KEK MARBLE SEDAP DAN GEBU

Assalamualaikum,

Kek Marble sedap dan gebu antara koleksi resipi kek marble terbaik ada didalam blog ini. Resipinya saya ambil dari perkongsian di IG iaitu dari resipi asal lawthomas. Resipi ini menggunakan telur agak banyak iaitu 8biji (diambil 8kuningnya dan 7putih telur) tetapi tidak menggunakan sebarang serbuk penaik dan ianya tetap gebu dan lembut.

Saya buat kek ini semalam atas permintaan anak sulung untuk dibawa pulang ke asrama petang ini. Jom kita lihat cara membuatnya :) 

KEK MARBLE SEDAP DAN GEBU
Bahan-bahan
8 biji telur - Gred A (pisahkan dan ambil 8kuning telur dan 7putih telur)
200gm tepung gandum
25gm susu tepung 
250gm gula halus (kisar gula pasir)
330gm margerin + mentega (200gm mentega + 130gm marjerin)
2 sudu makan serbuk koko dan sedikit coklat emulco
1 sudu teh esen vanilla

Cara membuatnya: 

1. Panaskan oven pada suhu 175'c dan sediakan loyang. Sapu marjerin dan tabur tepung.

2. Pukul margerin, mentega dengan gula menggunakan mixer. Setkan pada 'high speed' dan pukul hingga putih (dalam 15 ke 20minit)

3. Masukkan pula esen vanilla serta kuning telur satu persatu dan rendahkan kelajuan mixer.
4. Masukkan pula tepung gandum dan susu tepung kedalam adunan, pukul lagi selama 1 minit (mixer kelajuan rendah). Ketepikan seketika.



5. Didalam mangkuk lain, pukul putih telur sehingga mengembang (bila dibalikkan mangkuk, putih telur tidak jatuh). Masukkan putih telur tersebut kepada 3tahap dan kaup balik dengan spatula.

6. Ketepikan 1/3 adunan, masukkan serbuk koko serta coklat emulco dan kacau rata. 
7. Tuang adunan putih dan coklat berselang seli kedalam loyang  dan bakar sehingga 55minit sampai masak (bergantung pada oven masing-masing).