KARIPAP SARDIN

Assalamualaikum,

Kebetulan bercuti hari ni bolehlah sediakan karipap sardin panas-panas untuk hidangan minum petang dengan anak-anak. Sedap karipap ni...ranggup sekali kulitnya dan intinya juga enak. Kalau buat sendiri boleh letakkan inti lebih sikit tapi harus pandai mengagak, takut nanti karipap terbuka ketika di goreng. Resepinya saya ambil dari blog yatie memories dan menurut cerita tuan empunya blog resepi kulit karipap ni asalnya dari blog hana memories. Terima kasih keduanya untuk karipap yang sedap ini dan izinkan saya berkongsi resepinya sekali lagi di sini :)

Jom kita lihat cara menyediakannya...
KARIPAP SARDIN
Bahan-Bahan
250gm tepung gandum
2 sudu besar marjerin - panaskan (boleh juga letakkan semua minyak panas - tanpa majerin)
2 sudu besar minyak masak - panaskan
garam
1/2 cawan air atau lebih sikit (tuang sikit-sikit sehingga jadi doh)

INTI
1 tin besar sardin
3 tangkai cili merah besar -di hiris (saya gantikan dengan 2 sudu teh serbuk cili)
2 biji bawang besar
2 ulas bawang putih
garam dan gula secukup rasa
air dan sedikit jus limau nipis

**Inti di atas adalah untuk dua adunan.

Cara menyediakannya:

1. Untuk membuat kulit karipap - campurkan tepung, marjerin dan minyak masak yang telah dipanaskan (untuk mendapatkan kulit karipap yang rangup). Gaul rata guna sudu sebab panas.Bancuh garam dan air. Masukkan sedikit-sedikit. Uli doh hingga boleh dicanai dan mudah ketika mengelim.

2. Untuk buat inti - Sardin di toskan airnya dan hancur-hancurkan. Ketepikan seketika.

3. cincang bawang besar dan bawang putih. Tumiskan hingga naik bau. Masukkan serbuk cili dan kacau rata. Kemudian masukkan sardin yang di hancurkan, gula dan garam secukup rasa. Masukkan sedikit jus limau nipis dan gaul sebati. Kalau dah  secukup rasa bolehlah di angkat dan sejukkan.
4. Apabila inti telah sejuk, boleh la mulakan proses mencanai dan mengelim. 

5.Setelah siap mengelim, goreng dengan api yang sederhana supaya karipap tak berjerawat/ mengerutu/gelembung.