LEMPENG PISANG PALING SEDAP

Assalamualaikum, 

Hari ini hujan lebat di awal pagi di bumi Langkawi. Sejuknya menggigit hingga ke tulang dan anak-anak juga agak malas keluar dari selimut untuk mandi dan bersiap ke sekolah. Apa pun keadaannya, hari ini anak kedua saya yang bakal menduduki peperiksaan UPSR harus bangun awal dan bersiap sedia untuk menempuh hari yang mendebarkan. Buat kali terakhirnya saya mengingatkannya agar lebih bertenang dalam menjawab soalan dan mempersiapkan segala kelengkapan alatan tulis. Untuk sarapan pagi hari ni, saya juga siapkan lempeng pisang dan milo panas dan sempat juga dia menjamah sebelum van sekolah sampai di halaman rumah. 

Lempeng pisang yang saya buat ini di ambil dari blog teman blogger yang sangat rajin memasak untuk anak-anaknya iaitu di SINI. Terimakasih atas perkongsian resepi ini dan izinkan saya berkongsi di sini pula untuk rujukan nanti. 
LEMPENG PISANG PALING SEDAP
Sumber : Amie's Little Kitchen

Bahan-bahan:
2 1/2  cawan pisang lenyek (anggaran) - pilih pisang masak ranum (cukup manis, tak perlu tambah gula) saya gunakan 5 biji pisang
1 1/2 cawan tepung gandum
5 sudu makan susu tepung
1 tin jagung krim
1/2 sudu teh soda bikarbonat
1/2 sudu teh baking powder
secubit garam
marjerin

Cara membuatnya:

1. Campurkan pisang lenyek bersama tepung gandum, susu tepung, soda bikarbonat, baking powder, secubit garam dan gaul sebati.
2. Masukkan jagung krim. Jika agak cair, tambahkan sedikit demi sedikit tepung gandum.
3. Panaskan kuali non-stik saiz paling kecil. Cairkan sedikit marjerin.

4. Masukkan adunan mengikut ketebalan yang disukai.
5. Terbalikkan lempeng supaya masak kedua-dua belah bahagian. Hidangkan segera.