NASI GORENG AYAM

Assalamualaikum, 

Kadang-kadang tak tahu nak jamah apa untuk makan malam kan. Bagi ibu-ibu yang bekerja, bila dah sampai rumah dan mandi manda serasa malas pula nak masak yang rumit-rumit atau keluar makan diluar. Kalau ada semua bahan, bolehlah masak sendiri hidangan ringkas di rumah. Asalkan mengenyangkan dan cepat dimasak. 

Alhamdulillah walaupun negara kita dalam situasi turun naik suasana ekonominya rakyat masih dapat makan dan berkira-kira nak masak apa setiap hari. Saya selalu ingatkan pada anak-anak agar menghabiskan makanan yang dihidangkan dan bersyukur apa yang ada. Ingat dan doakan saudara-saudara kita di Syria yang sedang menderita sekarang sehinggakan ada yang menjamah rumput dan daun-daun untuk teruskan hidup. 

Jadi kita yang dikurniakan rezeki yang melimpah ini harus bersyukur sangat dan kalau ada makanan yang tidak dihabiskan tu bolehlah disimpan didalam peti sejuk dan kitar semula menjadi menu lain. Sebagai ibu kita haruslah kreatif menyediakan makanan untuk anak-anak dan keluarga, kan :)

Untuk makan malam hari ni saya gunakan lebihan nasi tengahari tadi untuk hasilkan nasi goreng ayam yang simple. Kalau goreng sendiri dirumah, dapatlah kurangkan kegunaan minyak masak dan ada baiknya gunakan minyak jagung. Err..portion nasi dalam gambar kat bawah ni sedikit je kan. Diet katanya...hmm :D
NASI GORENG AYAM 
Bahan untuk Nasi 
2 pinggan nasi sejuk
3 sudu besar sambal belacan
1/2 labu bawang besar 
2 ulas bawang putih 
Minyak untuk menumis
1 sudu besar sos tiram 
2 sudu besar kicap cair 
1 sudu besar kicap manis
Ikan bilis secukupnya
1 biji telur

Bahan-bahan untuk ayam goreng 
3 ketul potongan ayam 
1 sudu teh serbuk kunyit 
1 sudu teh serbuk kari daging 
garam secukupnya 

Cara memasak:

1. Perapkan ayam dalam 15minit dan goreng hingga garing. Ketepikan seketul ayam dan potong dadu untuk digoreng bersama nasi.
2. Masukkan minyak masak kedalam kuali, tumis bawang besar dan bawang putih hingga berbau wangi. Masukkan ikan bilis dan ayam goreng sambil dikacau dan masukkan sambal belacan
3. Pecahkan telur kedalam kuali dan kacau sebati dengan bahan tumis.
4. Seterusnya masukkan nasi sambil dikacau lagi dan masukkan pula sos tiram, kicap cair dan kicap manis. Kuatkan api dapur dan kacau nasi dengan cepat. Bila semuanya bercampur bolehlah matikan api dapur dan hidangkan bersama ayam goreng dan sos cili.

0 comments:

Catat Ulasan

Sila tinggalkan komen :)