SOM TAM - Sedap

Assalamualaikum,


Tengahari ini kita layan Som Tam pula untuk hidangan tengahari. Som Tam atau kerabu Thai ini memang sangatlah sedap walaupun meratah begitu sahaja tanpa nasi. Rasanya yang masam, manis, pedas dan masin itu ditambah dengan kerangupan kacang goreng, kacang panjang dan betik muda yang diparut...hmm sukar digambarkan. Kena rasa sendiri baru tahu. :)

Selalunya di Thailand atau restoran Thai mereka gunakan sejenis lesung yang diperbuat dari kayu untuk menumbuk bahan-bahan somtam ini. Tetapi kalau tak ada lesung tersebut boleh juga gunakan lesung batu seperti saya ni, tetapi janganlah ditumbuk kuat-kuat sangat takut nanti hancur pula betik muda tu. Tumbuk sebagai syarat agar  semua  bahan-bahan bercampur sahaja.

Baiklah, kalau nak buat sendiri dirumah bolehlah cuba resipi ni...;) 

SOM TAM - Sedap
Bahan-bahan
4 sudu besar udang kering - bersihkan
3 sudu besar kacang goreng 
2 ulas bawang putih 
secubit garam
5 tangkai cilipadi 
2 tangkai kacang panjang - potong pendek
1 biji tomato - di potong (boleh juga gunakan tomato cherry)
Jus dari 1 biji limau nipis
Betik muda di parut memanjang - saya guna hanya separuh dari betik saiz sederhana
2 sudu besar sos ikan Thai
3 sudu besar gula thai (boleh juga gunakan gula kabung/melaka)

Cara membuat :

1. Goreng kacang dan udang kering tanpa minyak hingga agak garing dan ketepikan seketika. Kupas betik muda dan parut memanjang.
2. Di dalam lesung, tumbuk bawang putih dan secubit garam dan masukkan juga udang kering, cilipadi dan 1 sudu besar kacang goreng.
3. Masukkan juga kacang panjang, tomato, jus limau, sos ikan dan gula kabung . Tumbuk kasar sahaja agar gula larut, jangan sampai hancur.Bahan tumbuk tersebut seharusnya ada rasa seimbang iaitu masam, manis, masin dan pedas. Jika rasanya kurang bolehlah ditambah bahan-bahan lagi.
4. Seterusnya masukkan betik muda yang telah diparut dan tumbuk lagi sambil di alih-alihkan dengan sudip sehingga bercampur dan sebati dengan bahan yang ditumbuk tadi.
5. Taburkan dengan baki kacang goreng dan hidangkan bersama nasi serta lauk lain.

0 comments:

Catat Ulasan

Sila tinggalkan komen :)