TALAM UBI KAYU

Assalamualaikum & selamat pagi.

Hari ni saya ingin berkongsi resepi talam ubi kayu yang saya buat malam tadi. Kebetulan ada teman se pejabat bawa ubi kayu yang di tanam sendiri dan bahagikan kepada teman-teman sekerja kelmarin.

Bila di fikirkan sudah lama saya tidak membuat kuih talam. Jadi, saya godek-godek resepi dari blog Ita Rohaya, iaitu guru kursus kuih talam yang pernah saya hadiri kelasnya pada bulan mei tahun lepas di Ipoh. Orangnya memang tak lokek dengan ilmu dan kelasnya juga santai dan ceria tapi sayangnya saya cuma berkesempatan menghadiri kelas talam part 1 yang di anjurkannya kerana sibuk dengan tugas pejabat. Jadinya saya tidak sempat belajar resepi kuih talam ubi kayu, tapi cuba juga membuatnya sendiri dengan merujuk resepi yang di kongsikan di blognya.   

Jom kita lihat resepinya :)

TALAM UBI KAYU 
Sumber : itarohayabakery.blogspot

LAPISAN BAWAH 
700gm ubi kayu (parut, perah airnya dan ambil sagu sahaja & timbang)
100ml santan pekat
300ml air
250gm gula halus
sedikit pewarna kuning (lemon yellow + egg yellow) - saya cuma guna egg yellow

Cara-cara
1. Satukan kesemua bahan ke dalam periuk dan kacau rata.

2. Masak semua bahan-bahan sehingga pekat.

3. Tuang ke dalam loyang dan kukus selama 25minit.
LAPISAN ATAS
100gm tepung beras
50gm tepung ubi
50gm tepung gandum
2tsp garam 
200ml santan kotak 
800ml air 
Cara-cara

1. Satukan kesemua bahan-bahan dan tapis ke dalam periuk.

2. Masak hingga naik wap.


3. Tuang ke atas lapisan bawah dan kukus selama 30 minit. Sejukkan dan sila potong dengan pisau plastik untuk mendapatkan potongan kuih talam yang cantik.