Assalamualaikum,
Dah 18 hari kita menjalani ibadah puasa, makan pun agak kurang berselera. Apalagi jika tiap hari menu nasi berlauk waktu berbuka dan bersahur. Hari ini saya masak kue Teow Ladna dan mencampurkan aneka 'seafood' sebagai lauknya, kecuali sotong kerana tidak ada bekalan sotong di pasar basah petang ini. Memang puas makan jika masak sendiri di rumah dan bolehlah di campur dengan sayur kesukaan kita sendiri di dalam kuahnya.
Jom kita lihat resepinya...
KUE TEOW LADNA
Bahan A
1 bungkus kue teow (600gm)
5 sudu besar kicap manis cap udang
1 sudu teh minyak masak
Bahan B
3 ulas bawang merah - di cincang
2 ulas bawang putih - di cincang
1 sudu besar minyak masak
5 biji putik jagung - di hiris
6 biji kacang peas - saya tambah
1 tangkai cili merah - di hiris nipis
4 biji cili padi - di ketuk
sedikit bunga kobis
1/2 batang lobak merah - di hiris
1 biji telur
3 sudu besar sos tiram
2 sudu besar kicap sotong
1 sudu besar kicap manis
1 kiub ayam
3 cawan air
1 sudu besar tepung jagung
50gm udang
50gm ketam / sotong
2 ketul fishcake - di hiris
8 ketul fish ball - di hiris
Cara membuat:
1. Masukkan kue teow ke dalam kuali, tuang kicap manis serta kacau goreng hingga masak, ketepikan. Saya hanya memasukkan sedikit minyak kerana kueteow itu sendiri sudah berminyak seperti juga mee.
2. Untuk membuat kuahnya tuang minyak kedalam kuali, tumis bawang putih dan merah hingga wangi dan kekuningan.
3. Masukkan fish ball dan fish cake kacau sebentar dan tuang air sebanyak 2 cawan kedalam kuali. Masukkan udang, ketam, sayuran dan kacau perlahan sehingga mendidih. Masukkan juga cili besar, cili padi dan kiub ayam kedalam kuahnya.
4. Seterusnya masukkan kicap manis, sos tiram, kicap sotong dan renihkan kuah sebentar.
5. Larutkan tepung jagung kedalam 1 cawan air lagi dan tuang kedalam kuah untuk memekatkannya. Akhir sekali pukul telur dan tuang di atasnya, kacau sebentar serta bolehlah di tutup api.
CARA MENGHIDANG:
Masukkan kue teow yang di goreng tadi ke dalam pinggan dan tuang kuah di atasnya. Saya juga suka menikmatinya dengan hirisan cili padi yang di campur dengan kicap dan perahan limau nipis.
0 comments:
Catat Ulasan
Sila tinggalkan komen :)