KERANG SOS PADANG

Assalamualaikum,

Salam Maulidur Rasul untuk semua. Pada yang bercuti hari ni bolehlah bersantai dengan keluarga di rumah.

Bagi yang merancang untuk masak hari ni, apa kata masak kerang sos padang yang bagi saya sangat enak. Oleh kerana Langkawi ini di kelilingi lautan, 'seafood' memang menjadi menu utama dan makanan kegemaran saya. Sudah terbiasa sejak kecil, namun begitu sejak berumur ni terpaksa kurangkan sedikit kerana perlu juga mengawal kadar kolestrol.

Kerang sos padang ini sangat sedap dan jika ada yang tak makan kerang, boleh sahaja tukarkan dengan ketam, sotong, ikan atau ayam. Resepi asalnya menggunakan siput sudu/kupang yang segar atau dalam bahasa lain kerang hijau. Siput yang saya gunakan ini juga dari keluarga kerang tetapi saiznya besar sedikit dari kerang biasa. Saya beli dari pasar basah sekembalinya dari pejabat petang semalam.

Baiklah bagi yang ingin mencuba resepi yang lazat ini, bolehlah ikut resepi di bawah ni...
KERANG SOS PADANG 
sumber : Just try & taste

Bahan-bahan
1kg kerang atau kepah - Cuci cengkerangnya
1/2 buah tomato merah - potong dadu kecil
200 ml air

Bahan sos padang - di kisar / di tumbuk (A)
6 tangkai cili merah
4 tangkai cili padi 
5 ulas bawang merah
3 ulas bawang putih
minyak untuk menumis
Bahan lain (B)
1 inci halia - di potong nipis
5 sudu makan sos tomato
1/2 sudu teh serbuk lada sulah
1 sudu makan sos tiram
1 sudu makan gula pasir
1/2 sudu teh garam (tambahkan hanya jika kurang masin kerana sos tiram telah cukup masin)
1 kiub ayam
Bahan untuk merebus kerang (C)
2 ulas bawang putih cincang halus
1 inci halia cincang halus
2 liter air
1 sudu makan garam


Cara memasak:

1. Rebus kerang dengan bahan C hingga cengkerang terbuka. Ketepikan seketika.
2. Panaskan minyak di dalam kuali, tumis bahan yang di kisar tadi (Bahan A) dengan api kecil. Masukkan pula semua bahan lain sos padang (Bahan B) dan kacau rata. Masukkan juga tomato yang di cincang halus dan air. Masak hingga pekat dan suaikan rasa.
3. Masukkan kerang, kacau hingga bahan tumis bercampur rata dengan kerang. Matikan api dapur dan angkat kerang. Tuangkan di pinggan dan sajikan bersama nasi panas.

0 comments:

Catat Ulasan

Sila tinggalkan komen :)