KARI IKAN SEMBILANG

Assalamualaikum,

Masakan sahur hari ini adalah ikan sembilang masak kari. Ikan ini adalah pemberian dari teman sepejabat dan baru malam ini saya sempat memasaknya. Rasanya semua orang tahu memasak kari, jika tak tahu juga di setiap bungkus serbuk kari walaupun apa jenamanya ada di sertakan cara-cara memasaknya 'step by step' menjadikan kerja memasak lebih mudah. Tapi kenapa rasa kari yang di hasilkan oleh setiap orang itu berbeza dari segi rasanya walaupun proses memasaknya sama sahaja?

Petua dari orang tua-tua, ketika menumis serbuk kari, hendaklah sehingga benar-benar pecah minyak dan garing sedikit menggunakan api yang kecil atau sederhana saja barulah di masukkan air asam jawa, santan dan air. Kalau menggunakan api yang besar, rempah mudah hangit dan tidak masak serata. Selain dari itu ikan juga hendaklah di bersihkan dengan limau nipis serta garam atau dengan asam jawa, untuk menghilangkan bau hanyir dan menjadikannya enak untuk di masak.

Sesetengah orang pula suka memasak kari ikan menggunakan periuk tanah atau claypot, untuk rasa yang lebih lazat. 

KARI IKAN SEMBILANG.
Bahan-bahan
Ikan sembilang (boleh juga gunakan ikan jenis lain)
5 ulas bawang merah 
1 paket kecil rempah kari (atau 5 sudu makan) - saya selalu guna jenama Baba's
3 ulas bawang putih
1 sudu teh halba campur
2 tangkai daun kari 
2 biji tomato - di potong empat
1 cawan air asam jawa
1 cawan santan pekat 
minyak untuk menumis
7 biji bendi 
garam
Cara penyediaan

1. Panaskan minyak dan tumis bawang merah, bawang putih, halba campur dan daun kari sehingga wangi. 

2. Kemudian masukkan serbuk kari ikan yang di bancuh dengan sedikit air dan masak sehingga pecah minyak dengan api yang sederhana (kacau selalu).

3. Masukkan pula air asam jawa dan santan pekat, biarkan mendidih.

4. Masukkan bendi dan ikan, tambahkan sedikit air mengikut kepekatan yang di kehendaki. Kecilkan api dan biarkan kari mendidih dan pecah minyak.

5. Masukkan pula garam, serbuk perasa (jika suka) dan tomato. Renihkan hingga pecah minyak lagi dan tutup api.


0 comments:

Catat Ulasan

Sila tinggalkan komen :)