Assalamualaikum,
Dah lama tak masak kue teow kerang dan kalau teringin saya makan di luar sahaja kerana sukar mendapatkan kerang segar. Selalunya jika saya ke pasar, yang ada adalah isi kerang yang telah siap di rebus dan saya memang mengelak untuk membelinya kerana pernah terkena. Isinya liat bukan main dan anak-anak sakit perut selepas makan. Mungkin rezeki agaknya, petang semalam selepas pulang dari pejabat dan singgah di pasar bertemu pula dengan penjual ikan yang menjual kerang segar. Alhamdulillah...maka terhasil lah kue teow kerang malam tadi.
Jom kita lihat resepinya... :)
KUE TEOW KERANG
Sumber : Tiffin Biru (CMG)
Bahan-bahan
500 gram kue teow - di cuci dan toskan
5 biji bawang merah, hiris halus
3 ulas bawang putih, cincang halus
1 genggam isi kerang segar yang siap di rebus
2 genggam taugeh - cuci dan toskan
10 pokok kucai di potong pendek
2 biji telur, dipukul sedikit
1 sudu besar cili kisar
1 sudu besar sos tiram
1 sudu besar kicap pekat
3 sudu besar kicap manis
Sos ikan secukupnya
Hirisan cili merah sebagai hiasan
CARA MEMBUATNYA
1. Panaskan sedikit minyak dalam kuali, tumis hirisan bawang merah, bawang putih dan cili kisar hingga harum.
2. Masukkan sos tiram dan kerang, kacau rata. Tolak ketepi kuali, masukkan telur dan biar sedikit mengeras. Kacau hingga hancur dan gaul rata.
3. Masukkan kicap pekat, kicap manis dan sedikit sos ikan. Kacau dan masukkan kue teow, gaul rata.
4. Tambah taugeh dan kucai, kacau hingga semua mesra, jika nak warna lagi gelap, tambah sedikit lagi kicap pekat. Masak sekejap dan rasa, jika kurang masin, renjiskan sedikit sos ikan.
5. Angkat dan alih dalam bekas sesuai, tabur hirisan cili sebelum dihidangkan.
0 comments:
Catat Ulasan
Sila tinggalkan komen :)