NASI LEMAK

Assalamualaikum,


Nasi Lemak antara sarapan pagi yang popular bagi masyarakat berbilang kaum di Malaysia. Namun pada masa kini nasi lemak juga merupakan pilihan makan malam ataupun hidangan diwaktu petang terutama sekali bagi yang sentiasa sibuk dan mahukan hidangan yang ringkas dengan harga yang berpatutan. 

Nasi lemak mudah didapati dan bukan setakat hidangan di pinggir jalan.Ia juga diangkat menjadi menu utama didalam penerbangan pesawat MAS. Menu yang satu ini turut disajikan di restoran ternama dan hotel-hotel bukan sahaja di Malaysia tetapi juga di negara-negara Asia. 

Ada berbagai variasi resipi nasi lemak tetapi pagi ini saya cuma buat yang ringkas dan digandingkan dengan sambal tumis udang, ikan bilis goreng, kacang goreng, hirisan timun dan telur mata yang di goreng garing. Sebenarnya anak saya yang bongsu tidak berapa suka telur mata yang lembik kerana hanyir katanya :) 

Kepada sesiapa yang ingin mencuba bolehlah ikut resipi dibawah ini.

NASI LEMAK 
Bahan-bahannya
3 cawan beras dibasuh toskan
3 1/2 cawan air 
1 cawan santan 
1 helai daun pandan - dicarik dan simpulkan
1 inci halia - dihiris nipis
3 ulas bawang merah 
2 sudu teh garam

Masukkan kesemua bahan kedalam periuk nasi dan masak seperti biasa. Bila dah masak gaul dengan senduk agar santan sekata dan biarkan sentiasa panas didalam periuk nasi.

SAMBAL UDANG
500gm udang 
Garam dan gula secukup rasa
1 labu bawang besar dihiris bulat

Bahan Kisar
10 tangkai cili kering - rebus dan toskan
5 ulas bawang merah 
2 ulas bawang putih 
1/2 labu bawang besar 
1/2 inci belacan - dibakar terlebih dahulu
3 sudu besar air asam jawa

Cara-cara:

1. Masukkan sedikit minyak kedalam kuali dan tumis bahan kisar sehingga wangi (lebih kurang 5 minit)

2. Masukkan sedikit air jika terlalu pekat dan renih sambal hingga pecah minyak dan kacau selalu.

3. Masukkan pula udang dan kacau hingga sebati dengan sambal.

4. Seterusnya masukkan air asam jawa, bawang hiris dan perasakan dengan garam dan gula. Masak hingga sambal pekat.