SAYUR BOK CHOY KUKUS DENGAN SOS BAWANG PUTIH

Assalamualaikum,

Saya adalah penggemar sayur tetapi semua ahli rumah ini mengelak untuk makan sayur kecuali sayur kacang buncis dan lobak merah. Hanya dua sayur ini yang anak-anak suka. Bila saya masak sayur lain sedikit, memang mereka mengelak dari menjamahnya. Entah kenapa anak-anak kecil tak suka sayur ya. Nak kata pahit, tak juga tapi kebanyakan dari teman-teman saya memang mengeluh yang anak mereka tak suka mengambil sayuran dalam hidangan. Cuma satu hal yang saya mulai perasan. Bila anak-anak menginjak remaja dan di sekolah menengah, mereka mula faham dan dah mula makan sayur yang saya hidangkan. Ini berlaku kepada anak-anak saya...tak tahu pula bagaimana perkembangan anak-anak lain di luar sana.

Baiklah, kebetulan saya mengambil cuti dan di rumah sepanjang hari ini, dapatlah saya memasak sayur kegemaran saya iaitu baby bok choy. Selalu jika kita makan di restoran Thai ada menu baby bok choi yang di kukus dengan bawang putih. Hanya itu saja tanpa lauk tambahan seperti udang, tapi rasanya tetap enak. Resepi yang saya masak ini telah saya ubahsuai dengan menambah sedikit udang kering sebagai pembangkit rasa. Kepada yang suka makanan sihat dan ingin mencuba, jomlah kita lihat resepinya...ringkas sahaja.
SAYUR BABY BOK CHOY DENGAN SOS BAWANG PUTIH.
Bahan-bahan
6 tangkai sayur baby bok choy
2 ulas bawang putih - di cincang 
3cm halia muda - di hiris nipis
2 sudu besar udang kering - di rendam terlebih dahulu
Bahan B
2 sudu besar kicap cair 
2 sudu besar sos tiram
1/2 sudu teh gula
1 sudu teh tepung jagung 
1/2 cawan air
1 sudu minyak masak

Cara membuatnya:

1. Potong dua sayur baby bok choy dan bersihkan di celah-celah batangnya. Masukkan ke dalam pengukus dan kukus selama 5 minit.
2. Sementara sayur masak, sediakan sosnya. Masukkan minyak kedalam kuali, tumis bawang putih, halia dan udang kering hingga garing dan wangi.
3. Masukkan kesemua bahan B dan kacau hingga pekat. Setelah masak matikan api.

4. Susun sayur baby bok choy yang di kukus tadi ke dalam pinggan hidangan dan tuang sos (Bahan B) yang di masak tadi.

5. Sebagai hiasan, bolehlah di taburkan bawang goreng dan hidangkan segera bersama lauk lain dan nasi panas.

0 comments:

Catat Ulasan

Sila tinggalkan komen :)