Assalamualaikum,
Sebut saja tentang popiah, memang menjadi kegemaran saya, tak kisahlah sama ada popiah basah, popiah simpul kasih yang kecil-kecil isi serunding tu ataupun popiah goreng bercili. 'Part' yang paling saya suka tentang popiah ialah keranggupannya ketika di kunyah, apalagi jika kulit popiah itu membalut sayuran dan isi udang segar. Ermm...makin cerita, makin terliur jadinya.
Baiklah kita langsung saja melihat resepi popiah goreng bercili yang resepinya saya ambil dari buku Chef Hanieliza. Izinkan saya berkongsi sekali lagi resepinya di sini.
POPIAH GORENG BERCILI
BAHAN A
Kulit popiah secukupnya
Minyak masak
1 sudu makan tepung gandum + 1 sudu makan air (di bancuh sebagai gam kulit popiah)
BAHAN B (INTI)
200gm udang (di hiris kecil)
1 batang lobak merah (di sagat atau potong halus)
1 mangkuk sengkuang (di sagat halus)
1/2 cawan daun kucai (di potong pendek)
1 labu bawang besar ( di racik)
1 ulas bawang putih (di potong dadu)
1 sudu makan minyak masak
garam secukup rasa
BAHAN C (UNTUK SOS)
2 sudu makan cili kisar
1 ulas bawang putih - di tumbuk hancur
2 sudu makan sos cili
2 sudu makan cuka
1 sudu makan gula
3 sudu makan minyak masak
garam secukup rasa
bijan dan kacang goreng yang di tumbuk secukupnya
Cara membuat:
1. Panaskan minyak dan tumiskan bawang putih dan bawang besar hingga wangi. Masukkan semua Bahan B, kacau rata.
2. Apabila sayur lembut, tutup api dan tapis supaya kuahnya terasing.
3. Letakkan inti popiah di tengah kulit popiah dan gulungkan hingga hujung seperti gulungan kuih dadar.
4. Gamkan hujung dengan bancuhan tepung tadi dan gorengkan dengan minyak yang banyak menggunakan api yang sederhana panas. Apabila kekuningan bolehlah di angkat dan tuskan minyak.
5. Tumiskan cili dan bahan-bahan lain (C). Masak hingga pekat dan naik minyak.
6. Masukkan popiah goreng tadi dan taburkan bijan/kacang tanah. Kacau rata dan angkat. Sedia di hidangkan.
0 comments:
Catat Ulasan
Sila tinggalkan komen :)