KARI IKAN BAWAL

Assalamualaikum,

Menu kari memang tidak dapat di pisahkan dengan orang utara dan di Kedah ni kami menyebutnya sebagai gulai. Definisi gulai di antara orang utara semenanjung dengan bahagian selatan agak berbeza. Tapi di sini memang gulai itu adalah kari :)

Di Langkawi banyak tempat makan yang menyajikan gulai panas, terutama sekali untuk hidangan makan malam, di mana pelanggan akan memilih sendiri ikan segar yang di sediakan oleh restoran atau gerai tersebut dan di masak serta hidangkan panas-panas kepada pelanggan dengan lauk-pauk lain dan ulam-ulaman segar. 

Bagi saya, konsep perniagaan dan menu begini amat bagus di perkenalkan kepada pelancong asing dan bersaing dengan kebanjiran tempat makan Thai yang tumbuh seperti cendawan lepas hujan di Bandaraya pelancongan ini, hinggakan hilang identiti Malaysia yang di cari oleh pelancong itu sendiri. Maklumlah kedudukan geografi Langkawi begitu hampir sekali dengan selatan Thailand.

Baiklah, untuk hari ini saya ingin berkongsi hidangan kari ikan bawal. Pasti semua orang tau memasak kari kan...tetapi saya ingin juga berkongsi di sini untuk yang tidak tahu dan masih belajar memasak terutama sekali bagi adik-adik dan anak-anak kita.
KARI IKAN BAWAL 
Bahan-bahan 
1 ekor ikan bawal - di bersihkan dan potong (boleh gantikan dengan ikan lain)
1 bungkus kecil rempah kari ikan (saya gunakan jenama Baba's)
3 Ulas Bawang Merah 
2 Ulas Bawang Putih 
1 sudu besar halba campur 
1 cawan air asam jawa
1 cawan santan pekat
2 tangkai daun kari 
1 biji tomato 
garam secukup rasa
Beberapa tangkai kacang bendi - kalau yang panjang di potong dua
minyak untuk menumis
Cara Memasak:

1. Panaskan minyak di dalam kuali/periuk. Tumis bawang merah, bawang putih ,daun kari dan halba campur hingga wangi.
2. Masukkan pula rempah kari yang telah di bancuh dengan sedikit air sambil di kacau. Masak dengan api sederhana dan pastikan rempah benar-benar masak dan pecah minyak.

3. Seterusnya masukkan air asam jawa di ikuti oleh santan pekat. Renihkan sebentar sambil di kacau dan masukkan isi ikan.

4. Kecilkan api dan biarkan kuah kari tersebut masak dan mendidih.
5. Akhir sekali masukkan tomato, bendi dan garam dan renihkan sebentar hingga bendi lembut. Suaikan rasa dan bolehlah matikan api dapur.

0 comments:

Catat Ulasan

Sila tinggalkan komen :)