MOI KETAM

Assalamualaikum,

Selamat memulakan hari dan semoga segala yang kita lakukan hari ini berjalan dengan lancar sesuai dengan perancangan. Pagi ni saya nak ceritakan tentang makanan lagi :). Ada pembaca blog ini bertanya, sebagai wanita bekerjaya,  bilakah masa saya peruntukkan untuk memasak dan berkongsi di blog. Sebenarnya masakan yang saya kongsikan adalah menu sehari-hari yang saya hidangkan untuk keluarga dan ada juga yang saya masak ketika ada masa kelapangan seperti hari minggu. Walaupun kurang mahir memasak, tetapi minat saya dalam masak-memasak ini mengatasi segalanya. Saya jadi teruja untuk mencuba resepi-resepi baru dan terasa ada kepuasan bila keluarga suka apa yang saya masak.Lagi pun resepi yang saya kongsikan selalunya yang mudah-mudah sahaja dan kebanyakan orang tau menyediakannya.

Baiklah..pagi ni saya nak kongsikan satu lagi resepi mudah iaitu moi ketam. Sesuai untuk sarapan pagi. Jom kita lihat resepinya...:)
MOI KETAM 
Bahan-bahan
2 cawan beras wangi - boleh juga gunakan beras biasa 
13 cawan air
3 ekor ketam 
1 inci halia - di mayang 
2 ulas bawang putih - di hiris atau di ketuk
1/2 sudu teh minyak bijan 
1 kiub ikan bilis 
garam secukup rasa
1 sudu teh lada hitam - di tumbuk kasar
1 keping ikan masin di goreng garing - Pilihan 
Daun bawang - hiasan
Cara menyediakannya

1. Cuci bersih ketam dan potong dua. Ketepikan seketika.

2. Cuci beras dan masukkan ke dalam periuk bersama air, halia , bawang putih dan serbuk lada hitam. Masak sehingga beras hancur sambil sesekali di kacau.

3. Masukkan ketam, kiub ikan bilis dan minyak bijan sambil di kacau. Imbangkan rasa bubur dengan memasukkan sedikit garam.
4. Bila bubur telah masak, hidangkan dengan menabur daun bawang dan isi ikan masin yang di hancurkan sedikit.