih dorayaki. Kebetulan stok inti kacang merah masih berbaki di dalam peti sejuk. Saya cuma gunakan resepi yang paling ringkas dan mungkin tak sama dengan resepi asal, tapi hasilnya memang gebu dan tekstur kuih dorayaki juga jadi bersarang.

Di sini saya sertakan sekali resepinya. Silakan mencuba pada yang sudi. bahan-bahannya juga mudah, semuanya ada di dapur kita ;)

Jom lihat resepinya....
RESEPI DORAYAKI 
Bahan-bahan
3 biji telur
125gm gula pasir
140gm tepung gandum
1/2 sudu teh baking powder
1/2 sudu teh esen vanilla
Cara membuatnya:-

1. Pukul telur dengan gula menggunakan whisk dalam 5 minit. Masukkan tepung gandum yang di ayak bersama baking powder sedikit demi sedikit dan kacau dengan spatula. Biarkan adunan sehingga kira-kira 10minit dan kacau lagi sebentar.

2. Siapkan kuali dan panaskan dengan api kecil.

3. Tuangkan adunan menggunakan senduk kecil, biarkan sehingga naik gelembung dan agak kuning.

4. Bila bahagian bawah telah masak, alihkan adunan sebentar dan angkat dari kuali. 

5. Sejukkan kuih dorayaki yang telah masak dan isikan dengan inti kacang merah atau jem pilihan. Dah siap.... :)


Jom layan lagu Doraemon sambil makan kuih dorayaki.... :D. Ini video kegemaran anak saya...minit 1:06 tu doraemon sedang makan kuih dorayaki...heee...heee.....sangat comel <3

Assalamualaikum,

Petang-petang begini apa kata kita masak kudapan. Boleh juga di hidangkan kepada anak-anak sambil bersantai menonton TV. Kudapan yang kita sediakan sendiri pasti lebih enak dan sihat dari yang di beli di luar dan boleh di olah dengan mencampurkan bahan-bahan yang di sukai oleh anak-anak kita sendiri. Seperti anak saya ini, mereka gemar makan sosej dan kentang.

Resepi kroket ini sebenarnya saya buat sempena minggu 'cook along' di group masakan GTPM -facebook dengan tema masakan berasaskan kentang. Rasa kroket ini sungguh ranggup dan sedap sekali. Apalagi di nikmati semasa masih panas...memang laris dengan anak-anak, malah minta di buatkan lagi :)

Saya ingin berkongsi resepinya di sini. Cubalah...resepinya ringkas sangat dan yang penting sungguh sedap dan ranggup :)

  
       KROKET KENTANG BERKEJU 
500gm kentang - di kukus hingga lembut dan di lecek 
2 batang sosej 
50gm keju cheddar di parut
3 sudu besar jagung dalam tin - whole kernel
garam secukupnya
1 sudu teh serbuk lada sulah 
minyak untuk menggoreng 

BAHAN UNTUK DI SALUT
50gm tepung gandum 
2 biji telur ayam di pukul sedikit
50gm serbuk roti 
CARA MEMBUATNYA 

1. Kentang di potong dadu, dan kukus hingga empuk serta di lecek.

2. Campur kentang lecek, keju parut, sosej dan jagung, masukkan juga garam, serbuk lada sulah dan uli perlahan-lahan.


3. Bentukkan bulat-bulat seperti bola pingpong. Golekkan adunan di atas tepung gandum hingga rata, celup dalam telur dan angkat.

4. Golekkan semula adunan di dalam serbuk roti hingga rata.

5. Panaskan minyak, goreng adunan hingga masak. Angkat dan bolehlah di hidangkan.


Assalamualaikum :)

Salam jumaat :). Masak apa untuk tengahari ni agaknya yer? Apa juga lauk yang kita hidangkan untuk keluarga, bagi saya hidangan kampung tetap menjadi pilihan apa lagi jika masak lemak cili api ikan masin di rampai dengan betik muda...di gandingkan pula dengan nasi panas. Sungguh membuka selera.

Resepinya juga mudah, macam masak lemak cili api biasa dan cepat di sediakan, tapi saya ingin juga berkongsi di sini...jom kita lihat.

 LEMAK CILI API BETIK & IKAN MASIN
Bahan-bahan
200gm betik muda/mengkal 
200gm ikan masin (Saya guna ikan talang masin)
4 ulas bawang merah 
2 ulas bawang putih
7biji cili padi 
3cm kunyit hidup
3 batang serai 
300ml santan 
100ml air


Cara membuatnya 
1. Bawang putih, bawang merah, cilipadi & kunyit hidup di tumbuk lumat. Ketuk serai, masukkan semuanya ke dalam periuk.

