GREENTEA JAPANESE ROLLCAKE

Assalamualaikum, 

Gebu tak Greentea Japanese Rollcake dalam gambar dibawah ni? Bukan sekadar gebu...rollcake ini juga mudah lentur dan senang nak gulung lepas letak buttercream. 

Cuma satu nak pesan kepada yang baru belajar nak buat rollcake atau swiss roll iaitu jangan letak terlampau banyak buttercream sebelum menggulung kek jenis ini. Kalau terlebih buttercream, semua inti akan keluar dari gulungan maka hasilnya tidak kemas atau langsung tak menjadi nanti. Memang dalam entry ini saya sertakan sekali resipi buttercream mudah tetapi jangan guna kesemuanya pula. Cukup disapu nipis sahaja dipermukaan rollcake dan baki buttercream bolehlah disimpan untuk dimakan dengan roti atau untuk hias kek lain pula.

Untuk Greentea Japanese Rollcake ini, sila terbalikkan kek dan guna permukaan atasnya(ketika dibakar) untuk sapu buttercream dan ketika menggulung bahagian bawah yang tidak berkulit dan gebu menjadi 'body' rollcake. 

Jika kurang suka dengan perasa greentea boleh juga gantikan dengan pes-pes lain seperti mocha, pandan, strawberry atau apa sahaja mengikut selera. Selamat mencuba... ;) 

GREENTEA JAPANESE ROLLCAKE
Saiz loyang : 9 inci 
Bahan-bahan
4 biji telur - Gred A (asingkan putih & kuning)
60gm tepung gandum 
20gm tepung jagung 
70gm gula kastor
4 sudu makan susu cair
1 1/2  sudu makan serbuk greentea (matcha)

1) Pukul kuning telur hingga kembang dan pucat, masukkan green tea yang telah dibancuh dengan susu cair dan pukul rata.


2) Masukkan pula tepung gandum dan tepung jagung. Pukul lagi hingga sebati dan ketepikan seketika.

3. Didalam bekas lain, pukul putih telur sambil berselang seli dengan gula (masukkan 3 tahap) sehingga soft peak.



4) Setelah itu masukkan putih telur tersebut kedalam adunan tepung tadi (masukkan 3 tahap) dan kaup balik dengan spatula hingga adunan bercampur rata.


5)Tuang adunan kedalam loyang yang telah dialas kertas minyak dan bakar pada suhu 180'c selama 20minit atau sehingga masak (tiap oven berbeza).


6)Setelah masak, angkat dan birkan sejuk dahulu baru isi buttercream atau jem pilihan. 

RESIPI BUTTERCREAM
125gm mentega
125gm gula icing 
1/2 sudu teh esen vanilla

Caranya : Pukul mentega dan gula icing didalam mangkuk dengan kelajuan yang tinggi hingga ringan. Masukkan esen vanilla dan putar lagi dengan kelajuan sederhana hingga sebati. Bolehlah digunakan untuk menghias kek.