ROTI JALA TANPA TELUR & KUAH DURIAN

Roti Jala memang enak di gandingkan dengan kari ayam atau kuah durian. Pagi ini saya bangun awal sedikit dari biasa maka dapatlah menjala roti untuk keluarga dan sempatlah anak-anak merasa sebelum ke sekolah.  Kali ini saya buat tanpa telur kerana anak yang bongsu mengalami alahan dan berpantang dari mengambil makanan yang mengandungi telur buat sementara waktu. Sekejap sahaja kerja menjala dengan botol muncung tiga seperti yang saya gunakan sebelum ini DI SINI. Kuahnya pula saya hasilkan dari durian kampung dan gandingan keduanya benar-benar membuka selera di pagi hari.

Jom kita lihat resepinya…


ROTI JALA TANPA TELUR
2 cawan tepung gandum
1 cawan susu segar – boleh juga gunakan susu cair
2 cawan air
sedikit garam
1 sudu besar minyak masak 
beberapa titis pewarna kuning

Cara membuatnya:
1. Masukkan semua bahan ke dalam blender dan kisar hingga adunan sebati.
2. Jika adunan agak cair, tambahkan sedikit air (kepekatan adunan bergantung juga kepada jenis tepung gandum yang di gunakan).
3. Biarkan adunan selama 10 minit (sementara menyediakan kuah durian) dan bolehlah di kirai di atas kuali anti lekat.

KUAH DURIAN
Beberapa ulas durian 
1 cawan santan 
1/2 cawan gula pasir - sila tambah jika ingin lebih manis
2 cawan air
2 sudu besar tepung jagung di larutkan dengan sedikit air (untuk memekatkan kuah)
Secubit garam
1 helai daun pandan (dikoyak dan disimpul)

Cara membuatnya
1. Asingkan isi durian dari bijinya dan ketepikan seketika.
2. Masukkan Isi durian, santan, air, garam, gula dan daun pandan di dalam periuk dan masak dengan api perlahan sambil di kacau selalu.
3. Larutkan tepung jagung dengan sedikit air sejuk dan tuang ke dalam kuah tadi sambil di kacau lagi hingga pekat dan masak.

0 comments:

Catat Ulasan

Sila tinggalkan komen :)