Assalamualaikum,
Hari ini terlambat masuk entry blog dan dah masuk hari kedua pun kita berpuasa. Seperti biasa, masak yang ringkas-ringkas sahaja apa yang ada di dalam peti sejuk dan resipi yang saya ingin kongsikan adalah ayam masak lemak dengan nangka muda.
Resipinya sama seperti masak lemak biasa juga cuma saya goreng sebentar, separuh masak ayam setelah di gaul dengan garam dan rebus terlebih dahulu nangka muda sebelum masukkannya kedalam kuah lemak.
Resipinya saya kongsikan di bawah ini...
AYAM MASAK LEMAK NANGKA MUDA
Bahan-bahan
200gm nangka muda - kupas dan potong
300gm ayam - di potong
1 cawan santan pekat
3 cawan santan cair
1 sudu teh garam
1/2 sudu teh gula
2 batang serai - di ketuk
1 helai daun kunyit - di simpul
Bahan Kisar
10 ulas bawang merah
2 ulas bawang putih
1/2 inci kunyit hidup
2cm halia
10 tangkai cili padi
Cara memasak:
1. Rebus nangka muda hingga separuh masak dan toskan airnya. Ketepikan seketika.
2. Gaul isi ayam dengan sedikit garam dan goreng sehingga airnya kering dan separuh masak lalu di angkat.
3. Seterusnya masukkan bahan kisar beserta daun kunyit,serai dan santan cair ke dalam periuk. Masak hingga mendidih.
4. Masukkan pula ayam dan nangka muda ke dalam periuk dan perasakan dengan garam dan gula.
5. Tambahkan santan pekat dan renihlah hingga masak sepenuhnya. Pastikan sentiasa di kacau masak lemak ini agar santan tidak pecah.
6. Matikan api dan bolehlah di hidangkan Hidangkan nasi panas.
0 comments:
Catat Ulasan
Sila tinggalkan komen :)