Dah seminggu tidak jenguk ke blog terasa lama sangat dah. Masih ada lagi beberapa menu yang tersimpan dalam draft, tapi masa yang agak terbatas dan ada perkara yang lebih penting harus diselesaikan, maka blog pun terbiar tanpa sebarang update.
Sekarang ada masa senggang sedikit bolehlah update resipi sarapan Pulut Ayam Berempah yang saya masak pagi ini, tapi oleh kerana mengejar masa tak adalah langkah demi langkah cara memasak seperti biasa tu. Lagipun saya dah pernah sertakan cara memasak pada entry sebelum ini iaitu menu pulut ayam Thai. Bolehlah klik disini...penyediaannya sama sahaja cuma bahan-bahan perapan yang saya gunakan kali ini berbeza sedikit dan lebih kepada citarasa Malaysia kerana menggunakan serbuk kari.
Jom kita lihat resipinya :)
PULUT AYAM BEREMPAH
500gm beras pulut - direndam
2 helai daun pandan
1/2 ekor ayam - dipotong kecil
2 sudu besar rempah kari daging
1/4 cawan tepung beras
2 sudu teh serbuk kunyit
garam secukup rasa
Dikisar atau ditumbuk lumat
5 ulas bawang putih
1 batang serai
2cm halia
1/2 sudu teh lada hitam
Bahan sampingan
Bawang merah goreng - untuk ditabur atas pulut
Sos cili Thai secukupnya
Cara membuatnya :
1. Basuh beras pulut, simpulkan daun pandan dan kukus hingga masak. Ketepikan seketika. Selalunya beras pulut direndam terlebih dahulu selama 3 hingga 4jam sebelum dikukus. Tips : untuk mempercepatkan proses tersebut, rendam beras pulut dengan air mendidih selama 15 ke 20minit toskan dan boleh terus dikukus.
2. Gaul ayam dengan bahan tumbuk, rempah kari, serbuk kunyit, garam dan tepung beras. Perapkan dalam 10minit, panaskan minyak dan goreng ayam sehingga garing. Angkat dan toskan.
3. Goreng bawang merah sehingga kekuningan dan angkat. Pulut ayam lebih enak dimakan bersama-sama bawang goreng yang dihasilkan sendiri.
4. Hidangkan pulut kukus bersama ayam goreng, taburan bawang goreng serta sos cili Thai.
0 comments:
Catat Ulasan
Sila tinggalkan komen :)