NASI GORENG IKAN MASIN

Assalamualaikum, 


Apa khabar hari ni? Bagi kaum ibu, sehari dua ini tentu sibuk dengan kerenah anak-anak yang  bangun pagi untuk ke sekolah. Ada yang sukar dan ada pula yang bersemangat bertemu kawan baru dan guru-guru. Maklum saja setelah dua bulan bercuti panjang pasti saja anak-anak sudah terbiasa dengan suasana santai dan bangun lewat dari kebiasaan. Bagi anak-anak saya di sini, seawal jam 6.45pagi van yang membawa mereka ke sekolah sudah sampai di hadapan rumah dan kadang-kadang suasana menjadi kelam kabut kerana ada yang belum sempat menyarungkan kasut sekolah atau yang terlambat berpakaian seragam, sedangkan pemandunya sudah berkali-kali membunyikan hon dan secara tak langsung membangunkan jiran-jiran sebelah rumah. Terkadang bila di fikirkan lucu juga dengan kerenah anak-anak, walaupun ada kalanya meletihkan. Saya pasti merindukan suasana ini ketika mereka sudah dewasa nanti :)

Baiklah, pagi ini saya sempat menyediakan sarapan pagi untuk anak-anak sebelum mereka ke sekolah iaitu nasi goreng ikan masin. Nasi goreng ini sangat ringkas dan saya gunakan apa saja bahan yang ada dalam peti sejuk di rumah. Jom kita lihat resepinya...:)

NASI GORENG IKAN MASIN 
1 mangkuk nasi 
3 ulas bawang putih 
2 ulas bawang merah
sedikit daun ketumbar / daun sup
Isi ikan talang masin di cuci bersih dan di goreng garing
50gm isi ayam 
3 biji cili padi di hiris halus
2 biji telur
Garam dan lada sulah 
1 sudu besar kicap cair atau boleh juga di gunakan sos ikan

Cara membuat:

1. Panaskan minyak di dalam kuali dan tumis bawang merah dan bawang putih.

2. Masukkan isi ayam dan kacau hingga masak. Masukkan juga cili padi, kicap cair dan serbuk lada putih.

3. Masukkan telur dan gaul sebentar, masukkan juga nasi, ikan talang yang telah di goreng terlebih dahulu dan daun sup.


4. Kacau hingga sebati dan perasakan dengan garam (masukkan sedikit sahaja jika ikan tersebut sudah masin).Hidangkan ketika masih panas.

0 comments:

Catat Ulasan

Sila tinggalkan komen :)