Assalamualaikum,
Hari ni masak lauk yang ringkas saja untuk makan malam. Anak-anak semua sudah sepakat, lebih memilih roti canai sebagai menu makan malam ni sedangkan saya teringinkan sesuatu yang ringkas dan membuka selera untuk di gandingkan dengan nasi panas. Ada baiknya jika anak-anak tak terlibat dalam masakan lauk malam ni kerana selera mereka selalunya lebih cerewet :)
Sudah lama saya tak masak lauk ikan masin talang. Agak mudah untuk mendapatkan bekalan ikan masin di Langkawi ni tapi selalunya saya mendapatkan stok ikan masin sama ada ikan talang masin atau ikan gelama masin di Kuala Kedah kerana sudah biasa dengan pembekal di sana dan ikan nya juga lebih kualiti. Selalunya isi ikan yang di bekalkan lembut dan agak gebu serta rasa masinnya juga tidak terlalu menyengat. Ada dua jenis ikan kering yang di bekalkan iaitu jenis masin dan masam.
Baiklah, masakan pembuka selera saya malam ini adalah sambal tumis ikan talang masin, dan resepi sambalnya saya ambil dari resepi sambal sotong chef hanieliza. Ternyata gandingan sambal tersebut dan ikan masin talang yang di goreng sangat enak dan membuka selera terutama bagi penggemar masakan ringkas seperti saya.
Jomlah lihat resepi mudah ini...
SAMBAL TUMIS IKAN TALANG MASIN
Bahan-bahan
500gm isi ikan talang masin
1 labu bawang besar di hiris
1/2 cawan jus asam jawa
3 sudu makan sos tomato
1 labu bawang besar di hiris kasar
1 tangkai daun kari - (pilihan)
1 sudu teh gula
3 sudu minyak masak
garam secukup rasa (tidak perlu di masukkan jika ikan sudah masin)
Bahan Kisar
20 tangkai cili kering
8 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih
Cara membuatnya:-
1. Goreng ikan masin talang terlebih dahulu.
2. Panaskan minyak dan tumiskan bahan yang di kisar hingga garing dan pecah minyak.Masukkan jus asam jawa dan sos tomato.
3. Masukkan gula kemudian masak hingga pecah minyak dan pekat.
4. Masukkan ikan masin goreng, bawang besar dan daun kari kacau rata. Biarkan sebentar hingga bawang sedikit layu dan sambal menjadi kering sedikit. Rasa sambal tersebut, jika kurang masin, tambahkan sedikit garam. Tutup api dan hidangkan dengan nasi panas.
0 comments:
Catat Ulasan
Sila tinggalkan komen :)