NASI LEMAK DAUN LEMUNI

Assalamualaikum,


Selamat berhari minggu. Sarapan apa pagi ini ya? Bagi saya, pagi ini menikmati nasi lemak daun lemuni yang banyak khasiatnya. Pernah dengar tak daun lemuni? Daun lemuni ni mudah di dapati di kampung dan digunakan secara tradisional untuk mengubati penyakit rheumatism, cirit birit, mencegah kanser payudara serta bermanafaat kepada ibu yang baru melahirkan. Air rendaman daun ini jika dijadikan air mandian dipercayai dapat memulihkan anggota-anggota badan yang lemah, terutama setelah sembuh dari sakit yang berlarutan. Info ini saya dapat di google, tapi memang dari dulu lagi ibu pun ada ceritakan khasiat daun yang satu ini dan elok di ambil ketika di dalam pantang bersalin kerana memanaskan badan.

Resepi nasi lemak daun lemuni ini sama sahaja dengan menanak nasi lemak biasa cuma yang bezanya, daun ini di kisar untuk mendapatkan pati dan di campur bersama santan untuk mendapatkan nasi yang lazat dan berkhasiat. Menu ini memang terkenal di utara semenanjung Malaysia. Baiklah, jom kita lihat resepinya...
NASI LEMAK DAUN LEMUNI
Bahan-bahan 
2 cekak pucuk lemuni - di kisar dengan 1 cawan air
4 cawan beras - saya gunakan beras biasa sahaja
3 cawan air + 1 cawan santan
4 ulas bawang merah - di kisar
2 ulas bawang putih - di kisar 
1 inci halia - di hiris nipis
1 batang serai - di ketuk
2 helai daun pandan - di koyak dan simpul
1 sudu teh halba

Cara membuatnya:

1. Kisar daun lemuni dengan secawan air dan tapiskan. Ambil airnya sahaja.
2. Basuh beras bersih dan toskan airnya.

3. Masukkan bawang merah, bawang putih halba dan halia di dalam periuk bersama beras.
4. Masukkan juga pati daun lemuni, santan + air, daun pandan dan garam secukupnya.
5. Biarkan nasi sehingga masak.

Nasi ini selalunya di hidangkan seperti nasi lemak biasa iaitu di gandingkan dengan sambal tumis dan telur rebus. Sebagai pembuka selera, enak juga jika di makan dengan telur asin rebus atau ikan masin yang di goreng.

0 comments:

Catat Ulasan

Sila tinggalkan komen :)