NASI GORENG USA

Assalamualaikum,

Makan apa tengahari ni ya? Kalau hari-hari makan nasi berlauk pun menjemukan juga kan. Apa kata mencuba kelainan hidangan ala'carte seperti nasi goreng USA ini. Anak-anak saya suka betul dengan nasi goreng ini dan selalu juga minta di buatkan untuk makan malam sekembalinya saya dari pejabat. Resepi ini saya ambil di SINI. Memang sedap resepi nasi goreng kak Raidah ni dan puas hati mencuba, terutama sekali daging masak merahnya menepati citarasa saya. 

Jom kita lihat resepinya...
NASI GORENG USA
BAHAN NASI:
2 mangkuk nasi
2 ulas bawang putih - di cincang
1 biji bawang besar - dihiris nipis
1 sudu besar cili kisar
1 sudu besar sos tiram
1/2 batang lobak merah - dipotong dadu (boleh juga gantikan dengan sayur campur)
Garam secukup rasa 
Sedikit minyak.

Cara penyediaan nasi:

1. Tumis bawang putih sehingga naik bau, masukkan bawang besar dan cili kisar dan goreng sehingga garing.
2. Masukkan sos tiram dan lobak merah(sayur campur), gaul rata.

3. Masukkan nasi dan gaul sehingga rata. Rasakan masin dan bolehlah diangkat.

DAGING MASAK MERAH:
300gm daging - dihiris
2 ulas bawang putih - dicincang
1 biji bawang besar - dicincang
1/2 biji capsicum - dihiris
1 biji tomato - dipotong 6
1 sudu besar cili kisar
2 sudu besar cili sos
Garam dan gula secukup rasa
Sedikit minyak.
Cara penyediaan daging:

1. Tumis bawang putih hingga naik bau,masukkan cili kisar dan biarkan seketika sehingga cili masak.

2. Masukkan daging dan biarkan sehingga air daging kering.
3. Masukkan cili sos, capsicum dan bawang besar, gaul rata.

4. Akhir sekali masukkan tomato dan perasakan masim, manis dan masamnya.
5. Hidangkan bersama nasi, telur mata kerbau, tomato dan timun.