2. Tuangkan santan dan air, biarkan mendidih.

3. Masukkan betik muda yang di potong, renihkan sebentar dan masukkan ikan masin, masak hingga pekat.


4. Perasakan dengan sedikit garam dan gula. Jika ikan tersebut agak masin, tidak perlu lagi di masukkan garam.



Assalamualaikum :)

Apa khabar hari ini? Cuti panjang persekolahan hingga hujung Disember ini pasti memberi kita lebih banyak masa bersama anak-anak di rumah dan jika ada kelapangan tu bolehlah mencuba resepi -resepi baru untuk di hidangkan kepada keluarga tercinta.

Resepi yang saya ingin kongsi hari ini menggunakan kiwi yogurt dan anak-anak saya amat menyukainya. Tekstur kek nya juga lembut dan gebu serta membuatnya juga amat mudah kerana bahan-bahan yang di gunakan memang ada di dapur rumah kita. Cuma perlukan tambahan yogurt dalam resepi ini dan boleh saja di pelbagaikan apa-apa perasa yogurt tersebut mengikut kreativiti masing-masing.

Jom kita lihat resepinya... :)

KIWI YOGURT CUPCAKES
250gm tepung naik sendiri 
200gm gula kastor 
300gm mentega 
5 biji telur
4 sudu besar yogurt perasa kiwi 
1 sudu teh esen vanilla


Cara membuatnya 

1. Pukul mentega dan gula sehingga putih warnanya, masukkan telur satu persatu.

2. Masukkan tepung sedikit demi sedikit serta esen vanilla dan pukul lagi.

3. Akhir sekali masukkan empat sudu besar yogurt kiwi dan gaul rata. Boleh juga di warnakan mengikut kesukaan anda, tapi saya biarkan warnanya putih kerana akan menghias kek tersebut dengan krim.


4. Tuang adunan kedalam mini cupcakes dan bakar di dalam ketuhar bersuhu 180'C selama 15-20 minit atau hingga masak.   


Untuk resepi butter cream, sila rujuk di dalam entri vanilla cupcakes dalam blog ini. 



Assalamualaikum,

Cuti sekolah begini memang banyak undangan kenduri kahwin di terima di sana-sini. Kadang-kadang dua tiga jemputan dalam sehari. Selalunya kalau di kampung-kampung kadangkala ada menu yang jarang kita temui seperti pajeri jantung pisang.

Sedap dan lemak rupanya jantung pisang jika di buat pajeri. Bayangkan, jika di rebus buat ulam atau di buat kerabu saja sudah enak rasanya, apalagi jika di rampai menjadi pajeri. Selalunya menu begini amat popular di kampung-kampung.  

Jom kita lihat resepinya, mana tau boleh cuba masak di rumah nantinya... :)

PAJERI JANTUNG PISANG

Jantung pisang - Saya guna jantung pisang raja 

Di tumbuk (Bahan A)
5 ulas bawang merah
3 ulas bawang putih 
1 inci halia 
2 sudu besar udang kering 

Bahan B
2 kuntum bunga lawang 
2 biji buah pelaga 
1 inci kulit kayu manis 
3 kuntum bunga cengkih
1 bungkus serbuk kari daging Baba's - yang kecil 
2 sudu makan kerisik

Bahan C
Santan pekat secukupnya
Garam dan gula 
1/4 cawan air asam jawa

Cara membuatnya
Jantung pisang di belah lapan dan rebus sebentar



1. Panaskan minyak, tumis bunga lawang, buah pelaga, kulit kayu manis dan bunga cengkih, masukkan juga bahan A yang telah di tumbuk halus, tumis sampai wangi dan kekuningan.

2. Masukkan rempah kari yang di bancuh dengan sedikit air, bila bila pecah minyak masukkan kerisik.


3. Masukkan santan pekat dan sedikit air asam jawa. Renihkan sebentar dan masukkan jantung pisang tadi.

4. Pastikan jantung pisang tadi empuk dan sebati dengan kuah pajeri, dan perasakan gula & garam. Jika suka masukkan sedikit serbuk perasa. Pajeri harus sedikit manis, jadi sesuaikan kandungan gulanya. Kacau sekali sekala.

5. Masak hingga pekat dan secukup rasa. Hidangkan.