KUE TIAW GORENG DAGING

Assalamualaikum,

Selamat berhari minggu untuk semua pembaca blog yang sudi masuk kesini. Sarapan apa agaknya hari ini? Kalau saya cukup sepinggan kue tiaw goreng daging sebagai pembuka hari. Walapupun hari minggu, jadual hari ini padat dengan urusan-urusan luar dan memerlukan saya keluar awal dari rumah. Hmm...tak bolehlah nak bersantai-santai walaupun bercuti.

Bagi yang ingin mencuba resipi kue tiau goreng daging, resipinya ada dibawah ini. Resipi simple sahaja tetapi saya suka dengan rasa dagingnya yang telah diperap terlebih dahulu. Gandingkan pula dengan cili jeruk...hmm, memang sedap. Jom cuba :) 

KUE TIAW GORENG DAGING 
Bahan-bahan
500gm kue tiaw
300gm taugeh
4 ulas bawang putih - dicincang 
3 sudu besar kicap cair
2 sudu besar kicap pekat
1 sudu besar cili kisar
4 tangkai daun kucai

DIPERAP
200gm daging - dihiris nipis
1 sudu teh halia - dicincang 
1 ½ besar tepung jagung 
1 sudu teh minyak bijan
1 sudu besar kicap cair
½ sudu teh serbuk lada hitam

Cara membuatnya :

1. Perap daging dengan halia yang dicincang, tepung jagung, kicap cair, minyak bijan dan serbuk lada hitam selama lebih kurang 20minit.


2. Panaskan kuali, masukkan minyak sedikit sahaja. Masukkan kue tiaw dan kacau dengan cepat. Masukkan juga ½ sudu teh kicap pekat dan ½ sudu teh kicap cair. Kacau hingga sebati dan angkat kue tiaw, masukkan kedalam pinggan. Ketepikan seketika.
3. Panaskan kuali kembali, masukkan kira-kira 1 ½ sudu besar minyak. Masukkan daging yang telah diperap dan cili kisar, kacau hingga wangi. Masukkan pula 1½  sudu besar kicap pekat,  2½  sudu besar kicap cair dan kacau lagi sehingga daging masak.

4. Masukkan daun kucai, kue tiaw dan taugeh. Kacau dengan cepat hingga semua bercampur. Suaikan rasa, dan bolehlah dihidangkan.