NASI GORENG LADNA

Assalamualaikum,

Salam pagi sabtu untuk semua. Cuaca mendung di sini dan tak ada tanda-tanda hujan akan berhenti sejak awal pagi tadi. Walaupun bercuti hari ni tetap saja terasa malas untuk ke pasar basah mencari lauk pauk dalam keadaan sejuk begini, lagi pun masih dalam mood bermalas-malasan di rumah dan dalam proses mengemas ruang tamu yang tidak terurus. Pakaian yang kering di ampaian juga menunggu untuk di lipat. Maklum saja setelah hampir 2 minggu tidak bercuti, memang banyak kerja rumah yang menunggu.

Untuk makan tengahari ni saya masak berdasarkan apa yang ada di peti sejuk saja. Menu yang paling sesuai adalah nasi goreng ladna. Apa yang boleh saya katakan...nasi goreng ini memang sedap dan berkhasiat juga kerana ada sayur-sayuran. Rugi kalau tak mencubanya :)


NASI GORENG LADNA
Sumber : periuktanah.blogspot

Bahan-bahannya (hidangan untuk 3-5 orang)

3 ulas bawang merah dan 3 ulas bawang putih- ditumbuk kasar
1/4 cawan sotong yang telah dihiris kecil
sedikit isi ayam dipotong kecil
5 ekor udang

Serba sedikit sayuran- Pak-choi, jagung muda, karot, bunga kobis, dihiris ikut citarasa
1 tangkai cili merah dihiris serong
3 tangkai cili padi diketuk- tambah jika suka lebih pedas
2 cawan air rebusan ayam (jika tiada gantikan dengan air biasa dan 1/2 ketul kiub ayam)
# Saya tambah cendawan shitake dan tidak masukkan sayur pak choi sebab tak ada stok.

2-3 sudu besar tepung jagung  (bancuhkan dengan 1/2 cawan air)
1 sudu besar sos tiram
3 cawan nasi sejuk 
1-2 sudu besar kicap manis
minyak untk menumis

Cara membuatnya:

1. Panaskan 1 sudu besar minyak didalam kuali. Masukkan nasi. Renjiskan kicap dan gaul nasi bersama kicap hingga sebati. Ketepikan dahulu.


2. Panaskan 2 sudu besar minyak di dalam kuali atau periuk  lain. Masukkan isi ayam, udang dan sotong. Goreng seketika hingga naik bau wangi. (tak perlu diangkat)

3. Masukkan bawang yang ditumbuk, cili api, cili merah dan tumis lagi hingga terbit bau wangi. (1 minit) Seterusnya masukkan karot, bunga kobis dan jagung muda. 


4. Masukkan sos tiram, air rebusan ayam dan sedikit garam. Biarkan mendidih. Akhir sekali, masukkan bancuhan tepung jagung. Kacau hingga kuah agak pekat. Matikan api.

5. Cedokkan nasi ke dalam pinggan dan tuang kuah bersama bahan lain ke atas nasi. Sedia dinikmati.

Sedapnya...cubalah buat yer. ;)