Assalamualaikum,
Sesekali makan nasi minyak pun sedap juga kan. Jika di fikirkan, sejak bila ya nasi minyak ni di gunakan sebagai bahasa kiasan orang melayu untuk bertanya kepada seseorang yang merancang untuk berkahwin. Selalunya kita tidak akan bertanya secara terus, cuma dengan berkias...seperti ini, 'bila agaknya nak makan nasi minyak?'. Agaknya dulu menu utama rumah yang mengadakan kenduri kahwin adalah nasi minyak. Kalau sekarang ni, berbagai menu tambahan memeriahkan majlis kenduri dan semuanya enak-enak belaka.
Tak susah sebenarnya proses memasak nasi minyak ni dan bila-bila masa kita suka bolehlah di masak dan hidangkan untuk keluarga, tak perlu menunggu jemputan kahwin :).
Jom kita lihat resepinya.
NASI MINYAK
4 cawan beras - basuh dan toskan (saya guna beras biasa)
4 1/2 cawan air
1/2 cawan susu cair
3 sudu besar minyak sapi
2 helai daun pandan
4 sudu besar kismis
Bahan untuk menumis (Bahan B)
2 ulas bawang putih
3 biji bawang merah
1 inci halia
1 batang serai - di ketuk
1 inci kulit kayu manis
3 kuntum bunga lawang
5 kuntum bunga cengkih
3 biji buah pelaga
Cara membuat
1. Basuh beras dan toskan. Ketepikan seketika.
1. Panaskan minyak sapi di dalam periuk dan tumis bahan-bahan B hingga wangi.
2. Masukkan beras dan kacau rata, masukkan pula kismis dan garam serta susu cair.
3. Tuang air ke dalam periuk elektrik, kacau sebentar agar beras sebati dengan air dan bahan lain, dan masaklah seperti nasi biasa.
DAGING MASAK HITAM
Bahan-Bahan
500gm daging - di potong nipis
1 sudu makan serbuk jintan manis - bancuh dgn air
1 sudu teh serbuk jintan putih - bancuh dgn air
2 sudu makan minyak masak
5 sudu makan kicap pekat
1/2 cawan air asam jawa
garam dan air secukup rasa
Bahan Kisar
10 biji bawang merah
3 ulas bawang putih
1 1/2 inci halia
15 tangkai cili kering
1. Panaskan minyak dan tumiskan bahan kisar bersama bancuhan jintan putih serta jintan manis hingga wangi
2. Masukkan daging & sedikit air, biarkan hingga lembut. Apabila sudah lembut, masukkan kicap dan air asam jawa. Masak hingga pekat dan pecah minyak, apabila sudah masak, hidangkan.
ACAR MENTAH
Bahan-bahan
1 biji timun
1 biji lobak merah
1 labu bawang besar
1 biji cili besar
Nenas
3 sudu besar cuka makan
2 sudu besar gula
1 sudu besar garam
Cara membuatnya;
1. Timun, nenas yang telah di kupas dan lobak merah di potong.
2. Campur garam, gula dan cuka serta kacau hingga hancur. Rasa dan suaikannya dengan menambah garam dan gula mengikut citarasa masing-masing.
3. Masukkan timun, nenas dan lobak merah yang di potong tadi ke dalam air cuka dan kacau hingga semuanya bercampur rata.
Tips : untuk meranggupkan timun dan lobak merah, bolehlah di rendam sebentar dengan air kapur makan, sebelum di toskan dan campur dengan air cuka tadi.
0 comments:
Catat Ulasan
Sila tinggalkan komen :)