KEK KUKUS OREO CAPPUCINO PUTIH TELUR

Assalamualaikum,

Bagi saya kek Kukus Oreo Cappucino putih telur yang resepinya saya ambil dari blog kak wan @ citarasawan ni sungguh menarik sekali kerana ianya tidak menggunakan sebarang mentega atau minyak. Apalagi anak-anak begitu menggemari biskut oreo, tentu dah tak sabar mereka nak rasa.

Hmm..sebelum tu ada teman-teman bertanya, waktu mana saya curi masa untuk masak dan update blog hampir setiap hari, sedangkan kerjaya saya sentiasa sibuk sepanjang cuti sekolah berurusan dengan pelancong yang masuk ke Langkawi. Tiap hari pula masuk awal pagi ke pejabat dan pulang lewat petang atau kadang-kadang malam baru sampai ke rumah. Jujurnya, bagi saya memasak adalah terapi minda yang sungguh berkesan. Saya benar-benar menikmati, 'release tension' dan mendapat kepuasan jika masakan menjadi dan di sukai oleh keluarga dan teman-teman.

Dalam kehidupan ini kita perlu mencari kekuatan dari hobi atau apa yang kita sukai sebagai terapi minda di dalam mengharungi kehidupan yang serba kompleks setiap hari.

Baiklah...:), membebel pula saya pagi ni ye. Jomlah langsung kita lihat resepi.
KEK KUKUS OREO CAPPUCINO PUTIH TELUR
Sumber : Citarasawan
Bahan-bahan
400ml telur putih
125gm gula kaster 
2 sudu teh ovalete
1/2 sudu teh garam 
200gm tepung gandum
30gm tepung jagung
1/2 sudu teh baking powder
150ml susu cair 
2 sudu besar cappucino emulco/coffee emulco/mocca emulco
1/2 sudu teh esen vanila
80gm serbuk oreo - (saya hancurkan kasar-kasar)
20 keping biskut oreo di buang krim

Hiasan : 30gm chocolate rice untuk taburan

Loyang 9 x 6 x 3 di alas dasarnya atau loyang 8 x 8"

Cara-cara :

1.  Ayak tepung, tepung jagung dan baking powder.  Ketepikan.

2.  Pukul putih telur, garam dan ovalete hingga berbuih, masukkan gula kaster dan pukul dengan kelajuan tinggi hingga kembang dan pekat.
3.  Perlahankan mixer, masukkan tepung sedikit demi sedikit berselang seli dengan susu cair dan cappucino emulco.  
4.  Kaup balikkan adunan hingga sebati.  Bahagikan kepada 2 bahagian.  Satu bahagian asal dan satu bahagian lagi di campur dengan serbuk oreo.
5.  Tuang adunan asal ke dalam loyang dan kukus selama 15minit dalam pengukus yang telah di panaskan terlebih dahulu.
6.  Setelah masak, susun biskut oreo hingga penuh dan tuang adunan serbuk oreo ke atasnya.
7.  Tabur permukaannya dengan coklat rice hingga rata.

8.  Kukus semula selama 25 minit hingga masak.

*** Lap tutup pengukus apabila mengangkat penutupnya untuk mengelak air dari menitis ke atas kek.