Assalamualaikum,
Suka makan durian? Kebanyakan orang suka dengan raja buah yang satu ini namun ada juga yang tidak menyenangi baunya. Dalam rumah saya pun sama, anak yang sulung tidak tahan dan mula pening-pening bila durian di bawa pulang ke rumah. Tapi ahli keluarga yang lain tak ada masalah dan sangat menikmati buah ini walau bagaimana pun ianya di sajikan. Oleh kerana majoriti menyenangi buah durian dan tak sabar-sabar lagi untuk mengopeknya sebaik saja di beli, saya ambil keputusan untuk mengukus pulut dan gandingkan bersama santan serta isi durian yang lemak dan manis.
Sebelum ini memang ada entri tentang pulut durian dalam blog ini, tapi saya tanak pulutnya dengan menggunakan periuk nasi elektrik. Kali ini saya kukus sahaja dan tak mengambil masa yang panjang. Tak perlu rendam dahulu beras pulut itu dan pulut juga tidak berkerak. Nak tau caranya?...pasti ramai dah tau kan. Tapi saya kongsikan sekali lagi untuk yang baru-baru nak belajar.
Jom kita lihat...:)
PULUT DURIAN - VERSI KUKUS
Bahan-bahan
1/2kg beras pulut
Air - sukatan lebih sedikit sahaja dari beras pulut
Garam
gula pasir
200ml santan (boleh juga gunakan santan kotak)
1 helai daun pandan
Cara menyediakannya:
1. Basuh beras pulut dan masukkan ke dalam bekas atau loyang untuk proses mengukus.
2. Letak loyang ke dalam pengukus, masukkan air paras lebih sedikit dari beras pulut, dan kukuslah sehingga 15 ke 20 minit.
3. Setelah itu buka pengukus, kacau-kacau pulut tadi dan kukus semula selama lebih kurang 5 minit.
4. Buka tudung pengukus tadi, kacau sekali lagi dan pulut sedia untuk di hidangkan.
Cara penyediaan santan:
1. Masukkan santan dan sedikit air (agak-agak tidak terlalu pekat) ke dalam periuk dan masukkan secubit garam(sedikit sahaja sekadar menimbulkan rasa lemak).
2. Masukkan pula daun pandan yang di simpul dan masaklah hingga santan mendidih, tapi jangan sampai pecah minyak.
3. Matikan api dapur dan hidangkan bersama pulut durian.
Cara menghidang pulut durian : Masukkan pulut dan isi durian kedalam pinggan, tabur sedikit gula pasir dan siram dengan santan yang di masak tadi.
Cara menghidang pulut durian : Masukkan pulut dan isi durian kedalam pinggan, tabur sedikit gula pasir dan siram dengan santan yang di masak tadi.
0 comments:
Catat Ulasan
Sila tinggalkan komen :)