SAMBAL UDANG PETAI

Assalamualaikum,

Sedapnya sambal udang yang di rampai dengan petai, boleh bertambah-tambah nasi di buatnya. Walaupun sesetengah orang tidak suka makan petai dengan alasan 'busuk' tetapi, ia mempunyai khasiat yang tinggi untuk kesihatan setanding dengan ulam-ulaman kampung yang lain. 

Ada petua nak hilangkan bau mulut selepas makan petai, selain daripada menggosok dan flos gigi, lebih berkesan lagi mengunyah sejemput beras yang belum di cuci sampai hancur dan meluahkannya kembali. Boleh juga minum susu segar atau kopi/nescafe selepas makan petai, jadi aman ke tandas selepas itu kerana bau yang kurang menyenangkan tak ada selepas buang air kecil.

Kena cuba petua-petua tu kalau ingin tahu kebenarannya. Sekarang ni kita lihat resipi sambal udang petai dahulu :)

SAMBAL UDANG PETAI 
Bahan A (Di kisar)
1 labu bawang besar 
2 ulas bawang putih 
15 tangkai cili kering - di rebus hingga lembut dan toskan
2 sudu besar ikan bilis

Bahan B
300gm udang - di bersihkan dan belah di belakang untuk buang kotoran
1 cawan jus asam jawa
garam dan gula secukup rasa
1 labu bawang besar - di hiris kasar 
1/2 cawan isi petai - siap di kopek 
1/4 cawan minyak untuk menumis

Cara membuatnya:

1. Masukkan minya kedalam kuali. Tumis bahan-bahan kisar hingga pecah minyak dan berbau wangi. Untuk sambal tumis yang sedap, lebihkan minyak ketika menumis dan biarkan cili masak sepenuhnya perlahan-lahan menggunakan api yang kecil.


2.  Masukkan pula udang yang telah di bersihkan kedalam kuali tadi beserta jus asam jawa.


3. Seterusnya masukkan pula petai sambil di kacau. Jika saya, lebih suka petai tersebut tidak terlebih masak dan masih ada rasa ranggupnya.


4. Perasakan dengan garam dan gula secukupnya.


5. Akhir sekali masukkan bawang besar yang di hiris kasar dan kacau hingga sebati. Matikan api dan bolehlah di hidangkan dengan nasi panas.

0 comments:

Catat Ulasan

Sila tinggalkan komen :)