PUDING VANILLA

Assalamualaikum,

Selamat berhari minggu kepada yang sudi menjengah ke blog ini. Panas betul cuaca sekarang ini kan. Memang tak sanggup rasanya nak bawa anak-anak untuk aktiviti luar atau ke pantai dalam cuaca begini, apalagi Langkawi yang dikelilingi pulau, memang bahang panasnya begitu terasa sekali.  Menurut informasi dari Menteri Sains Teknologi dan Inovasi, Semenanjung Malaysia dijangka akan mengalami keadaan cuaca panas dan kering mulai penghujung Januari ini dan berterusan sehingga Mac 2016.

Katanya keadaan ini disebabkan oleh kejadian fenomena El Nino kuat yang sedang berlaku dan dijangka akan berterusan sehingga suku pertama tahun 2016. Sepanjang tempoh itu sama-sama kita menjaga kesihatan terutama anak-anak yang telah kembali ke sekolah. Sebaiknya bekalkan air secukupnya dan sentiasa berpesan agar mereka kurangkan minuman berais. 

Dalam cuaca panas begini juga enak jika sajikan agar-agar atau puding untuk anak-anak. Apa kata cuba resipi puding vanilla yang saya kongsikan hari ini. Pasti anak-anak suka dengan rasanya. Lebih enak lagi masukkan dahulu dalam petisejuk sebelum dihidangkan.

PUDING VANILLA
3 biji kuning telur
70gm gula kastor
30gm tepung jagung 
500ml susu segar 

Cara membuatnya:

1. Didalam mangkuk adunan, pukul kuning  telur dan gula dengan 'hand mixer' dalam 3 minit sehingga kembang dan berkrim. 

2. Masukkan pula tepung sedikit demi sedikit sambil di pukul lagi.



3. Seterusnya masukkan esen vanilla dan kacau lagi sehingga adunan kembang. 



4. Masukkan adunan kedalam periuk dan gunakan api sederhana. Tuang susu sedikit demi sedikit sambil dikacau hingga adunan pekat.

5. Akhir sekali tuang adunan kedalam acuan atau bekas yang sesuai dan sejukkan.