MUFFIN KELAPA

Assalamualaikum,

Masih lagi dalam mood bercuti tahun baru cina ke 2 hari ini. Malas rasanya nak keluar kemana-mana untuk sarapan pagi cuti-cuti begini dan selepas subuh anak-anak pun tidur semula. Saya godek bahan-bahan di dapur dan semuanya lengkap untuk menghasilkan muffin kelapa. Bolehlah buat untuk sarapan sementara menunggu makan tengahari nanti.

Resepinya ringkas sahaja, bagi yang ingin mencuba jom kita lihat...
MUFFIN KELAPA

Bahan A
1 cawan kelapa kering tanpa gula 
2 cawan tepung gandum
1 sudu besar serbuk penaik 
5 sudu besar gula halus  
1 sudu teh garam halus 

Bahan B
1biji  telur - Gred A 
1 cawan susu segar 
½ cawan minyak masak/sayur 

Untuk topping 
2 sudu besar gula halus
2 sudu besar kelapa kering
2 sudu besar ceri - di cincang 
Cara membuatnya:

1. Dalam sebuah mangkuk, ayak semua bahan A, kecuali kelapa kering dan ketepikan seketika.
2. Di dalam bekas lain pula masukkan telur, pukul dengan garfu seketika dan masukkan susu segar dan minyak serta di kacau dengan hand whisk.
3. Seterusnya tuang bahan basah kedalam tepung yang di ayak tadi , kacau sekadar seketika sahaja dan masukkan pula kelapa kering sambil di kacau lagi sekadar adunan bercampur. Jangan terlebih kacau kerana muffin akan menjadi keras. 
4. Sudukan kedalam kertas muffin dan taburkan bahan toping tadi di atas adunan. Bakar di dalam ketuhar (suhu 180'c) selama 20minit atau hingga masak.