Hari ni saya ingin berkongsi resepi yang lazat walaupun sekadar nasi goreng. Nasi goreng udang ini enak dan rasanya seperti kita menikmati hidangan di restoran terkenal juga tau. Wah...macam tu sekali ya :D. Ini adalah kerana proses menggorengnya agak lain sedikit dari biasa dan udang itu di perap serta di goreng berasingan menjadikan isinya lembut dan terasa enak sekali.
Jom lihat cara membuatnya...boleh cuba sendiri di rumah hidangan yang sedap ni.
NASI GORENG UDANG - Terangkat
Bahan A
100gm udang - di buang kulit, belah dan buang kotoran di belakangnya
1/4 sudu teh garam
sedikit serbuk lada hitam
1/2 sudu teh tepung jagung
Bahan B
3 biji telur - dipukul dalam mangkuk kecil
Bahan C
2 batang daun bawang - dicincang
2 ulas bawang putih - di cincang
4 cawan nasi sejuk
3/4 cawan lobak merah - di potong dadu
1 sudu besar kicap cair - boleh gantikan dengan sos sotong/ikan Thai
1 sudu besar sos tiram
1 sudu teh minyak bijan
Cara Memasak:
1. Di dalam mangkuk masukkan semua bahan A dan perap selama lebih kurang 10minit.
2. Panaskan kuali masukkan sedikit minyak masak dan atur udang tadi, tapi jangan sampai bertindih. Biarkan sebentar (dalam 30saat) dan alihkan, biar sebelah lagi dalam 30saat, tetapi jangan di kacau. Angkat udang tersebut dan ketepikan seketika.
3. Di dalam kuali tadi juga masukkan telur dan buat telur dadar nipis. Lipat dan potong-potong dengan sudip dan angkat. Ketepikan seketika.
4. Masukkan sedikit minyak lagi ke dalam kuali dan tumis bawang putih serta daun bawang hingga wangi. Masukkan juga lobak merah yang di potong dadu.
5. Masukkan nasi sejuk dan goreng lagi dengan api yang besar dan di kacau dengan cepat. Masukkan juga sos tiram, kicap cair, minyak bijan, telur hancur dan udang tadi. Kacau sebentar dan rasa nasi tersebut. Jika kurang masin boleh tambahkan dengan sedikit kicap cair.
6. Apabila sudah masak bolehlah di hidangkan. Nasi ini lebih enak di hidangkan dengan cili potong campur kicap atau sambal belacan.
0 comments:
Catat Ulasan
Sila tinggalkan komen :)